Thursday 8 December 2016

Budget Malaysia 2017 vs Budget Sistem Ekonomi Islam

Oleh: M Faizal Abu Suhaib

Pembentangan Bajet 2017 dilakukan seperti lazimnya setiap tahun bagi mengatur perbelanjaan Malaysia sepanjang tahun 2017. Pembentangan bajet 2017 oleh Dato’ Sri Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan Malaysia kali ini mendapat perhatian yang  lebih khusus memandangkan Malaysia sedang berhadapan dengan keadaan kelembapan ekonomi dan juga menghadapi kekurangan pendapatan yang mendadak akibat kejatuhan harga minyak dunia. Tambahan pula, pengisytiharan pembubaran parlimen bagi membuka laluan kepada diadakan PRU14  kini terletak ditangan Dato’ Sri Najib.

Segala justifikasi dan ‘rasionalisasi’ terhadap budget 2017 yang diberikan oleh para menteri dan para cendekiawan tentunya sangat sukar untuk dihadam oleh rakyat kebanyakkan yang secara nyata berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup. Tambahan pula kesan kelembapan ekonomi Malaysia ketika ini dapat dilihat dan dirasakan sendiri. Banyak syarikat besar, satu demi satu terpaksa membuang pekerja bagi mengurangkan kos operasi, peniaga-peniaga kecil banyak yang terpaksa gulung tikar, para graduan sukar untuk mendapat pekerjaan, bahkan semakin ramai rakyat Malaysia yang terpaksa membuat kerja sampingan semata-mata untuk menampung kos kehidupan yang semakin meningkat.

Walaupun harapan indah yang diberikan setiap tahun daripada pembentangan bajet ternyata berbeza dengan realiti kehidupan sebenar yang dihadapi oleh kebanyakkan rakyat, namun ianya masih belum dapat menyedarkan rakyat Malaysia tentang kerosakan sistem ekonomi kapitalis yang digunakan dalam menguruskan ekonomi Malaysia. Secara umumnya, rakyat Malaysia melihat bahawa kepincangan yang berlaku dalam pengurusan ekonomi Malaysia sehingga membawa kepada masalah seperti kenaikkan kos sara hidup, kurang peluang pekerjaan dan sebagainya adalah disebabkan kegagalan urustadbir negara oleh kerajaan yang memerintah.

Walhal, hakikatnya sudah banyak contoh yang berlaku di seluruh dunia menunjukkan perubahan kerajaan tanpa perubahan sistem tidak menghasilkan perubahan seperti yang diharapkan. Oleh itu, umat Islam khususnya di Malaysia harus menyedari bahawa kerosakkan dan  kesengsaraan hidup yang sedang dialami ketika ini adalah disebabkan pengurusan ekonomi negara Malaysia diuruskan berdasarkan sistem ekonomi kapitalis. 

Jalan Keluar daripada Bajet Janji Manis Ekonomi Kapitalis

Pernahkah anda terbayang hidup disebuah Negara yang tiada rakyatnya miskin? Hinggakan pemerintah negara terpaksa mengerahkan pegawainya untuk pergi ke ceruk-ceruk desa untuk mencari rakyat yang miskin agar bantuan negara dapat disalurkan namun pegawai kerajaan tersebut terpaksa balik dengan hampa kerana tidak dijumpai rakyat yang mahu terima bantuan tersebut. Percaya atau tidak, keadaan ini benar-benar pernah berlaku dalam sejarah kewujudan Pemerintahan Khilafah.

Diriwayatkan oleh Yahya bin Said yang juga salah seorang gabenor berkata, "Saya pernah diutus Umar bin Abdul Aziz untuk memungut zakat ke Afrika. Selepas memungutnya, saya berniat untuk memberikannya kepada orang fakir. Namun, saya tidak menjumpai seorang pun. Umar bin Abdul Aziz telah menjadikan semua rakyat pada waktu itu kaya. Akhirnya, zakat itu saya putuskan untuk membeli hamba sahaya lalu memerdekakannya."

Adakah kegemilangan ini dicapai dalam negara yang mengamalkan sistem Kapitalis mahupun Sosialis? Tidak sama sekali! Kegemilangan ini wujud di era pemerintahan Islam, semasa zaman kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz. Kegemilangan ini bukan semata-mata kerana kehebatan Umar bin Abdul Aziz sebagai pemerintah. Tetapi disebalik  kehebatan ini adalah kerana pelaksanaan sistem ekonomi yang adil, yang manusiawi, yang diwahyukan oleh pencipta manusia (Allah SWT) iaitu sistem ekonomi Islam. Sistem ekonomi Islam adalah merupakan sebahagian daripada komponen dalam sistem pemerintahan Negara Islam iaitu Sistem Khilafah. Sebuah bentuk pemerintahan yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW di Madinah.

Inilah jalan keluar kepada permasalahan ekonomi yang dideritai rakyat akibat kerapuhan sistem ekonomi Kapitalis. Buletin Khaira Ummah kali ini ingin berkongsi gambaran tentang bagaimana belanjawannya diatur dalam sistem ekonomi Islam. Bermula daripada aspek penjanaan pendapatan hinggalah bagaimana pendapatan yang diperolehi dibelanjakan. 

Batu Asas Ekonomi Islam

Negara  Khilafah mengatur belanjawan negara melalui institusi yang dinamakan Baitul Mal. Baitul Mal mengendalikan segala urusan kewangan Negara dengan mengurus harta yang diterima oleh negara dan mengurus pengagihannya kepada rakyat yang berhak menerimanya.

Sejarah Baitul Mal ini diasaskan oleh Nabi SAW sendiri. Cumanya di zaman Nabi SAW, Baitul Mal belum ada tempat (bangunan) yang khusus. Ini disebabkan harta yang masuk pada saat itu belum begitu banyak dan kebiasaannya Nabi SAW akan mengagihkan kepada kaum Muslimin dengan kadar yang segera.

Saidina Abu Bakar, pada tahun kedua pemerintahannya, beliau telah mewujudkan lokasi khusus Baitul Mal iaitu di rumahnya sendiri. Pada zaman pemerintahan Umar, negara Islam semakin berkembang dan semakin banyak harta yang mengalir ke kota Madinah. Maka Saidina Umar telah membuat bangunan Baitul Mal yang khusus, membentuk struktur pengurusan harta Baitul Mal yang lebih tersusun dengan melantik para penulis dan pengurus. Sejak itu, institusi Baitul Mal memainkan peranan utama sebagai menjana ekonomi Islam yang adil dan stabil.

Baitul Mal sebagai Institusi Pengurus Belanjawan Negara Islam

Baitul Mal sebagai pengurus belanjawan negara, secara asasnya terdiri daripada dua sektor utama iaitu Sektor Pendapatan Negara (Qism Al-Waradat) dan Sektor Perbelanjaan Negara (Qism Al-Nafaqat). Penjelasan secara umum peranan kedua-dua sektor ini seperti dibawah:

Sektor Pendapatan Negara (Qism Al-Waradat)

Qism Al-Waradat bertanggungjawab mengurus harta yang masuk ke dalam Baitul Mal termasuk seluruh harta yang menjadi sumber pendapatan negara. Sektor ini mempunyai 3 bahagian (Diwan) utama seperti gambarajah dibawah.

Gambarajah Qism Al-Waradat dalam Daulah Khilafah

Bahagian pertama ialah Diwan Al-Fai’ Wa Al-Kharaj. Diwan ini merupakan bahagian yang bertanggungjawab atas penyimpanan dan pengaturan sumber pendapatan negara yang meliputi harta fai’ bagi seluruh kaum Muslimin. Ia juga menguruskan kemasukan dari dharibah (satu bentuk pungutan) yang diwajibkan ke atas kaum Muslimin tatkala sumber pendapatan Baitul Mal tidak mencukupi untuk memenuhi anggaran perbelanjaan yang bersifat wajib, baik dalam keadaan Negara mengalami krisis mahupun tidak. Untuk keperluan ini, dikhususkan suatu bahagian di dalam Baitul Mal di mana harta tersebut diuruskan untuk mengatur kepentingan kaum Muslimin serta kemaslahatan mereka sesuai dengan pendapat dan ijtihad Khalifah.

Bahagian kedua ialah Diwan Al-Milkiyyah Al-Ammah (Pemilikan Umum), bertanggungjawab untuk menguruskan harta milik umum. Islam memandang kekayaan minyak, gas dan sumber galian sebagai harta milik umat secara kolektif. Harta ini tidak boleh dihakmilik, dimonopoli oleh individu, syarikat mahupun negeri atau negara. Ianya adalah harta umat yang mana wajib diuruskan oleh negara dan kekayaannya akan dikembalikan kepada umat. Nagara hanya diamanahkan untuk mengurus, bukan pemilik harta ini. Di dalam negara Kapitalis, umat dinafikan hak mereka keatas kekayaan mereka ini malah dikenakan bayaran mahal. Selain minyak, gas dan bahan galian, harta milik umum yang lain ialah elektrik, laut, sungai, perairan, mata air, hutan, padang ragut, dan tempat khusus yang dirizabkan oleh Negara.

Bahagian yang ketiga ialah Diwan as-Sodaqat, bertanggungjawab menguruskan harta zakat. Keseluruhan harta zakat ditempatkan di dalam Baitul Mal secara khusus, diasingkan daripada harta yang lain kerana ianya wajib diagihkan kepada golongan tertentu sahaja iaitu lapan golongan asnaf zakat. Harta zakat hari ini banyak digunakan untuk perkara-perkara yang sepatutnya menjadi tangggung jawab negara seperti pendidikan dan perubatan. Islam memandang pendidikan dan perubatan rakyat adalah tanggung jawab negara. Negara wajib menggunakan harta daripada sumber pendapatan negara untuk penuhi keperluan asas rakyat ini. Tidak boleh menggunakan dana zakat untuk tujuan menampung kos pendidikan dan perubatan. Bayangkan jika dana zakat yang ada ketika ini disalurkan kepada asnaf seperti golongan fakir dan miskin sudah tentu kadar kemiskinan dapat diatasi dengan berkesan.

Sektor Perbelanjaan Negara (Qism Al-Nafaqat)

Qism Al-Nafaqat adalah sektor pengeluaran yang mencakupi semua jenis harta yang wajib dibelanjakan oleh Negara untuk pelbagai keperluan termasuk pembelanjaan Baitul Mal itu sendiri. Di dalamnya terdapat beberapa 8 bahagian (Diwan) untuk memastikan kecekapan dan keadilan perbelanjaan negara seperti didalam gambarajah dibawah.

Gambarajah Qism Al-Nafaqat dalam Daulah Khilafah

Bahagian yang bertanggungjawab menggubal bajet negara Islam termasuk anggaran pendapatan dan perbelanjaan negara ialah Diwan Al-Muwazanah al-Ammah (Bajet Umum). 

Untuk memastikan perbelanjaan dibelanja dengan adil, maka Diwan Al-Muraqabah (Pengawasan) diwujudkan sebagai pemeriksa (auditor) untuk meneliti secara mendalam keadilan pengagihan harta negara oleh para pegawai yang diamanahkan mengelolakan harta-harta tersebut termasuk mengawasi urusan administrasi seluruh struktur Diwan dan Administrasi Negara seperti digambarajah diatas.

Kesimpulan

Inilah secara umum struktur administrasi sistem kewangan Negara Islam Khilafah dalam mengatur belanjawan Negara. Ianya ternyata jauh berbeza dari sistem ekonomi Kapitalisme yang diamalkan pada hari ini. Kembali menerapkan sistem ekonomi Islam merupakan jalan keluar kepada permasalahan ekonomi yang dihasilkan oleh sistem ekonomi Kapitalis. Semoga tulisan ringkas ini mampu memberi kesedaran bahawa sistem ekonomi Kapitalis ciptaan manusia ini perlu ditolak dan mampu menyedarkan umat Islam untuk berganding bahu berusaha agar segera diganti dengan sistem ekonomi Islam yang akan mendatangkan kesejahteraan untuk seluruh umat manusia.



No comments:

Post a Comment