Saturday 23 August 2014

Kisah Ratu Balqis Dan Syar'u Man Qablana

1) Sebelum pergi kepada perbincangan yang mengatakan boleh mengangkat pemimpin di kalangan wanita berdasarkan kisah di dalam Al-Quran tentang ratu Saba' maka terlebih dahulu kita membahaskan mengenai definisi Syar'un Man Qablana.

2) Apa itu definisi Syar'un Man Qablana (Syariat orang terdahulu) ?

Petikan bahasa arab ;
شرع من قبلنا هو تلك الأحكام الشرعية المقررة في شرائع الأنبياء والرسل السابقين على نبينا محمد صلى الله عليه وسلم، والتي أخبر بها النبي صلى الله عليه وسلم

"Syariat Orang Terdahulu “ adalah Hukum-hakam syariat yang diakui sebagai syariat Nabi2 dan Rasul2 terdahulu, terhadap Nabi Kita Muhamamad SAW, yang dikhabarkan oleh Nabi SAW.

3) Jami’ Mani yang terkandung dalam definisi ini;

a) Ia adalah SYARIAT NABI DAHULU yang DIIKTIRAF – Bukanlah syariat jika tidak diiktiraf. Seperti agama Buddha, Hindu, Singh dan agama turun temurun dari nenek moyang lain-lain yang tidak ada asal usulnya.

b) Sumber syariat tersebut mestilah diberitakan oleh Nabi Muhammad SAW. Maknanya kita tahu bahawa itu adalah syariat orang dahulu daripada teks-teks Nas Al-Quran dan Hadis. – Sumber yang tidak ada di dalam Al-Quran dan Hadis tidak diterima itu adalah syariat orang dahulu.

Adapun pembacaan kita terhadap kisah-kisah Nabi dahulu melalui jalan selain Al-Quran dan Sunnah bukanlah termasuk dalam syariat umat terdahulu.

4) Maka syariat nabi/rasul terdahulu adalah hukum-hakam yang Allah SWT turunkan kepada nabi/rasul dan umat terdahulu sebelum kita. Dan terdapat dalil yang menjelaskan bahawa hukuman tersebut memang dikhususkan pensyariatannya untuk umat terdahulu sahaja

5) Perbincangan Sya'run Man Qablana ini tidak boleh lari daripada konteksnya. Kita perlu betul-betul pastikan bahawa hukum-hukum dan perlakuan umat terdahulu adalah benar apa yang Allah turunkan kepada mereka. Berdasarkan penuturan daripada Nas yang menunjukkan bahawa itu adalah syariat orang terdahulu.

6) Tidak boleh terus mengambil kisah umat terdahulu maka terus berhujah itu adalah syariat mereka kerana belum tentu apa yang diceritakan di dalam Al-Quran dan Hadis berkisar kepada syariat orang dahulu. Kerana ada kisah-kisah umat dahulu adalah sebagai ibrah bukan menunjukkan bahawa itu adalah syariat umat dahulu.

7) Disini diberikan beberapa contoh-contoh syariat umat terdahulu yang disebutkan di dalam Al-Quran dan Hadis;

- jenis-jenis dan bahagian binatang yang diharamkan untuk orang Yahudi (rujuk surah al-An'am: 146).
- hukuman qisas dalam kitab taurat (rujuk surah al-Maaidah ayat 45)
- bertaubat dengan cara membunuh diri (lihat surah al-Baqarah : 54
- hukum harta rampasan perang diharamkan untuk umat dahulu seperti sabda Nabi SAW ;
وأحلت لي الخنائم ولم تحل لأحد قبلي
Dan dihalalkan kepadaku harta rampasan dan tidak dihalalkan kepada seorang pun sebelum aku.

8) Ini sedikit paparan ringkas berkenaan dengan syariat umat terdahulu. Adapun disisi kehujahannya sebagai sumber hukum terdapat 2 pendapat yang masyhur di kalangan para ulama’ termasuklah ulama mazhab yang empat. Dan ada ulama’ yang bersikap tawaquf dalam masalah ini. Di mana DUA pendapat yang disebutkan itu ada yang terima sebagai dalil syara’ dan ada yang menolak.

9) Adapun penulisan ini tidak mahu membahas secara panjang lebar berkenaan dengan sama ada adakah syariat nabi dahulu diterima sebagai dalil atau tidak. Kerana itu bukan tujuan penulisan ini. Bagi yang ingin tahu lebih lanjut bolehlah mengkaji lagi pembahasan ini. Disini hanya akan diberikan pandangan yang terkuat di antara dua pendapat tersebut iaitu Sya’run Man Qablana Laisa Syar’an Lana(شرع من قبلنا ليس شرعا لنا). Syariat Umat Terdahulu Bukanlah Syariat Kita.

10) Mengenai kisah ratu Balqis yang memerintah Saba’, kisahnya dirakamkan di dalam Surah An-Naml. Beberapa ayat dari surah tersebut sebagai paparan kepada kita mengenai status Ratu Balqis tersebut ;

إِنِّي وَجَدْتُ امْرَأَةً تَمْلِكُهُمْ وَأُوتِيَتْ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ وَلَهَا عَرْشٌ عَظِيمٌ (23) وَجَدْتُهَا وَقَوْمَهَا يَسْجُدُونَ لِلشَّمْسِ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ فَصَدَّهُمْ عَنِ السَّبِيلِ فَهُمْ لَا يَهْتَدُونَ (24) أَلَّا يَسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي يُخْرِجُ الْخَبْءَ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَيَعْلَمُ مَا تُخْفُونَ وَمَا تُعْلِنُونَ(25)

Terjemahannya;
"Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar. Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, - (Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan. (An-Naml :23-25)

11) Jika kita meneliti dengan benar ayat tersebut sebenarnya tidak menjelaskan kepada kita bahawa ayat itu merujuk kepada syariat Nabi terdahulu. Memang benar ia adalah kisah diantara Nabi Sulaiman dengan Balqis tetapi ayat itu tidak berhubungan dengan masalah syariat nabi Sulaiman.

12) Bahkan kisah dari Al-Quran tersebut jelas menuturkan bahawa Ratu Balqis dan kaummnya adalah musyrik yang menyembah matahari. Nabi Sulaiman menyeru Balqis supaya masuk ke dalam agama tauhid dan menyembah Allah SWT.

13) Diringkaskan cerita, apa yang ingin dibahaskan di sini adalah Ratu Balqis yang menjadi pemimpin di suatu negeri sebenarnya bukanlah syariat Nabi Dahulu. Kerana berdasarkan definisi syar’un Man Qablana yang diberikan di atas bahawa syariat nabi dahulu mestilah diiktiraf sebagai syariat. Dan umat tersebut adalah umat yang beriman kepada Allah SWT. Adapun orang-orang musyrik, mereka tidak menyembah Allah apa lagi jika mereka mahu beramal dengan syariat yang diturunkan Allah SWT, maka sudah tentu tidak sama sekali.

14) Bagi mereka yang berhujah tentang kepimpinan itu boleh berada di tangan wanita kerana menerima pendapat bahawa syariat umat Dahulu boleh menjadi syariat kita adalah suatu kesalahan yang fatal. Di samping kerana lemahnya hujah mereka mengguna pakai syariat umat dahulu sebagai syariat umat kini, malah kerana di dalam fakta Ratu Balqis itu sendiri adalah seorang musyrik, sedangkan Nabi Sulaiman lah yang membawa wahyu dan syariat dari Allah SWT. Bagaimana mungkin kita kata apa yang dibuat oleh Balqis itu adalah syariat umat dahulu sedangkan pada asalnya dia sendiri itu adalah seorang musyrik ?

15) Adapun mereka yang berhujah untuk melawan balik hujah boleh mengangkat pemimpin dikalangan wanita berdasarkan kisah Ratu Balqis ini dengan menggunakan dalil bahawa syariat umat terdahulu bukan syariat umat sekarang juga tidak tepat. Kerana kisah ini adalah kisah pengajaran dan tidak terkandung apa-apa hukum yang bersangkutan dengan syariat Nabi Sulaiman.

16) Kesimpulan dari perbincangan ini adalah ;

a) Kisah ratu Balqis ini tidak ada kaitan dengan syariat umat terdahulu. Ia adalah satu ibrah kepada kita bahawa siapa pun kita, hebat mana pun kita, sebenarnya manusia itu adalah kerdil di sisi Allah SWT. Kerana Dialah yang Maha Kuasa lagi Maha Agung

b) Mereka yang berhujah wanita tidak ada masalah menjadi pemimpin negeri atau negara berdasarkan kisah ini sebenarnya telah ketandusan hujah. Kerana hujah mereka itu sendiri bukan hujah. Jangan kerana untuk memenuhi kepentingan pihak-pihak tertentu maka sanggup memutar belitkan Nas.

c) Permasalahan wanita sebagai pemimpin ini sepatutnya dikembalikan dan dirujuk kepada ketentuan hukum Islam. Kerana syariat kita adalah syariat Islam dan inilah yang diperintahkan oleh Allah SWT. Bukan merujuk kepada syariat umat-umat sebelum kita dan bukan juga melihat kisah-kisah umat terdahulu yang tidak ada weightage untuk ditarik hukum.

d) Di dalam Syariat kita melantik wanita sebagai pemimpin/pemerintah adalah diharamkan. Ini sudah termaktub di dalam hadis Nabi SAW;

لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ أَسْنَدُوْا أَمْرَهُمْ اِمْرَأَةً
“Tidak akan bahagia / berjaya suatu kaum yang menyandarkan urusan mereka kepada seorang wanita.”

Adanya penafian kejayaan dari Rasulullah SAW terhadap suatu kaum yang diperintah oleh seorang wanita merupakan indikasi yang tegas bahawa perbuatan tersebut adalah HARAM. Inilah hukum syariat yang telah diwahyukan kepada kita untuk kita patuhi.

Wallahu A’lam

Wednesday 20 August 2014

Hukuman Bunuh Ke Atas Tawanan Perang ?


1. Status hukuman ke atas tawanan perang dijelaskan di dalam Al-Quran surah Muhammad ayat:4

فَإِذَا لَقِيتُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَضَرْبَ الرِّقَابِ حَتَّى إِذَا أَثْخَنْتُمُوهُمْ فَشُدُّوا الْوَثَاقَ فَإِمَّا مَنًّا بَعْدُ وَإِمَّا فِدَاءً حَتَّى تَضَعَ الْحَرْبُ أَوْزَارَهَا ذَلِكَ وَلَوْ يَشَاءُ اللَّهُ لَانْتَصَرَ مِنْهُمْ وَلَكِنْ لِيَبْلُوَ بَعْضَكُمْ بِبَعْضٍ وَالَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَلَنْ يُضِلَّ أَعْمَالَهُمْ

“Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka pancunglah batang leher mereka. Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berhenti. Demikianlah, apabila Allah menghendaki niscaya Allah akan membinasakan mereka tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. Dan orang-orang yang gugur pada jalan Allah, Allah tidak akan menyia-nyiakan amal mereka.

2. Maka dari sini hukuman ke atas tawanan perang yang ditunjukkan Nas adalah Mann (Bebaskan) dan Fida' (Terima Tebusan). Tidak ada hukuman lain selain yang DUA ini.

3. Adapun yang mengatakan boleh membunuh tawanan perang berdasarkan dalil 8:67 sebenarnya pandangan tersebut perlu diteliti. Sebab mereka menggunakan asbab Nuzul ayat itu untuk menarik hukum. Dengan melihat kepada perbezaan pendapat antara Umar RA dan Abu Bakar RA.

4. Asbab Nuzul bukanlah hukum itu sendiri tetapi sebagai keterangan kepada kita untuk memahami peristiwa ayat tersebut diturunkan. Hukum diambil daripada teks Nas bukan asbab Nas. Kaedah Syara’ yang masyhur Al-ibrah biUmumi lafzi la bikhusus sabab, - Pengajaran diambil adalah dari Lafaz umum dan tidak terikat dengan sebab khusus.

5. Lagi pula terdapat kontroversi apabila menggunakan hujah Asbabun Nuzul ayat ini untuk ditarik kesimpulan bahawa tawanan perang boleh dibunuh. Ayat itu dikatakan di dalam kitab-kitab tafsir ulama' menyebelahi Umar RA yang berpendapat membunuh semua tawanan perang. Manakala pendapat Abu Bakar RA yang diambil oleh Rasulullah supaya ditebus tawanan ditolak dan kerana itu Allah menegur Rasulullah.

6. Tetapi Rasulullah SAW tetap tidak membunuh kesemua tawanan perang melainkan hanya dua orang yang dibunuh dan itu akan diterangkan selepas ini. Kontroversinya adalah apabila ayat ini dijadikan sebagai dalil pensyariatan hukuman bunuh tawanan perang tetapi dalam masa yang sama Rasulullah SAW tidak membunuh sedangkan ayat itu telah diturunkan. Mustahil bagi Rasulullah SAW yang maksum untuk mengingkari perintah Allah SWT. Kerana itu kontroversi seperti ini perlu membuatkan kita berfikir juga.


7. Mengatakan dalil 8:67 dan 47:4 terdapat percanggahan hukum dan perlu dikompromi sehingga hukumnya ada 3 (bebas, tebus dan bunuh) juga adanya nasikh mansukh adalah tidak tepat. Surah al-Anfal ayat 67 adalah ‘Itab (teguran) kepada Rasul bukan ayat tentang hukum ke atas tawanan perang.

8. Allah SWT berfirman ;

مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

9. Dua Ayat tersebut menyentuh kata  أَثْخَنْتُمُوهُمْ  / يُثْخِنَ.  Asal kata ini adalah dari wazan اثخن yakni melemahkan, mengalahkan, melumpuhkan.

Perhatikan ayat tersebut ; 

a)       حَتَّى يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ – sehingga ia dapat melumpuhkan musuh sebanyak-banyaknya di muka bumi

b)      حَتَّى إِذَا أَثْخَنْتُمُوهُمْ - Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka

10. Sebahagian ulama’ membahaskan bahawa Surah Muhammad:4 selain merupakan dalil hukum tawanan perang ia juga terdapat bagaimana metode atau teknik perang. Kaum muslimin diperintahkan untuk memukul batang leher kaum kafir (memancung) sehinggalah kekuatan musuh melemah dan lumpuh.

11. Jadi, mafhum daripada ayat tersebut adalah, jika kekuatan musuh telah lumpuh, tidak mampu lagi kaum kafir untuk melawan kaum muslimin maka ketika itulah dilakukan penawanan. 

12. Bukanlah maksud di dalam sesuatu battle(mu’ariqah) itu dibunuh semuanya musuh namun cukuplah dengan pembunuhan terhadap sebahagian besar musuh sehingga tidak ada ruang lagi utk mereka melawan. Dengan kata lain, tidak ada penawanan sebelum musuh dinyatakan kalah. Inilah yang dimaksudkan dengan tawanan perang.

13. Di dalam perang Badar, surah al-Anfal;67, teguran Allah SWT kepada Nabi SAW dan kaum muslimin adalah kerana terlalu cepat, tergesa-gesa untuk mengambil harta rampasan dan tawanan perang sebelum musuh lumpuh sepenuhnya.   

14. Kita tahu bahawa kaum muslimin melawan dalam lingkungan 900-1000 bala tentera kaum kuffar dan membunuh lebih kurang 70 orang daripada mereka. 73 orang ditawan manakala yang lain melarikan diri. Kerugian dan angka korban kafir Quraish ketika itu hanyalah dalam lingkungan 14-15%. Jadi inilah mengapa Allah SWT menegur Rasulullah SAW yang sepatutnya membunuh lebih banyak tentera kuffar supaya menambahkan lagi ketakutan di dalam diri kaum kuffar terhadap kaum muslimin sebelum mengambil tawanan perang.


15. Firman Allah SWT ; 
تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”  Maka ayat ini adalah penyempurna kepada teguran Allah SWT disebabkan mengambil tawanan sebelum masanya.

16. Pengajaran ini juga dapat dilihat daripada kekalahan kaum muslimin di perang Uhud, kerana adanya kelompok pemanah kaum muslimin yang melanggar arahan Rasulullah SAW supaya tetap bertahan di atas bukit. Disebabkan mereka terburu-buru untuk mengambil harta rampasan sebelum perang tamat dan kaum kuffar benar-benar menyerah kalah.

17. Maka dalil 8:67 langsung tidak menyentuh soal hukum tawanan perang, sehingga apabila tawanan telah dilakukan maka dalil yang dirujuk terhadap tawanan perang adalah surah Muhammad:4.

18. Kini timbul pula masalah nasikh mansukh. Surah Muhammad atau digelar juga surah Al-Qitaal turun semasa Rasulullah SAW sampai di Madinah. Surah al-anfaal ayat 67 itu turun selepas perang badar tamat. Kami telah jelaskan sebelum ini (lihat point ke-6 diatas) bahawa Rasulullah SAW tidak menghukum mati sebilangan besar tawanan perang tersebut.

19. Sekiranya benar terdapat nasikh mansukh sudah tentu kesemua tawanan perang yang ditawan dibunuh kerana mengikuti hukum yang baru dan meninggalkan hukum yang lama. Hadis Nabi Saw ini menguatkan lagi bahawa Rasulullah SAW tidak membunuh tawanan perang badar ; 

لو كان المطعم بن عدي حيا ثم كلمني في هؤلاء النتنى لتركتهم له

Jika seandainya Muth’im ibn ‘Adi masih hidup, kemudian dia berbicara kepadaku tentang mereka (tawanan perang), maka aku akan bebaskan mereka kerana dia.(HR Muslim)

Dan hadis ini ; 

كان ناس من الأسرى يوم بدر لم يكن لهم فداء فجعل رسول الله صلى الله عليه وسلم فداءهم أن يعلموا أولاد الأنصار الكتابة

Ada diantara tawanan Perang pada hari Badr tidak memiliki tebusan. Maka Rasulullah SAW menjadikan tebusan mereka adalah mengajarkan anak-anak kaum Anshar menulis. (HR Ahmad)


20. Sedangkan apa yang kita dengar bahawa Rasulullah SAW membunuh Utbah bin Muth’im dan Nadhir bin Harits selepas perang badar bukanlah hujah mengenai hukum tawanan perang. Ada ulama’ menjelaskan itu adalah hukum khusus terhadap orang-orang tertentu di dalam perang.

21. Bahkan hukuman bunuh tersebut tidak dilakukan di dalam semua siri peperangan. Hukuman itu adalah terhadap orang-orang WANTED di dalam Islam. Dan ketua negara melihat akan ada ancaman yang lebih besar jika tidak dibunuh orang seperti ini.

22. Utbah bin Muth’im, Nadhir bin Harits, abu Izzah, yang dibunuh mempunyai sebab tersendiri. Jika kita mengkaji Sirah ada beberapa diantara mereka yang murtad kemudian menjadi musuh kepada Islam seperti Ibn Khathal. Dan Rasulullah SAW sebagai ketua negara semasa itu telah menetapkan mereka sebagai orang-orang yang dikehendaki dan halal darahnya. Ikrimah Bin Abu Jahal sebelum masuk Islam turut berada dalam senarai WANTED namun Rasulullah memberi jaminan keamanan kepadanya.

23. Hukum khusus terhadap “Wanted” tidak boleh digunakan sebagai hujah telah adanya alternatif lain untuk menghukum bunuh tawanan perang. Membebaskan tawanan atau mengambil tebusan adalah hukum yang muktamad berdasarkan dalil yang sarih. Sedangkan membunuh orang-orang tertentu itu terserah kepada Ketua Negara kerana dialah yang layak untuk menjatuhkan hukuman dengan pertimbangannya yang sesuai dengan syara’.


24. Kesimpulan dari pembahasan ini adalah, dalil 8:67 dan 47:4 sebenarnya tidak bercanggah. Dan tidak adanya nasikh mansukh terhadap 2 ayat tersebut. Dan tidak boleh menjadikan hukuman TERTENTU terhadap tawanan perang adalah hukum tawanan perang itu sendiri.

25. Seandainya kaum muslimin berjaya mengalahkan Amerika kelak, dan Obama, John Kerry serta yang lain-lain konconya yang merupakan perletak dasar Amerika dalam memusuhi Islam dengan kejahatan dan kekejaman mereka ini ditawan, maka mereka inilah yang layak untuk dibunuh. Tetapi kalau setakat namanya Robert, David, Mutu atau Ah-Cong yang hanya berpangkat prebet, mereka ini dihukum berdasarkan hukum tawanan perang yang telah dinyatakan (Faimma Mannan Ba’du waimma Fida’).

Wallahu A’lam

Sunday 17 August 2014

Umar RA Melantik Syifa' Sebagai Qadhi

1. Hukum mengangkat seorang pemimpin daripada kalangan wanita telah diperjelaskan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah ra

لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمُ امْرَأَةً
"Tidak akan berjaya satu kaum yang melantik wanita mengurus urusan mereka" (Riwayat al-Bukhari)

2. Rasulullah SAW mendapat khabar bahawa bangsa Parsi telah mengangkat pemimpin daripada kalangan wanita iaitu Purandakh sebagai RATU mereka. Yang dimaksudkan adalah mereka telah melantik wanita menjadi penanggungjawab dalam mengatur hukum-hukum dan urusan diantara mereka.

3, Dari sini bahawa wanita yang telah diangkat oleh bangsa Parsi adalah sebagai kepala, pemimpin tertinggi mereka. Inilah yang kita kata bahawa jawatan yang disandang tersebut adalah dalam wilayah (urusan) pemerintahan.

4. Maka konteks hadis tersebut menjelaskan status wanita sebagai HUKKAM yang melaksanakan undang-undang di dalam sesebuah negara. Dan tidak boleh menggunakan hadis tersebut untuk di generalize dalam permasalahan-permasalahan lain kecuali isu yang dibincangkan hanyalah dalam masalah wilaayatul amri (Hukkam)



5. Persoalannya disini apakah takrif yang jelas tentang Qadhi ? Adakah ia termasuk dalam wilayah kekuasaan ke atas umat untuk menerapkan hukum ?

Di sini kita lihat definisi al-Hukmu dan Qadhi ;

a) al- Hukmu - الحكم والملك والسلطان بمعنى واحد وهو السلطة التي تنفذ الأحكام
al-hukm, al-mulk dan as-sulthân pengertiannya sama, yaitu kuasa eksekutif yang menerapkan/melaksanakan hukum

b) Qadhi - الاخبار بالحكم على سبيل الالزام
bertugas untuk menyampaikan/mengkhabarkan hukum yang bersifat mengikat.

Rujuk kitab nizhamul hukmi dan Ajhizah Daulah Khilafah karya HT.

6. Qadhi tidak mempunyai autoriti lain selain yang telah ditugaskan kepadanya. Apa-apa masalah seperti persengketaan manusia dalam masalah muamalat dan uqubat serta penyelesaian dalam kes-kes mukhalafat yang membahayakan hak jamaah seperti di pasar dan jalan-jalan, itu semua diselesaikan oleh qadhi dengan mengeluarkan keputusan hukum syara' ke atas permasalahan yang berlaku. Sedangkan yang mengimplementasikan keputusan tersebut adalah kuasa eksekutif.

7. Hukkam pula adalah mereka yang menerapkan hukum-hukum negara ke atas umat bukan cuma menyatakan hukum tertentu ke atas manusia. Jika keputusan seorang qadhi tidak didengari atau diingkari oleh pihak yang terlibat, maka kuasa tanfidz yang ada pada hukkam ini akan mengambil tindakan.


8. Maka tidak ada masalah melantik wanita sebagai qadhi khusumat atau qadhi hisbah sebab itu tidak termasuk dalam wilayah kekuasaan. Bahkan ketaatan manusia juga tidak ada pada seorang qadhi. Qadhi itu sendiri seperti yang telah dijelaskan hakikatnya tidak mempunyai sebarang autoriti ke atas manusia. Tugasnya hanya menyampaikan hukum syara' terhadap situasi masalah yang terjadi di antara manusia.

9. Tindakan Umar yang mengangkat seorang wanita sebagai qadhi di pasar (qadhi hisbah) tidak melanggar ketentuan hukum larangan ke atas wanita menjadi pemimpin.        
                                                
10. Dalam masalah ini kita perlu jelas beza antara urusan kekuasaan (pemerintahan) dan urusan Qadhi yang menjawat sebagai pegawai pemerintah. Hadis di atas menjelaskan tentang HARAM mengangkat wanita sebagai pemegang autoriti negara sedangkan dalam bab lain tidak ada masalah untuk wanita dilantik menjadi ketua.

11. Jadi tidak ada masalah kalau wanita bernama Rahayu atau Maznah ingin jadi qadhi, guru besar, Ketua cawangan DBKL, Ketua Pengarah Kesihatan dan lain-lain asalkan tugas tersebut bukanlah tugas dalam wilaayatul hukm


12. Kesimpulanya janganlah terburu-buru mengambil kes Umar melantik Syifa' itu sebagai keabsahan hujah kita untuk mengatakan bolehnya melantik wanita menjadi pemimpin negara, negeri atau daerah. Lihat perbincangan hadis yang sebenar sebelum menarik kesimpulan.

Lantunan Fikrah Hizbut Tahrir (Rujukan Nizhamul Ijtimaei, Nizhamul hukmi, Ajhizah Daulah Khilafah)

Saturday 16 August 2014

Ghazwah Bani Quraizhah – Perang Terhadap Pengkhianat Negara

Mungkin ramai yang sudah tahu serba sedikit tentang apa yang berlaku disebalik peristiwa antara umat Islam dan golongan Yahudi Bani Quraizhah. Disini kami bukanlah ingin memaparkan sirah secara panjang lebar berkenaan dengan peristiwa ini.

Namun cukuplah dengan sudut pandang yang jelas tentang peristiwa ini untuk diambil sebagai satu kesimpulan yang tepat dalam menangani isu yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak yang mengatakan bolehnya membunuh dan menyembelih tawanan perang.

Peristiwa ini berlaku selepas perang Ahzab (Khandak) semasa kaum muslimin baru sahaja pulang dari berperang dengan kaum kafir Quraish dan sekutu-sekutu mereka. Semasa baginda Rasulullah SAW dan para sahabat sedang berehat-rehat dan membersihkan diri maka datang Jibrail as menemui baginda ;

Malaikat Jibril berkata kepada Rasulullah, ‘Apakah engkau telah meletakkan senjata, wahai Rasulullah?’. Rasulullah menjawab, ‘Ya’. Malaikat Jibrail berkata, ‘Para malaikat belum meletakkan senjata. Hai Muhammad, sesungguhnya Allah SWT memerintahkanmu berangkat ke Bani Quraizhah. Aku juga akan pergi untuk menggoncang mereka‘. Setelah itu, Rasulullah SAW., memerintahkan penyeru untuk berseru kepada kaum muslimin, ‘Barangsiapa mendengar dan taat, ia jangan sekali-kali mengerjakan solat Asar kecuali di Bani Quraizhah.’

Rasulullah SAW telah mengerahkan 3000 tentera kaum muslimin dalam ekspedisi ke Perkampungan Bani Quraizhah yang terletak di sebelah selatan Madinah ini. Semasa kaum muslimin tiba di sana kaum Yahudi Bani Quraizhah tidak menentang dan Rasulullah SAW memulakan pengepungan terhadap perkampungan itu selama 25 hari.

Ketakutan yang dialami oleh yahudi Bani Quraizhah semakin membuak-buak dan akhirnya mereka terpaksa akur kerana tidak mampu lagi untuk bertahan dan melakukan apa-apa tindakan susulan akibat dari pengepungan itu.

Pemuka yahudi Ka’ab Bin Asad tahu bahawa tentera-tentera Rasulullah Saw tidak akan berganjak daripada terus mengepung mereka. Lalu dia menerangkan situasi rumit yang dihadapi mereka dan memberikan 3 pilihan sama ada ;

(1) mengikut Muhammad dan membenarkannya (masuk Islam) ,
(2) bertempur dengan kaum muslimin ,
(3) menyerah diri dan menerima keputusan Rasulullah SAW.

Bani Quraizhah memilih untuk menyerah diri dan meletakkan semua keputusan tersebut kepada baginda SAW. Tatkala itu datang suku Aus untuk berunding dengan Rasulullah SAW berkenaan dengan status Bani Quraizhah. Ini kerana Yahudi Quraizhah adalah sahabat baik kepada kaum Aus dan diantara mereka mempunyai kaum kerabat.

Kaum Aus berharap kepada baginda agar bersikap lembut terhadap Bani Quraizhah dan memutuskan persoalan ini dengan baik seperti mana tindakan Rasulullah SAW terhadap sahabat kaum khazraj (Yahudi Bani Qainuqa’) yang dihalau dari Madinah kerana melanggar perjanjian dengan Rasulullah SAW.

Mendengar kenyataan tersebut maka Rasulullah SAW bertanya adakah mereka rela sekiranya urusan(penghukuman) ini diserahkan kepada orang yang daripada kaum mereka sendiri. Lalu mereka pun bersetuju dan baginda SAW melantik Sa’ad bin Mu’adz sebagai Qadhi.



Daripada peristiwa ini kita boleh memahami bahawa apa pun keputusan yang bakal diputuskan oleh Sa’ad bin Mu’adz ini merupakan perkara yang diredhai sendiri oleh kaum Yahudi dan sahabat mereka dari kaum Aus.

Sebagai Qadhi ketika itu Sa’ad memutuskan agar dibunuh lelaki-lelaki yang baligh sebagai hukuman kerana mengkhianati Negara Islam yang sepatutnya mereka jaga dan lindungi daripada ancaman musuh. Serta kerana mereka memutuskan perjanjian dengan Rasulullah SAW dan kaum muslimin.

Kemudian Rasulullah SAW menyatakan bahawa apa yang diputuskan ini adalah sesuai dengan keputusan Allah SWT. Jadi peristiwa ini bukanlah PERANG diantara dua pihak dan hukuman memenggal kepala kaum yahudi Bani Quraizhah ini bukanlah hukuman kepada tawanan perang.

Tetapi ini semua adalah akibat daripada pengkhianatan mereka yang berkomplot dengan orang-orang kafir semasa Perang Ahzab. Apa yang mereka cuba lakukan adalah dengan melemahkan benteng kaum muslimin dari arah belakang tatkala Madinah sedang dikepung oleh tentera kafir supaya dapat menghancurkan kota Madinah.

Berdasarkan paparan mengenai kisah itu tadi maka kita boleh simpulkan kepada 4 perkara.

1) Berlakunya peristiwa ini adalah selepas Perang Ahzab bukan semasa perang sedang meletus antara dua pihak yang berseteru.

2) Pengepungan itu dilakukan di Perkampungan Bani Quraizhah yang merupakan tertangga yang sudah mengikat perjanjian dengan Negara Islam. Jadi kawasan itu adalah termasuk sebahagian dari wilayah kekuasaan Islam.

3) Dan kes ini berlaku setelah fakta yang mereka berkhianat terhadap Negara Madinah Rasulullah SAW

4) Adanya Qadhi yang menghukum yakni Sa’ad bin Mu’adz yang dipersetujui oleh semua pihak.

5) Mereka juga telah diberi pilihan untuk masuk Islam Islam, berperang, menyerah dan dihakimi.

Jadi inilah yang kami katakan bahawa apa yang berlaku kepada Bani Quraizhah adalah berkenaan dengan hukum pengkhianatan. Bukannya hukum tawanan perang biasa lagi pula ianya berlaku di dalam kawasan Daulah bukannya diluar daulah sehingga kita boleh justify ini adalah perang. Yang berlaku disini adalah permasalahan antara Negara dengan rakyat bukan negara dengan negara.


Ulama berpendapat hukuman bunuh kepada pengkhianat, sebagaimana Rasulullah SAW tidak menafikan hukuman bunuh untuk Hatib bin Abi Baltaah apabila membocorkan kedudukan tentera kaum Muslimin yang bergerak untuk fathul Mekah.

Lantas Saidina Umar Al-Khattab yang hadir bersama di majlis itu meminta Rasulullah membenarkannya untuk memancung HAB. Sayidina Umar mengatakan HAB adalah seorang yang munafik. Rasulullah s.a.w. menjawab Sayidina Umar dengan berkata bahawa HAB adalah seorang 'ahli badr' (yang telah menyertai perang Badr). Rasulullah berkata lagi kepada Sayidina Umar: "Kamu tidak tahu, moga-moga Allah memberi kedudukan kepada orang yang menyertai perang Badr." Nabi berkata pula kepada HAB: "Buatlah apa yang kamu suka, aku telah memaafkan kamu." Bersebab dari peristiwa ini, turunlah ayat Al-Quran (Al-Mumtahanah, ayat 1) yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul."

Islam datang dan membenarkan hukuman ini dan ianya menjadi salah satu hukuman di dalam Islam yang termasuk dalam sistem Uqubat. Bahkan dari dulu lagi bahawa antara hukuman antarabangsa adalah bunuh atau penjara seumur hidup untuk aktiviti Pengkhianat Negara (Traitor) atau Treason. 

Semoga tulisan ini dapat menjernihkan pemikiran umat Islam, berkenaan Hukum Uqubat dalam Islam tentang TREASON, dan tidak sewenang-wenangnya membunuh manusia yang kalah dalam peperangan dengan alasan peristiwa pemenggalan leher Bani Quraizah ini.