Monday, 12 December 2016

Laut Cina Selatan: Laut Yang Tenang Tetapi Penuh Dengan “Gelora”

Oleh : Hazwaneezal

Akhir bulan ogos baru-baru ini, Presiden baru Filipina iaitu Duterte telah mengeluarkan amaran bahawa akan berlaku konfrontasi “berdarah” sekiranya China cuba menyerang  kawasan laut Filipina di Laut China Selatan. Walaupun beliau berkata akan berusaha terlebih dahulu melalui jalan resolusi perdamaian, namun Duterte telah mengingatkan tenteranya supaya bersiap sedia untuk mempertahankan kedaulatan Filipina (merujuk kepada Scarborough Shoal dan Spratly) sekiranya diserang oleh China. Scarborough Shoal dan Spratly merupakan kawasan yang menjadi persengketaan akibat pertindihan tuntutan Zone of Economy Exclusive (ZEE) diantara beberapa buah negara termasuklah Filipina dan China.

Dalam pada itu, Vietnam juga dilaporkan  telah memasang sistem peluru berpandu canggih EXTRA yang telah dibeli daripada Israel, di wilayah sengketa iaitu Spratly pada awal bulan ogos yang lepas. EXTRA adalah sistem senjata yang sangat mudah alih dan boleh dipasang pada lori trak atau dalam pemasangan tetap. Dilengkapi dengan sistem navigasi inersia berasaskan GPS, EXTRA mempunyai jarak operasi sehingga 130 kilometer (81 batu) dan mampu membawa sebanyak 125 kilogram kepala peledak. Pemasangan sistem ini meletakkan pangkalan China di Spratly seperti Subi, Fiery Cross, dan berbagai Mischief Reefs dalam jarak operasi sistem EXTRA Vietnam. Kementerian Luar Negeri Vietnam walaubagaimanapun telah menafikan laporan tersebut.

Contoh Sistem EXTRA Dipasang Pada Lori Trak
Ironinya, Presiden Vietnam, Tran Dai Quang, ketika kunjungannya di Singapura pada (30/8/2016), mengingatkan bahwa semua negara akan mengalami kekalahan jika terlibat dalam perang di Laut China Selatan.

Amaran balas telah dikeluarkan oleh kerajaan China yang menyatakan China memiliki kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan ke atas Kepulauan Spratly dan perairan berhampiran. Sebarang pendudukan, pembinaan, pemasangan persenjataan dan pergerakan ketenteraan oleh pihak lain akan ditentang dengan keras. Perkembangan ini menggambarkan betapa rapuhnya keamanan di rantau Laut China Selatan di kala China sangat memerlukan banyak sumber alam untuk memenuhi keperluan industrinya yang begitu pesat membangun.

Kenapa Laut China Selatan Menjadi Sangat Penting Dalam Peta Dunia?

Laut China Selatan merupakan laluan kapal perdagangan ke-2 paling sibuk di dunia menjadikannya antara samudera yang sangat penting dalam peta goepolitik dunia. Dianggarkan lebih daripada 10 juta tong minyak mentah sehari dihantar melalui Laut China Selatan, 3 kali ganda lebih banyak daripada Terusan Suez.

Selain itu, menurut Jabatan Informasi Tenaga Amerika Syarikat, Laut China Selatan turut memiliki simpanan petroleum sekitar 11 billion tong.  Namun agensi China pula menganggarkan jumlahnya adalah lebih daripada 125 billion tong dan  memiliki simpanan gas asli sekitar 266 trillion kaki persegi.

Laut Perdagangan dan Selat
Dari segi biodiversiti marin pula, menurut kajian yang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Alam Filipina, kawasan lautan Laut China Selatan sahaja memiliki 1/3 daripada biodiversiti lautan dunia dan ini meletakkan Laut China Selatan sangat penting untuk ekosistem marin dunia.



Apakah Konflik Di Kawasan Laut Cina Selatan?

Pertikaian terhadap Laut China Selatan telah berlaku sejak berdekad-dekad lamanya melibatkan tuntutan pulau dan maritim di antara beberapa negara-negara iaitu Brunei, China, Taiwan, Malaysia, Filipina dan Vietnam. Kawasan yang menjadi pertikaian adalah termasuk pulau-pulau, terumbu dan tebing Laut China Selatan, termasuk kepulauan Spratly dan Paracel, pelbagai sempadan, termasuk di Teluk Tonkin. Selain itu, kerajaan China turut menuntut kawasan perairan berhampiran Kepulauan Natuna Indonesia, walaupun kebanyakkan negara tidak memasukkannya sebagai sebahagian daripada Laut China Selatan.   Sikap agresif China telah memaksa kerajaan Indonesia meningkatkan kapasiti ketenteraannya di sekitar Kepulauan Natuna.

Namun begitu, terdapat juga negara lain yang tidak terlibat dalam pertikaian tersebut mahu Laut China Selatan kekal sebagai perairan antarabangsa. Amerika Syarikat misalnya ingin menjadikan Laut China Selatan sebagai operasi  "freedom of navigation ".

Semua pertikaian dalam Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) oleh negara-negara penuntut adalah untuk memperoleh hak kawasan penangkapan ikan, penerokaan minyak mentah dan gas asli dan kawalan terhadap laluan perkapalan. Menurut Konvensyen PBB 1982 mengenai undang-undang laut (UNCLOS), hak terhadap ZEE boleh dituntut sehingga 200 batu nautika daripada pantai sesebuah negara. Berdasarkan konvensyen tersebut, maka timbullah banyak pertindihan tuntutan terhadap kawasan di Laut China Selatan. Walaubagaimanpun banyak pertindihan tuntutan yang berjaya diselesaikan melalui beberapa siri rundingan diantara negara-negara yang terlibat.

Pertindihan Tuntutan Di Laut China Selatan
Namun, keadaan menjadi sangat tegang apabila China telah mula menuntut secara aktif dan agresif hampir keseluruhan Laut Cina Selatan berdasarkan Kawasan 9 Garis Putus yang telah dilakar ketika pemerintahan Parti Komunis mula memerintah China pada tahun 1949. Berdasarkan fakta terebut, China tanpa mempedulikan bantahan dan tuntutan daripada negara-negara lain terus melakukan perkara-perkara yang sangat bersifat provokasi. Antaranya melakukan eksplorasi minyak dan gas asli di sekitar Kepulauan Paracels yang dituntut oleh Vietnam. Selain itu, kerajaan China juga sedang meningkatkan operasi pembinaan ketenteraan di pulau-pulau yang ditambak oleh mereka dalam kawasan Spratly. 

Tindakan tersebut merupakan satu tekanan terhadap kerajaan Filipina dan Indonesia dalam isu tuntutan Scharborough dan kepulauan Natuna. Kehadiran banyak bot dan kapal pasukan Pengawal Pantai China yang sangat aktif di Laut China Selatan seolah-olah seperti ingin menunjukkan bahawa China tidak memperdulikan sebarang tuntutan negara-negara lain ke atas Laut China Selatan. Tindakan provokasi tersebut sangat meresahkan seluruh negara-negara serantau termasuklah Malaysia.

Jadual Rumusan Pertindihan Tuntutan
Kenapa Laut China Selatan Sangat Penting Buat Kerajaan China?

Reformasi ekonomi daripada sistem ekonomi komunis kepada kapitalis yang dilakukan oleh Deng Xiaoping pada tahun 1982  telah berjaya memacu pertumbuhan ekonomi China. Reformasi tersebut telah menjadikan China menjadi sebagai antara kuasa ekonomi dunia setanding dengan Amerika Syarikat dan Jepun. Bahkan ekonomi China kini telah mengatasi Jepun untuk menjadi negara ke-2 pengeluar produk utama dunia selepas Amerika. 


China dengan cepat telah berkembang menjadi hub pembuatan produk konsumer yang murah, disamping memiliki modal yang besar untuk membuat pelaburan di negara-negara lain. Pertumbuhan ekonomi yang sedang dinikmati oleh China ketika ini juga telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya. Dimana kadar populasi berkerja yang mempunyai pekerjaan tetap ialah  sebanyak 95%.

Untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan keperluan bahan mentah untuk industrinya, maka China sangat terdesak untuk memastikan negaranya mempunyai sumber tenaga yang mencukupi. Sumber tenaga China ketika ini sangat bergantung kepada arang batu, petroleum dan gas asli sebagai sumber tenaga utama. Kepesatan ekonomi China telah menjadikannya sebagai negara paling tinggi penggunaan sumber tenaga, lebih banyak daripada yang digunakan oleh  Amerika Syarikat. 

Pada tahun 2005, China telah menggunakan lebih 6.5 juta tong petroleum dan lebih daripada 40 000m3 gas asli sehari bagi menghasilkan tenaga. Keadaan ini tentunya memerlukan China untuk memcari lebih banyak sumber petroleum dan gas asli bagi memenuhi keperluannya. Apa yang yang pasti menguasai Laut China Selatan adalah jawapannya.


No comments:

Post a Comment