Monday, 19 December 2016

Kembali Kepada Sistem Dinar dan Dirham : Kelemahan Sistem Wang Fiat

Oleh: Ahmad Mustafa

Kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD) telah menimbulkan keresahan kepada rakyat Malaysia. Nilai (RM) berada pada nilai yang tertinggi berbanding (USD) adalah pada bulan Ogos 2014 (RM 3.1463 bersamaan dengan USD1). Sejak itu nilai ringgit telah mengalami kejatuhan sebanyak 31.11% (Ogos 2014 - Okt 2016). Secara puratanya setiap bulan nilai RM menyusut sebanyak 1.26% berbanding USD. Penurunan nilai RM ketika ini hampir serupa seperti kejatuhan nilai RM semasa krisis ekonomi Asia pada tahun 1997. Kadar tukaran semasa nilai ringgit berbanding Dolar adalah RM 4.13 bersamaan dengan USD1 (10/10/2016).

Persoalan asas yang bermain di fikiran tentunya, apakah punca sebenar yang membawa kepada penyusutan nilai RM berbanding USD? Dan apakah kesan yang akan berlaku kepada kehidupan rakyat Malaysia ekoran kejatuhan nilai RM? Seterusnya bilakah krisis ini akan berakhir?

Faktor utama yang menyebabkan nilai RM menyusut adalah kerana sistem matawang hari ini dibangunkan atas tiga asas utama;

                   i.            Wang Fiat (Fiat Money)
                 ii.            Nisbah Rizab Berkanun (fractional reserve requirement)
              iii.            Kadar Bunga atau Riba (Interest Rate)

Realiti yang berlaku ketika ini ialah jumlah penawaran matawang yang beredar dalam masyarakat berkembang jauh lebih pesat daripada pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Ini kerana pengeluaran Wang Fiat yang digunakan diseluruh dunia ketika ini termasuklah di Malaysia diperakukan (legal tender) berdasarkan jaminan oleh Kerajaan yang memerintah. Perakuan berdasarkan jaminan kerajaan yang memberikan keyakinan kepada orang ramai untuk mengunakan wang tersebut sebagai alat tukar. Dengan kata lain, wang tersebut tidak lagi diperakukan oleh kerajaan yang memerintah, maka wang tersebut sama nilainya dengan kertas kosong. Begitu juga, apabila tahap keyakinan orang ramai terhadap sesuatu matawang berkurang, maka nilai matawang tersebut akan menyusut.

Ini menyebabkan nilai matawang yang digunakan ketika ini terlalu mudah untuk dimanipulasi berdasarkan persepsi khususnya yang berkaitan dengan perkembagan politik dan ekonomi. Masalah ini dikomentari oleh Tun Dr Mahathir sebagaimana ucapannya ;

“Sebenarnya  matawang tidak berharga  melainkan  jika Kerajaan  memberi  nilai kepadanya.   Wang  kertas  RM1.00 bukan  bernilai RM1.00 daripada segi harga kertasnya.   Ia bernilai  RM1.00 kerana itulah nilai yang ditetapkan  oleh Kerajaan.  Jika Kerajaan mencetak angka lima atau  sepuluh maka   nilai  kertasnya  tidak  naik  kepada  RM5.00  atau RM10.00.   Hanya  pengakuan  dan  jaminan  Kerajaan   yang menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan.” (Tun Dr Mahathir Mohammed, Perutusan Hari Raya Aidilfitri, 18/01/1999, Siaran langsung oleh RTM). 

Oleh itu, sekiranya berlaku krisis kepercayaan terhadap perkembangan politik atau berlaku krisis ekonomi disesebuah negara, maka sudah tentu nilai matawang negara tersebut akan jatuh merudum. Realiti ini boleh dilihat dengan jelas dinegara-negara yang sedang bergolak dengan peperangan.

Sejarah Matawang Fiat

Sejarah wang kertas di Malaysia bermula apabila Imperialis British mengeluarkan wang kertas pertama pada tahun 1899 yang bersandarkan kepada surat jaminan dan logam perak. Seterusnya pada tahun 1906, wang tersebut disandarkan kepada Sterling dengan kadar pertukaran $1 Dolar selat = 2s4d (2 syiling dan 4 Pence Sterling) atau $60 Dolar Selat bersamaan dengan 7 wang emas bernilai 20 syiling Sterling setiap satu. Ini bermakna apabila Dolar Selat diserahkan kembali kepada kerajaan, pemiliknya akan mendapat sejumlah emas seperti dicatat di muka depanya.

Wang Pokok Pisang yang diperkenalkan dizaman penjajahan Jepun
Namun apabila Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 15 Februari 1942, pihak Jepun telah merekacipta nota bank yang baru bagi menggantikan Dolar Selat. Kesemua nota ini ditukar dengan nisbah 1:1 dengan matawang Jepun (Wang Pokok Pisang). Sesiapa sahaja yang tidak mematuhi arahan menggunakan matawang Jepun sebagai matawang, maka akan dikenakan hukuman yang berat. Bagi memenuhi keperluan ketenteraannya membeli barang-barang keperluan, pihak Jepun telah mencetak Wang Pokok Pisang dengan sewenang-wenangnya.  Pihak Jepun juga turut memperkenalkan not 100 Dolar dan ianya dicetak dengan sesuka hati bagi menampung perbelanjaan ketenteraannya.

Ini menyebabkan hyperinflasi berlaku di Tanah Melayu ketika itu, wang yang beredar sudah sama seperti kertas kosong sahaja. Keadaan sedemikian di alami oleh penduduk Tanah Melayu sehinggalah Dolar Selat digunakan semula apabila Tanah Melayu kembali dijajah oleh British selepas perang dunia ke-2 tamat.

Di peringkat antarabangsa, sejarah wang fiat telah bermula apabila Perjanjian Bretton Woods ditandatangani pada tahun 1944 di Bretton Woods, New Hampshire Amerika Syarikat. Perjanjian yang melibatkan 44 buah Negara dunia telah bersetuju untuk menyandarkan mata wang kertas masing-masing dengan nilai tetap (dengan apungan 1%) kepada Dolar Amerika, dimana  nilai USD35 ditetapkan bersamaan dengan satu auns emas.  Sistem Kewangan berdasarkan mekanisma tersebut  merupakan idea seorang ahli ekonomi yang terkenal pada masa itu, iaitu John Maynard Keynes. Ketika itu semua mata wang yang dimiliki boleh ditukar dengan stok emas di Fort Knox.

Pemansuhan Sistem Sandaran Emas

Kebangkitan Jepun sebagai kuasa industri pada tahun pada tahun 1960an telah berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat. Begitu juga dengan negara-negara eropah yang bangkit sebagai kuasa industri pasca perang dunia ke-2. Ini menyebabkan banyak barang-barang import telah masuk ke Amerika Syarikat akibat permintaan yang tinggi daripada rakyatnya. Keadaan ini menyebabkan banyak Dolar Amerika (USD) yang telah mengalir ke luar negara sehingga menyebabkan imbangan pembayaran Amerika menjadi negatif.

Apabila beberapa buah negara mula menukar USD yang mereka dimiliki dengan emas yang tersimpan di Amerika Syarikat mengikut nisbah yang dipersetujui dalam perjanjian Bretton Woods, simpanan emas di Fort Knox mula berkurang sedikit demi sedikit. Penukaran emas dengan USD yang dimiliki oleh negara lain khususnya negara-negara Eropah menjadi semakin tinggi apabila tersebar khabar angin bahawa Federal Reserve (Bank Pusat AS) telah mencetak USD melebihi kapasiti simpanan emasnya. 

Presiden Perancis Charles de Gaule sebagai orang yang pertama menentang hegemoni USD telah menukarkaan sejumlah 150 juta USD yang dimiliki oleh Perancis dengan simpanan emas Amerika Syarikat. Tindakan Perancis ini kemudian diikuti oleh Sepanyol yang menarik keluar simpanan emas Amerika Syarikat dengan menukarkannya dengan nilai 60 juta USD. Tindakan tersebut telah menyebabkan simpanan emas di Fort Knox berkurang secara drastik. Keadaan simpanan emas Amerika Syarikat menjadi semakin bertambah parah, apabila terpaksa berbelanja dalam perang Vietnam.

Keadaan tersebut menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat yang diketuai oleh Richard Nixon, telah memikirkan rancangan baru bagi mengubah sistem matawang antarabangsa. Hasilnya setelah pulang dari Camp David Maryland, Presiden Richard Nixon pada 15 ogos 1971 telah mengumumkan pemansuhan perjanjian Bretton Woods. Maka, tiada lagi hubungan antara matawang dengan sandaran emas. Dengan kata lain, matawang USD yang dimiliki oleh mana-mana pihak, tidak lagi boleh ditukar dengan emas seperti dalam perjanjian Bretton Woods.

Kesannya, semua matawang di dunia telah berubah menjadi matawang fiat iaitu matawang yang bernilai sifar dari segi nilai intrisiknya tetapi nilainya bergantung kepada kumpulan mata wang asing (basket of currencies) dan kepercayaan semata-mata. Keadaan ini menyebabkan nilai matawang yang digunakan diseluruh dunia ketika ini sangat terdedah kepada unsur spekulasi dan manupulasi.

Duit kupang emas di zaman pemerintahan Sultan Ala'udin Riayat Shah II
(Johor) pada tahun 1597 - 1613


Duit pitis (timah) Kelantan - Terengganu
pada abad ke 17-18 masihi

Wednesday, 14 December 2016

Pengajaran di Sebalik Krisis Terusan Suez 1956

Oleh Abu Hamza

Krisis Terusan Suez bermula pada tahun 1956, apabila Mesir di bawah penguasaan Gamal Abdul Nasser menjadikan terusan tersebut menjadi milik negara Mesir. Terusan Suez dibina oleh gabungan Britain dan Perancis pada kurun ke-19, dimana ketika itu Mesir di jajah Britain. Terusan Suez menghubungkan laut Mediterranean dengan Teluk Parsi dan menjadikan Mesir terletak di dalam kedudukan yang sangat strategik. Britain dan Perancis tidak berpuas hati dengan tindakan Gamal Abdul Nasser menjadikan terusan Suez sebagai milik negara, lalu mengistiharkan perang terhadap Mesir. Dalam konflik tersebut, Isreal turut campurtangan dengan menghantarkan tentera darat mereka untuk menceroboh semananjung Sinai.

Keadaan ini menjadikan Mesir terpaksa berperang menentang tiga buah negara dalam satu masa yang sama dari tiga arah yang berlainan. Tetapi campur-tangan Amerika Syarikat (AS) dalam konflik tersebut telah menyebabkan Britain, Perancis dan Israel gagal menakluki Mesir. Amerika Syarikat yang menjadi kuasa baru dunia pasca Perang Dunia Kedua telah banyak memberikan bantuan kewangan kepada Britain dan Perancis yang telah mengalami banyak kerugian dan kemusnahan semasa Perang Dunia Kedua. Amerika Syarikat telah menggunakan bantuan tersebut untuk mendesak Britain dan Perancis agar berundur dari Terusan Suez.  

Selepas mencapai kemerdekaan daripada Britain, Mesir mempunyai pemerintahan beraja dan merupakan boneka Britain. AS telah berusaha bersungguh-sungguh dengan melakukan banyak percaturan politik untuk merampas Mesir supaya menjadi sekutu kuatnya di Timur Tengah. Oleh itu AS memberikan sokongan penuh kepada gerakan sosialis yang dipimpin oleh Gamal Abdul Nasser untuk merampas kuasa pada 1953. Gamal Abdul Nasser telah berjaya dalam rampasan kuasa tersebut dan istitusi beraja di Mesir yang merupakan salah satu strategi politik yang sering digunakan oleh British untuk mengawal sesebuah negara secara proksi akhirnya ditamatkan oleh Gamal Abdul Nasser dengan bantuan Amerika Syarikat.

Potret Gamal Abdul Nasser
Walaupun Amerika Syarikat adalah sebuah negara berideologi Kapitalis sementara gerakan Gamal Abdul Nasser pula adalah sebuah gerakan yang perpaksikan ideologi Sosialis. Namun, disebabkan pentingnya Mesir kepada Amerika Syarikat, maka Amerika Syarikat sanggup mengenepikan perbezaan ideologi dengan memberikan sokongan kepada gerakan Gamal Abdul Nasser. Inilah kaedah dipanggil Matlamat menghalalkan cara. Kaedah ini digunakan oleh Amerika Syarikat untuk membuang segala pengaruh British di Timur Tengah, sambil meletakkan Amerika Syarikat sebagai kuasa baru yang mempunyai pengaruh terbesar di Timur Tengah. Walaupun dihadapan rakyat Mesir dan masyarakat dunia Gamal Abdul Nasser secara berterus terang mengutuk negara Israel dan Amerika Syarikat, namun pada hakikatnya dasar pentadbiran Gamal Abdul Nasser telah memberikan banyak keuntungkan kepada kepentingan Amerika Syarikat Timur Tengah terasuklah keatas negara Mesir sendiri.  

Dengan kemenangan mudah yang diperolehi oleh Gamal Abdul Nasser dalam konflik Terusan Suez, hasil daripada campur-tangan Amerika Syarikat yang telah  berjaya menghalau Britain, Perancis dan Israel dari bumi Mesir. Maka, Gamal Abdul Nasser telah berjaya diangkat sebagai wira bagi bangsa Arab, di mana semangat nasionalisma Arab ketika itu sangat memuncak. Rentetan pengunduran ketenteraan Britain dan Perancis dari bumi Mesir, reputasi Perdana Menteri Perancis, iaitu Guy Mollet sangat tercalar, manakal Perdana Menteri Britain ketika itu iaitu Anthony Eden telah mengambil tindakan yang drastic dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Ahli sejarahwan menyatakan bahawa pengunduran tentera Britain dari bumi Mesir adalah petanda berakhirnya kekuasaan Britain sebagai kuasa besar yang pengaruh di persada politik antarabangsa. Strategi politik Amerika Syarikat untuk menonjolkan Gamal Abdul Nasser sebagai wira nasionalis Arab akhirnya telah berjaya. Dengan kepercayaan tinggi yang telah diberikan oleh bangsa arab terhadap Gamal Abdul Nasser telah dimanfaatkan sepunuhnya oleh beliau untuk memberikan tekanan yang sungguh dashyat terhadap rakyat Mesir khususnya kepada gerakan-gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin.

Sesungguhnya strategi kuasa-kuasa barat menonjolkan wira-wira palsu untuk menjadi pemimpin yang mendapat kepercayaan daripada umat Islam bukanlah sesuatu yang baharu. Ketika Khilafah Turki Uthmaniyyah berperang menentang tentera Britain dalam perang Gallipoli ketika perang dunia pertama. Dalam perang tersebut, Britain telah melakukan strategi dengan mengorbankan tenteranya sendiri bagi memberikan kemenangan kepada tentera Turki Uthmaniyyah yang dipimpin oleh Mustafa Kamal. Ini bertujuan agar dapat menonjolkan Mustafa Kamal sebagai wira bangasa Turki, sehinggakan Mustafa Kamal ketika itu digelar sebagai Attaturk, atau pemimpin bangsa Turki.

Britain merencanakan untuk mengangkat Mustafa Kamal sebagai wira bangsa Turki setelah Britain mengetahui latar-belakang Mustafa Kamal yang merupakan seorang ateis dan sekular.  Dengan itu ianya menjadi lebih mudah bagi Britain menggunakan Mustafa Kamal untuk meruntuhkan Khilafah Uthmaniyyah. Satu agenda besar yang telah diusahakan oleh Britain sejak berkurun-kurun lamanya.

Jika ketika zaman keruntuhan Khilafah Uthmaniyyah dan ketika konflik Terusan Suez, kuasa-kuasa barat menaikkan pemimpin mempunyai karakter nasionalis agar dapat mendapat kepercayaan daripada umat Islam. Namun kini, disebabkan zaman ini adalah zaman di mana kebangkitan Islam sedang sudah mula terasa, maka kuasa barat khususnya Amerika Syarikat telah menukar strategi dan pendekatan dengan cara mengangkat pemimpin umat Islam moderate dan sentiasa mengembangkan syiar Islam. Namun pada masa yang sama, tetap menjalinkan hubungan yang baik dengan Amerika Syarikat dan menghalang sebarang usaha untuk mengembalikan semula kekuasaan Islam yang hakiki iaitu tertegaknya semula Daulah Khilafah. 

Tuesday, 13 December 2016

Keharaman Riba & Jenis-Jenisnya

Oleh : Muhammad Amin

Larangan Amalan Riba Dalam Kehidupan

Riba merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Rasulullah SAW telah melaknat orang yang memakan riba, wakil, saksi dan penulisnya. Selain itu, Allah SWT dan rasul-Nya telah mengisytiharkan perang terhadap pelaku riba. Di dalam Kitab an-Nihayah dinyatakan bahawasanya dosa riba itu lebih besar dibandingkan dengan dosa zina, mencuri, dan meminum arak. Imam Syarbini di dalam Kitab al-Iqna’ juga menyatakan perkara yang sama.

Jumhur ulama sepakat mengenai keharaman riba, sama ada jumlah pungutan riba itu sedikit mahupun banyak. Al-Quran dan as-Sunnah secara jelas telah mengharamkan riba ;

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”. [TMQ Al Baqarah (2): 279]

Di dalam as-Sunnah, Nabi SAW bersabda:

“Satu dirham riba yang dimakan seseorang, dan dia mengetahui (bahawa itu adalah riba), maka itu lebih berat daripada tiga puluh enam kali zina”. [HR Ahmad dari Abdullah bin Hanzhalah]

“Rasulullah SAW melaknat orang memakan riba, yang memberi makan riba, penulisnya, dan dua orang saksinya. Beliau bersabda; Mereka semua sama”. [HR Muslim]

Pengertian Riba

Secara bahasa, riba bermakna tambahan (al-ziyadah). Sedangkan menurut istilah, Imam Ibnu al-‘Arabi mendefinisikan riba dengan: semua tambahan yang tidak disertai dengan adanya pertukaran ganjaran (barang atau tenaga). Imam as-Suyuthi di dalam Tafsir Jalalain menyatakan, riba adalah tambahan yang dikenakan dalam muamalah, wang, makanan, baik dalam bentuk kadar ataupun waktunya.

Dalam Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khathib disebutkan: “Menurut syariat, riba adalah aqad ke atas sebuah pertukaran tertentu yang tidak diketahui kesesuaiannya dalam timbangan syariat, baik ketika aqad itu berlangsung atau ketika ada penundaan salah satu barang yang ditukarkan, atau keduanya”.



Jenis-Jenis Riba

Terdapat empat jenis riba, iaitu: (1) riba nasi’ah (riba jahiliyah), (2) riba fadhal, (3) riba qardh; (4) riba yadd.

Riba Nasi’ah

Riba Nasi`ah adalah tambahan yang diperolehi kerana penundaan pembayaran hutang untuk dibayarkan pada tempoh yang baru, sama ada ia merupakan denda ke atas kelewatan pembayaran hutang, atau sebagai tambahan untuk hutang yang baru. Dalil-dalil daripada as-Sunnah yang menunjukkan keharamannya ialah:

Nabi SAW bersabda:

“Riba itu dalam nasi’ah”. [HR Muslim dari Ibnu Abbas]

Ibnu Abbas berkata: Usamah bin Zaid telah menyampaikan kepadaku bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Ingatlah, sesungguhnya riba itu dalam nasi’ah”. [HR Muslim]

Riba Fadhal

Riba yang diperoleh daripada manfaat pertukaran barang yang sejenis. Dalil larangannya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

“Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, sya’ir dengan sya’ir, kurma dengan kurma, garam dengan garam, sama jenis, sama berat, dan secara tunai. Apabila jenisnya berbeza, juallah sesuka hatimu jika dilakukan dengan tunai”. [HR Muslim dari Ubadah bin Shamit]

“Emas dengan emas, sama timbangan dan sama jenis; perak dengan perak, sama timbangan dan sama jenis. Barangsiapa yang menambah atau meminta tambahan, maka (tambahannya) itu adalah riba”. [HR Muslim dari Abu Hurairah]

“Dari Fudhalah berkata: Aku membeli rantai ketika perang Khaibar dengan harga dua belas dinar. Di dalamnya mengandungi emas dan manik. Setelah aku pisahkan (antara emas dan manik), aku mendapatinya lebih daripada dua belas dinar. Lalu aku sampaikan kepada Nabi SAW. Beliau bersabda, Janganlah menjualnya sehingga dipisahkan (antara emas dengan lainnya)”. [HR Muslim dari Fudhalah]

Dari Said bin Musayyab bahawa Abu Hurairah dan Abu Said berkata:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW mengutus saudara Bani Adi al-Anshari untuk bekerja di Khaibar. Kemudian dia datang dengan membawa kurma Janib (salah satu jenis kurma yang berkualiti). Rasulullah SAW bersabda, “Adakah semua kurma Khaibar seperti itu?” Dia menjawab, “Tidak, wahai Rasulullah. Sesunguhnya kami membeli satu sha’ dengan dua sha’ dari al-jam’ (salah satu jenis kurma yang rendah kualitinya)”. Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu lakukan seperti itu, tapi (tukarlah) yang sejenis atau juallah kurma (yang kualiti rendah itu) dan belilah (kurma yang bagus) dengan wang hasil penjualan itu. Demikianlah timbangan itu”. [HR Muslim]


Riba Yadd

Riba yang disebabkan kerana penundaan pembayaran dalam pertukaran barang. Dengan kata lain, kedua belah pihak yang melakukan pertukaran wang atau barang telah berpisah dari tempat aqad sebelum adanya serah terima. Larangan riba yadd adalah berdasarkan hadis-hadis, antaranya:

“Emas dengan emas riba kecuali dibayar dengan tunai, gandum dengan gandum riba kecuali dibayar dengan tunai, kurma dengan kurma riba kecuali dibayar dengan tunai, kismis dengan kismis riba, kecuali dibayar dengan tunai” [HR Bukhari dari Umar bin al-Khaththab]

“Perak dengan emas riba kecuali dibayar dengan tunai, gandum dengan gandum riba kecuali dibayar dengan tunai, kismis dengan kismis riba kecuali dibayar dengan tunai, kurma dengan kurma riba kecuali dibayar dengan tunai“. [Ibnu Qudamah, Al-Mughniy, juz IV, hal. 13]

Riba Qardh

Riba qardh adalah meminjam wang kepada seseorang dengan syarat ada manfaat atau keuntungan yang perlu diberikan oleh penghutang kepada pemiutang. Riba seperti ini dilarang dalam Islam berdasarkan as-Sunnah, di antaranya:

Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Burdah bin Musa; ia berkata, “Suatu ketika, aku mengunjungi Madinah. Lalu aku berjumpa dengan Abdullah bin Salam. Lantas orang ini berkata kepadaku: ‘Sesungguhnya engkau berada di suatu tempat di mana amalan riba telah meluas. Apabila engkau memberikan pinjaman kepada seseorang lalu ia memberikan hadiah kepadamu berupa rumput kering, gandum atau makanan ternak, maka janganlah diterima. Sebab, pemberian tersebut adalah riba”. [HR Bukhari]

Imam Bukhari di dalam Kitab Tarikhnya, meriwayatkan sebuah hadis dari Anas ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Apabila ada yang memberikan pinjaman (wang atau barang), maka janganlah ia menerima hadiah (dari yang meminjamkannya)”. [HR Bukhari]

Hadis di atas menunjukkan bahawa peminjam tidak boleh memberikan hadiah kepada pemberi pinjaman dalam bentuk apa pun, apatah lagi jika si peminjam menetapkan adanya tambahan ke atas pinjamannya. Larangan ke atas riba qardh juga berdasarkan kaedah ushul fiqh, “Kullu qardh jarra naf’an fahuwa riba”. (Setiap pinjaman yang menghasilkan keuntungan adalah riba). [Sayyid Saabiq, Fiqh al-Sunnah, edisi terjemahan; jilid 12, hal. 113]

Praktis riba yang sering dilakukan oleh bank adalah riba nasi’ah, dan riba qardh. Seorang muslim wajib menjauhi amalan riba yang merupakan amalan yang mungkar dan pelakunya dilaknat oleh Allah SWT.




Dunia Hanya Menonton Pembunuhan Di Aleppo

Rejim Kuffar LaknatuLlah Assad dan Russia sedang melakukan pembunuhan dan pengeboman tanpa henti di Aleppo. Seluruh dunia hanya berdiam diri. Sedang pemimpin-pemimpin kaum Muslimin membutakan mata dan memekakkan telinga mereka, walhal mereka mempunyai kekuatan tentera untuk dikerahkan menyelamatkan nyawa dan darah umat Islam di Aleppo, Syria.


Video Credit - KJ Vids (FB - https://www.facebook.com/KJVids/?fref=ts )

Monday, 12 December 2016

Laut Cina Selatan: Laut Yang Tenang Tetapi Penuh Dengan “Gelora”

Oleh : Hazwaneezal

Akhir bulan ogos baru-baru ini, Presiden baru Filipina iaitu Duterte telah mengeluarkan amaran bahawa akan berlaku konfrontasi “berdarah” sekiranya China cuba menyerang  kawasan laut Filipina di Laut China Selatan. Walaupun beliau berkata akan berusaha terlebih dahulu melalui jalan resolusi perdamaian, namun Duterte telah mengingatkan tenteranya supaya bersiap sedia untuk mempertahankan kedaulatan Filipina (merujuk kepada Scarborough Shoal dan Spratly) sekiranya diserang oleh China. Scarborough Shoal dan Spratly merupakan kawasan yang menjadi persengketaan akibat pertindihan tuntutan Zone of Economy Exclusive (ZEE) diantara beberapa buah negara termasuklah Filipina dan China.

Dalam pada itu, Vietnam juga dilaporkan  telah memasang sistem peluru berpandu canggih EXTRA yang telah dibeli daripada Israel, di wilayah sengketa iaitu Spratly pada awal bulan ogos yang lepas. EXTRA adalah sistem senjata yang sangat mudah alih dan boleh dipasang pada lori trak atau dalam pemasangan tetap. Dilengkapi dengan sistem navigasi inersia berasaskan GPS, EXTRA mempunyai jarak operasi sehingga 130 kilometer (81 batu) dan mampu membawa sebanyak 125 kilogram kepala peledak. Pemasangan sistem ini meletakkan pangkalan China di Spratly seperti Subi, Fiery Cross, dan berbagai Mischief Reefs dalam jarak operasi sistem EXTRA Vietnam. Kementerian Luar Negeri Vietnam walaubagaimanapun telah menafikan laporan tersebut.

Contoh Sistem EXTRA Dipasang Pada Lori Trak
Ironinya, Presiden Vietnam, Tran Dai Quang, ketika kunjungannya di Singapura pada (30/8/2016), mengingatkan bahwa semua negara akan mengalami kekalahan jika terlibat dalam perang di Laut China Selatan.

Amaran balas telah dikeluarkan oleh kerajaan China yang menyatakan China memiliki kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan ke atas Kepulauan Spratly dan perairan berhampiran. Sebarang pendudukan, pembinaan, pemasangan persenjataan dan pergerakan ketenteraan oleh pihak lain akan ditentang dengan keras. Perkembangan ini menggambarkan betapa rapuhnya keamanan di rantau Laut China Selatan di kala China sangat memerlukan banyak sumber alam untuk memenuhi keperluan industrinya yang begitu pesat membangun.

Kenapa Laut China Selatan Menjadi Sangat Penting Dalam Peta Dunia?

Laut China Selatan merupakan laluan kapal perdagangan ke-2 paling sibuk di dunia menjadikannya antara samudera yang sangat penting dalam peta goepolitik dunia. Dianggarkan lebih daripada 10 juta tong minyak mentah sehari dihantar melalui Laut China Selatan, 3 kali ganda lebih banyak daripada Terusan Suez.

Selain itu, menurut Jabatan Informasi Tenaga Amerika Syarikat, Laut China Selatan turut memiliki simpanan petroleum sekitar 11 billion tong.  Namun agensi China pula menganggarkan jumlahnya adalah lebih daripada 125 billion tong dan  memiliki simpanan gas asli sekitar 266 trillion kaki persegi.

Laut Perdagangan dan Selat
Dari segi biodiversiti marin pula, menurut kajian yang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Alam Filipina, kawasan lautan Laut China Selatan sahaja memiliki 1/3 daripada biodiversiti lautan dunia dan ini meletakkan Laut China Selatan sangat penting untuk ekosistem marin dunia.



Apakah Konflik Di Kawasan Laut Cina Selatan?

Pertikaian terhadap Laut China Selatan telah berlaku sejak berdekad-dekad lamanya melibatkan tuntutan pulau dan maritim di antara beberapa negara-negara iaitu Brunei, China, Taiwan, Malaysia, Filipina dan Vietnam. Kawasan yang menjadi pertikaian adalah termasuk pulau-pulau, terumbu dan tebing Laut China Selatan, termasuk kepulauan Spratly dan Paracel, pelbagai sempadan, termasuk di Teluk Tonkin. Selain itu, kerajaan China turut menuntut kawasan perairan berhampiran Kepulauan Natuna Indonesia, walaupun kebanyakkan negara tidak memasukkannya sebagai sebahagian daripada Laut China Selatan.   Sikap agresif China telah memaksa kerajaan Indonesia meningkatkan kapasiti ketenteraannya di sekitar Kepulauan Natuna.

Namun begitu, terdapat juga negara lain yang tidak terlibat dalam pertikaian tersebut mahu Laut China Selatan kekal sebagai perairan antarabangsa. Amerika Syarikat misalnya ingin menjadikan Laut China Selatan sebagai operasi  "freedom of navigation ".

Semua pertikaian dalam Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) oleh negara-negara penuntut adalah untuk memperoleh hak kawasan penangkapan ikan, penerokaan minyak mentah dan gas asli dan kawalan terhadap laluan perkapalan. Menurut Konvensyen PBB 1982 mengenai undang-undang laut (UNCLOS), hak terhadap ZEE boleh dituntut sehingga 200 batu nautika daripada pantai sesebuah negara. Berdasarkan konvensyen tersebut, maka timbullah banyak pertindihan tuntutan terhadap kawasan di Laut China Selatan. Walaubagaimanpun banyak pertindihan tuntutan yang berjaya diselesaikan melalui beberapa siri rundingan diantara negara-negara yang terlibat.

Pertindihan Tuntutan Di Laut China Selatan
Namun, keadaan menjadi sangat tegang apabila China telah mula menuntut secara aktif dan agresif hampir keseluruhan Laut Cina Selatan berdasarkan Kawasan 9 Garis Putus yang telah dilakar ketika pemerintahan Parti Komunis mula memerintah China pada tahun 1949. Berdasarkan fakta terebut, China tanpa mempedulikan bantahan dan tuntutan daripada negara-negara lain terus melakukan perkara-perkara yang sangat bersifat provokasi. Antaranya melakukan eksplorasi minyak dan gas asli di sekitar Kepulauan Paracels yang dituntut oleh Vietnam. Selain itu, kerajaan China juga sedang meningkatkan operasi pembinaan ketenteraan di pulau-pulau yang ditambak oleh mereka dalam kawasan Spratly. 

Tindakan tersebut merupakan satu tekanan terhadap kerajaan Filipina dan Indonesia dalam isu tuntutan Scharborough dan kepulauan Natuna. Kehadiran banyak bot dan kapal pasukan Pengawal Pantai China yang sangat aktif di Laut China Selatan seolah-olah seperti ingin menunjukkan bahawa China tidak memperdulikan sebarang tuntutan negara-negara lain ke atas Laut China Selatan. Tindakan provokasi tersebut sangat meresahkan seluruh negara-negara serantau termasuklah Malaysia.

Jadual Rumusan Pertindihan Tuntutan
Kenapa Laut China Selatan Sangat Penting Buat Kerajaan China?

Reformasi ekonomi daripada sistem ekonomi komunis kepada kapitalis yang dilakukan oleh Deng Xiaoping pada tahun 1982  telah berjaya memacu pertumbuhan ekonomi China. Reformasi tersebut telah menjadikan China menjadi sebagai antara kuasa ekonomi dunia setanding dengan Amerika Syarikat dan Jepun. Bahkan ekonomi China kini telah mengatasi Jepun untuk menjadi negara ke-2 pengeluar produk utama dunia selepas Amerika. 


China dengan cepat telah berkembang menjadi hub pembuatan produk konsumer yang murah, disamping memiliki modal yang besar untuk membuat pelaburan di negara-negara lain. Pertumbuhan ekonomi yang sedang dinikmati oleh China ketika ini juga telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya. Dimana kadar populasi berkerja yang mempunyai pekerjaan tetap ialah  sebanyak 95%.

Untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan keperluan bahan mentah untuk industrinya, maka China sangat terdesak untuk memastikan negaranya mempunyai sumber tenaga yang mencukupi. Sumber tenaga China ketika ini sangat bergantung kepada arang batu, petroleum dan gas asli sebagai sumber tenaga utama. Kepesatan ekonomi China telah menjadikannya sebagai negara paling tinggi penggunaan sumber tenaga, lebih banyak daripada yang digunakan oleh  Amerika Syarikat. 

Pada tahun 2005, China telah menggunakan lebih 6.5 juta tong petroleum dan lebih daripada 40 000m3 gas asli sehari bagi menghasilkan tenaga. Keadaan ini tentunya memerlukan China untuk memcari lebih banyak sumber petroleum dan gas asli bagi memenuhi keperluannya. Apa yang yang pasti menguasai Laut China Selatan adalah jawapannya.


Saturday, 10 December 2016

Usul Pindaan Akta 355

Oleh Barakath

Sekilas Mengenai Usul Akta 355

Perkara 3 dalam Perlembagaan sungguhpun meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, namun tidak menjamin undang-undang Islam sebagai undang-undang rasmi Persekutuan, sebaliknya Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama dan tertinggi negara. 

Kegagalan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu (Hudud dan Qisas) 2001 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan bukti akan perkara ini. 

Kedua-dua undang-undang  tersebut tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan kerana kekangan peruntukan undang-undang yang sedia ada di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu hukumannya mestilah tidak melebihi tiga tahun penjara, lima ribu ringgit denda ataupun enam kali sebatan seperti yang telah ditetapkan oleh Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Pindaan) 1984. 

Hal ini menunjukkan bahawa hukuman dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah belum menyamai kadar hukuman hudud yang sebenar, justru membawa kepada timbulnya usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah melalui Akta 355.

Ironi Pembentangan Pindaan Akta 355

Usul pindaan Akta 355 telah dikemukakan oleh ahli parlimen Marang, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga merupakan Presiden PAS sebagai usul persendirian. Ironinya, pembentangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 ke Parlimen bermula apabila dicadangkan oleh ahli parlimen yang pernah mengkritik Lembaga Penapisan Filem (LPF) agar tidak berfikiran sempit mengenai adegan pasangan bercinta berpegangan tangan dan berpelukan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan telah disokong oleh Datuk Rosnah Rashid Shirlin. 

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan bahawa, usul pindaan mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah tersebut telah dibawa ke kabinet dan telah diluluskan sebelum diusulkan di Parlimen. Hakikatnya sebagai sebuah parti Melayu yang telah lama berkuasa memegang kerusi kepimpinan negara selama ini, UMNO bukan sahaja tidak berusaha untuk memartabatkan perundangan Islam malah secara konsisten menolak sebarang usaha kearahnya.

Reaksi Pelbagai Pihak

Setelah usul RUU pindaan Akta 355 diluluskan untuk dibentangkan di Parlimen, timbul bermacam-macam reaksi dari pelbagai pihak. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang menentang, antaranya adalah dari parti komponen BN, MCA dan MIC yang mengugut mahu meletakkan jawatan di dalam Kabinet jika undang-undang berkenaan diluluskan oleh Dewan Rakyat. 

Majlis Perundingan Melayu (MPM) pula beranggapan bahawa RUU persendirian itu adalah tidak sah, tidak berpelembagaan serta membazir masa dan tenaga serta bercanggah dengan beberapa bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan. Manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong langkah kerajaan negeri Kelantan membawa rang undang-undang persendirian Akta 355 bagi memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap pesalah jenayah syariah negara ini. Namun Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata perkara itu terpulang kepada parlimen yang mempunyai peraturan tersendiri bagi meluluskan usul berkenaan.

Cabaran Perlaksanaan

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1964, atau dikenali sebagai Akta 355 merupakan undang-undang atau akta yang diluluskan oleh Parlimen bagi menentukan had bidang kuasa berkaitan hukuman terhadap jenayah syariah oleh Mahkamah Syariah. Akta yang diluluskan pada pertengahan 1960an tersebut mengambil punca kuasa daripada Perlembagaan Persekutuan, iaitu Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan. Antara butiran tersebut ialah mengenai urusan berkaitan Islam adalah urusan negeri, iaitu termasuklah keanggotaan, susunan dan tatacara Mahkamah Syariah. Namun bidang kuasa berkenaan dan jenis-jenis kesalahan adalah setakat yang diberikan bidang kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd Aziz, Felo Utama Pusat Kajian Syariah di IKIM, tidak ada dokumen sejarah yang menjelaskan tentang kenapakah frasa di dalam Perlembagaan  tersebut digarap sebegitu sedangkan hal ehwal islam berada dalam kuasa autonomi negeri. Ini menjadikan frasa itu terbuka kepada pelbagai tafsiran. 

Namun apa yang pasti ialah Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Parlimen untuk menentukan bidang kuasa berkaitan kesalahan yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Selain tiadanya kemahuan di pihak pemerintah untuk menerapkan perundangan Islam (termasuk hudud) yang sempurna, masalah utama di Malaysia ketika ini adalah kerana Syariat Islam perlu tunduk dan melalui proses demokrasi yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kewajipan Menerapkan Hukum Allah SWT

Hudud hanyalah salah satu daripada sistem hukuman (nidzam al-uqubat) dalam Islam selain daripada jinayat, ta’zir dan mukhalafat. Seharusnya sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT, hal perundangan Islam hendaklah dilihat dan dibahas menurut perspektif tuntutan syariat, bukan peruntukan undang-undang hasil pindaan suara majoriti dan sentimen politik. 

Sikap meletakkan kedaulatan Perlembagaan dan suara majoriti melebihi tuntutan syarak bukan sahaja menunjukkan kerosakan berfikir yang dibawa oleh fahaman sekularisme bahkan sebenarnya jelas menyalahi ajaran Islam kerana penerapan Islam dalam perundangan negara merupakan suatu kewajipan dan perintah daripada Allah SWT yang membawa kepada natijah dosa dan pahala seperti mana firmanNya:

“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44].

“…maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].

“…maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47].

“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5):50].

Janganlah sekali-kali kita sebagai umat Islam terjerat dengan polemik yang berlegar di dalam gelanggang sistem Demokrasi yang ada sehingga kita menjadikan hukum Allah sebagai alat permainan politik. Ingatlah akan firman Allah SWT:


“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):49].

Friday, 9 December 2016

Kesan Dari Pengaruh Wang Dalam Pilihanraya

Oleh : Khairul Effendy

Selain daripada dikaitkan dengan isu 1MDB, duit sebanyak RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak juga telah membuka perdebatan mengenai isu dana politik di Malaysia. Ini kerana, Dato’ Seri Najib sendiri menjelaskan bahawa duit tersebut merupakan derma daripada raja kerajaan Arab Saudi kepada beliau untuk membantu Barisan Nasional memenangi PRU yang lepas. Beliau dan beberapa pemimpin UMNO yang memegang jawatan penting dalam kerajaan turut menegaskan bahawa sumbangan dana politik dari pihak lain termasuklah sumbangan daripada pihak di luar negara bukanlah suatu kesalahan dari segi perundangan di Malaysia.


Satu penjelasan yang mungkin memeranjatkan rakyat kebanyakan, namun itulah hakikatnya dalam sistem politik di Malaysia. Pendedahan ini juga menunjukkan betapa terbukanya politik Malaysia menerima dana daripada mana-mana pihak khususnya pihak berkepentingan bagi membantu parti-parti politik yang ada di Malaysia memenangi pilihanraya seterusnya membentuk kerajaan yang memerintah.

Dana Kempen

Umum mengetahui bahawa setiap kempen Pilihanraya memerlukan belanja yang sangat tinggi. Walaupun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mempunyai peraturan untuk menetapkan had dana untuk berkempen iaitu sebanyak RM200,000 bagi satu kawasan Parlimen dan RM100,000 bagi satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Namun, sejak PRU yang pertama diadakan pada tahun 1955, sehingga kini tiada peruntukan undang-undang untuk memantau dari mana sumber dana politik diperolehi. 

Justeru, parti-parti politik di Malaysia bebas untuk mendapatkan sumber dana bagi menampung aktiviti politik mereka termasuklah mendapatkan dana daripada sesiapa sahaja bagi memenangi pilihanraya. Oleh sebab itu, tidak hairan jika pihak parti pemerintah dan parti pembangkang saling tuduh-menuduh menerima dana dari sumber luar seperti dari Timur Tengah, China mahupun Amerika yang dikatakan boleh menggugat kedaulatan negara.

Polemik dan pertikaian mengenai sumber dana bagi kempen Pilihanraya ini berlaku di banyak negara termasuklah di negara-negara maju sendiri. Sudah menjadi kebiasaan di negara maju, rakyatnya mempersoalkan ketelusan tentang dana politik yang diterima oleh setiap parti politik. Tindakan tersebut didorong kerana telah terdapat peruntukan undang-undang yang membolehkan rakyat melakukan check and balance terhadap dari mana sumber dan perbelanjaan parti-parti politik yang bertanding. Tujuannya adalah agar demokrasi yang diamalkan tidak dicemari oleh pihak yang berkepentingan khususnya golongan pelobi yang terdiri dari syarikat-syarikat besar. 

Namun hakikatnya, undang-undang mengenai dana politik adalah ciptaan mereka sendiri, maka sudah tentu mereka tahu bagaimana untuk mengeksploitasi peruntukan undang-undang yang ada agar setiap dana politik yang mereka perolehi dan bagaimana ianya dibelanjakan sentiasa sah ataupun diiktiraf oleh undang-undang yang ada. 

Perkara ini telah didedahkan di dalam buku The Best Democracy Money Can Buy karangan Greg Palast yang merupakan seorang bekas penyiasat dan jurnalis bebas. Greg Palast mendedahkan bagaimana di Amerika Syarikat, baik Parti Demokrat mahupun Parti Republikan kedua-duanya sentiasa menjaga kepentingan golongan bilionair pemilik modal yang mendanai kempen mereka. Begitu juga dengan skandal Lobbygate sewaktu pemerintahan Tony Blair yang mendedahkan bagaimana teruknya lobi politik di Britain.

Jika perkara sedemikian boleh terjadi di negara yang amalan demokrasinya dikatakan telah matang, bahkan telah terdapat peruntukan undang-undang untuk memantau keluar masuknya dana politik. Bayangkan sahaja  bagaimana keadaannya di negara yang dikatakan demokrasinya masih belum matang dan tiada peruntukan undang-undang untuk memantau keluar masuknya dana politik seperti Malaysia. 

Menurut bekas Menteri Penerangan iaitu Tan Sri Zainudin Maidin,   sumbangan dana politik bukanlah perkara asing di Malaysia, ianya telah diamalkan sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi. Di mana beliau sewaktu pemerintahannya telah menerima banyak sumbangan dana politik  daripada ramai pengusaha Cina.  Sumbangan dana tersebut telah sedikit sebanyak telah mempengaruhi polisi-polisi kerajaan khususnya terhadap kepentingan penyumbang dana politik. Sudah tentu, di zaman dunia materialistik dan tuntutan kebendaan yang sangat tinggi oleh kebanyakan rakyat Malaysia ketika ini, semua parti-parti politik yang ada di Malaysia memerlukan dana yang besar untuk menawan hati setiap pengundi bagi memenangi setiap pilihanraya.

Kesan Dari Dana Kempen

Dana politik sememangnya memberi kesan yang besar terhadap kejayaan kempen dan seterusnya memenangi pilihanraya. Walaupun terdapat parti politik yang cuba menonjolkan ketelusan dana politik yang mereka perolehi, namun umum mengetahui bahawa sebahagian besar dana yang mereka perolehi datangnya daripada badan-badan korporat dan para pengusaha (pemodal). Give and take adalah pengikat hubungan diantara parti politik dan golongan korporat, masing-masing mempunyai kepentingan tersendiri. 

Jika parti yang menerima dana menang dalam pilihanraya sekaligus membentuk kerajaan negeri mahupun persekutuan, maka sudah tentu parti tersebut perlu membayar semula ‘budi’ dengan menyusun beberapa polisi negara agar sesuai dan menguntungkan pihak pemberi dana. Balas ‘budi’ oleh parti yang telah berjaya menjadi pemerintah terhadap ‘kebaikan’ pemberi dana adalah untuk memastikan agar parti mereka terus mendapat sokongan dana pada pilihanraya yang akan datang.


Dana pilihanraya yang begitu besar ketika Obama ingin menjadi orang nombor satu kerajaan Amerika Syarikat sebenarnya telah menonjolkan sikap golongan bilionair kapitalis yang berusaha untuk kekal menguasai ekonomi dunia sehingga sanggup mengeluarkan dana yang sangat besar agar calon pilihan mereka menang dalam pilihanraya. 

Dilaporkan bahawa kos kempen Obama dalam Plihanraya 2012 yang lepas adalah sebanyak 1 Billion USD yang sebahagian besarnya dibiayai oleh badan korporat dan pelbagai entiti perniagaan. Sebagai perbandingan, terdapat 10 buah negara di seluruh dunia yang mempunyai KDNK tahunan hanya sebanyak 1 Billion USD atau kurang.

Pengaruh Wang Dalam Politik Negara Islam

Di dalam sistem pemerintahan Islam, walaupun seseorang atau suatu parti politik tidak kebal daripada godaan dana politik yang ditawarkan oleh mana-mana pihak, namun, penerapan sistem Islam sendiri memastikan tiada pengaruh kewangan dan kepentingan syarikat-syarikat pelobi terhadap perjalanan politik negara dengan mengelakkan budaya Pilihanraya yang kotor seperti yang diamalkan di dalam demokrasi. 

Di dalam Islam, politik bukanlah sesuatu yang kotor dan tidak berasaskan perebutan kedudukan dan kekuasaan. Dalam bahasa Arab, politik berasal dari kata sâsa, yasûsu, siyâsah; bererti mengurusi, memelihara yakni urusan rakyat.

Di samping itu, hubungan kapitalisme dan demokrasi bagaikan isi dan kuku yang hidup subur di Barat melahirkan ahli-ahli politik yang korup dan terhutang budi kepada badan korporat atau para pemodal yang memberikan dana. Namun, model politik Islam tidak akan membenarkan perkara ini terjadi dengan penguatkuasaan polisi yang tegas oleh negara Islam bagi menyekat hubungan dan pengaruh yang sedemikian. 

Perundangan negara Islam yang memandang serius kesalahan rasuah juga menjadi tunjang terhadap pentadbiran baik (good governance) yang tidak memungkinkan mana-mana pemimpin dan penjawat awam yang mempunyai rekod rasuah untuk kekal di dalam jawatannya. Tambahan pula sistem ekonomi Islam meletakkan kemaslahatan dan kepentingan rakyat biasa lebih utama daripada syarikat-syarikat besar dan ahli korporat. 

Sebagai seorang yang beriman, kita seharusnya sedar bahawa hanya Islam satu-satunya cara hidup yang sempurna dan terbaik bagi umat manusia dan bukannya cara hidup kapitalis-demokrasi mahupun sosialis-komunis yang terbukti telah memberikan kesengsaraan kepada kehidupan manusia. Oleh itu, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memartabatkan kembali shariah di dalam pentadbiran negara dengan jalan menegakkan semula negara Khilafah berdasarkan manhaj yang telah ditunjukkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW.