Friday 9 December 2016

Kesan Dari Pengaruh Wang Dalam Pilihanraya

Oleh : Khairul Effendy

Selain daripada dikaitkan dengan isu 1MDB, duit sebanyak RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak juga telah membuka perdebatan mengenai isu dana politik di Malaysia. Ini kerana, Dato’ Seri Najib sendiri menjelaskan bahawa duit tersebut merupakan derma daripada raja kerajaan Arab Saudi kepada beliau untuk membantu Barisan Nasional memenangi PRU yang lepas. Beliau dan beberapa pemimpin UMNO yang memegang jawatan penting dalam kerajaan turut menegaskan bahawa sumbangan dana politik dari pihak lain termasuklah sumbangan daripada pihak di luar negara bukanlah suatu kesalahan dari segi perundangan di Malaysia.


Satu penjelasan yang mungkin memeranjatkan rakyat kebanyakan, namun itulah hakikatnya dalam sistem politik di Malaysia. Pendedahan ini juga menunjukkan betapa terbukanya politik Malaysia menerima dana daripada mana-mana pihak khususnya pihak berkepentingan bagi membantu parti-parti politik yang ada di Malaysia memenangi pilihanraya seterusnya membentuk kerajaan yang memerintah.

Dana Kempen

Umum mengetahui bahawa setiap kempen Pilihanraya memerlukan belanja yang sangat tinggi. Walaupun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mempunyai peraturan untuk menetapkan had dana untuk berkempen iaitu sebanyak RM200,000 bagi satu kawasan Parlimen dan RM100,000 bagi satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Namun, sejak PRU yang pertama diadakan pada tahun 1955, sehingga kini tiada peruntukan undang-undang untuk memantau dari mana sumber dana politik diperolehi. 

Justeru, parti-parti politik di Malaysia bebas untuk mendapatkan sumber dana bagi menampung aktiviti politik mereka termasuklah mendapatkan dana daripada sesiapa sahaja bagi memenangi pilihanraya. Oleh sebab itu, tidak hairan jika pihak parti pemerintah dan parti pembangkang saling tuduh-menuduh menerima dana dari sumber luar seperti dari Timur Tengah, China mahupun Amerika yang dikatakan boleh menggugat kedaulatan negara.

Polemik dan pertikaian mengenai sumber dana bagi kempen Pilihanraya ini berlaku di banyak negara termasuklah di negara-negara maju sendiri. Sudah menjadi kebiasaan di negara maju, rakyatnya mempersoalkan ketelusan tentang dana politik yang diterima oleh setiap parti politik. Tindakan tersebut didorong kerana telah terdapat peruntukan undang-undang yang membolehkan rakyat melakukan check and balance terhadap dari mana sumber dan perbelanjaan parti-parti politik yang bertanding. Tujuannya adalah agar demokrasi yang diamalkan tidak dicemari oleh pihak yang berkepentingan khususnya golongan pelobi yang terdiri dari syarikat-syarikat besar. 

Namun hakikatnya, undang-undang mengenai dana politik adalah ciptaan mereka sendiri, maka sudah tentu mereka tahu bagaimana untuk mengeksploitasi peruntukan undang-undang yang ada agar setiap dana politik yang mereka perolehi dan bagaimana ianya dibelanjakan sentiasa sah ataupun diiktiraf oleh undang-undang yang ada. 

Perkara ini telah didedahkan di dalam buku The Best Democracy Money Can Buy karangan Greg Palast yang merupakan seorang bekas penyiasat dan jurnalis bebas. Greg Palast mendedahkan bagaimana di Amerika Syarikat, baik Parti Demokrat mahupun Parti Republikan kedua-duanya sentiasa menjaga kepentingan golongan bilionair pemilik modal yang mendanai kempen mereka. Begitu juga dengan skandal Lobbygate sewaktu pemerintahan Tony Blair yang mendedahkan bagaimana teruknya lobi politik di Britain.

Jika perkara sedemikian boleh terjadi di negara yang amalan demokrasinya dikatakan telah matang, bahkan telah terdapat peruntukan undang-undang untuk memantau keluar masuknya dana politik. Bayangkan sahaja  bagaimana keadaannya di negara yang dikatakan demokrasinya masih belum matang dan tiada peruntukan undang-undang untuk memantau keluar masuknya dana politik seperti Malaysia. 

Menurut bekas Menteri Penerangan iaitu Tan Sri Zainudin Maidin,   sumbangan dana politik bukanlah perkara asing di Malaysia, ianya telah diamalkan sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi. Di mana beliau sewaktu pemerintahannya telah menerima banyak sumbangan dana politik  daripada ramai pengusaha Cina.  Sumbangan dana tersebut telah sedikit sebanyak telah mempengaruhi polisi-polisi kerajaan khususnya terhadap kepentingan penyumbang dana politik. Sudah tentu, di zaman dunia materialistik dan tuntutan kebendaan yang sangat tinggi oleh kebanyakan rakyat Malaysia ketika ini, semua parti-parti politik yang ada di Malaysia memerlukan dana yang besar untuk menawan hati setiap pengundi bagi memenangi setiap pilihanraya.

Kesan Dari Dana Kempen

Dana politik sememangnya memberi kesan yang besar terhadap kejayaan kempen dan seterusnya memenangi pilihanraya. Walaupun terdapat parti politik yang cuba menonjolkan ketelusan dana politik yang mereka perolehi, namun umum mengetahui bahawa sebahagian besar dana yang mereka perolehi datangnya daripada badan-badan korporat dan para pengusaha (pemodal). Give and take adalah pengikat hubungan diantara parti politik dan golongan korporat, masing-masing mempunyai kepentingan tersendiri. 

Jika parti yang menerima dana menang dalam pilihanraya sekaligus membentuk kerajaan negeri mahupun persekutuan, maka sudah tentu parti tersebut perlu membayar semula ‘budi’ dengan menyusun beberapa polisi negara agar sesuai dan menguntungkan pihak pemberi dana. Balas ‘budi’ oleh parti yang telah berjaya menjadi pemerintah terhadap ‘kebaikan’ pemberi dana adalah untuk memastikan agar parti mereka terus mendapat sokongan dana pada pilihanraya yang akan datang.


Dana pilihanraya yang begitu besar ketika Obama ingin menjadi orang nombor satu kerajaan Amerika Syarikat sebenarnya telah menonjolkan sikap golongan bilionair kapitalis yang berusaha untuk kekal menguasai ekonomi dunia sehingga sanggup mengeluarkan dana yang sangat besar agar calon pilihan mereka menang dalam pilihanraya. 

Dilaporkan bahawa kos kempen Obama dalam Plihanraya 2012 yang lepas adalah sebanyak 1 Billion USD yang sebahagian besarnya dibiayai oleh badan korporat dan pelbagai entiti perniagaan. Sebagai perbandingan, terdapat 10 buah negara di seluruh dunia yang mempunyai KDNK tahunan hanya sebanyak 1 Billion USD atau kurang.

Pengaruh Wang Dalam Politik Negara Islam

Di dalam sistem pemerintahan Islam, walaupun seseorang atau suatu parti politik tidak kebal daripada godaan dana politik yang ditawarkan oleh mana-mana pihak, namun, penerapan sistem Islam sendiri memastikan tiada pengaruh kewangan dan kepentingan syarikat-syarikat pelobi terhadap perjalanan politik negara dengan mengelakkan budaya Pilihanraya yang kotor seperti yang diamalkan di dalam demokrasi. 

Di dalam Islam, politik bukanlah sesuatu yang kotor dan tidak berasaskan perebutan kedudukan dan kekuasaan. Dalam bahasa Arab, politik berasal dari kata sâsa, yasûsu, siyâsah; bererti mengurusi, memelihara yakni urusan rakyat.

Di samping itu, hubungan kapitalisme dan demokrasi bagaikan isi dan kuku yang hidup subur di Barat melahirkan ahli-ahli politik yang korup dan terhutang budi kepada badan korporat atau para pemodal yang memberikan dana. Namun, model politik Islam tidak akan membenarkan perkara ini terjadi dengan penguatkuasaan polisi yang tegas oleh negara Islam bagi menyekat hubungan dan pengaruh yang sedemikian. 

Perundangan negara Islam yang memandang serius kesalahan rasuah juga menjadi tunjang terhadap pentadbiran baik (good governance) yang tidak memungkinkan mana-mana pemimpin dan penjawat awam yang mempunyai rekod rasuah untuk kekal di dalam jawatannya. Tambahan pula sistem ekonomi Islam meletakkan kemaslahatan dan kepentingan rakyat biasa lebih utama daripada syarikat-syarikat besar dan ahli korporat. 

Sebagai seorang yang beriman, kita seharusnya sedar bahawa hanya Islam satu-satunya cara hidup yang sempurna dan terbaik bagi umat manusia dan bukannya cara hidup kapitalis-demokrasi mahupun sosialis-komunis yang terbukti telah memberikan kesengsaraan kepada kehidupan manusia. Oleh itu, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memartabatkan kembali shariah di dalam pentadbiran negara dengan jalan menegakkan semula negara Khilafah berdasarkan manhaj yang telah ditunjukkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW.


No comments:

Post a Comment