Friday, 2 December 2016

Rumah Semakin Susah Dimiliki : Apakah Penyelesaiannya?

Oleh : Mus’ab

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), purata harga rumah di Malaysia pada tahun 2014 ialah sekitar RM280 ribu seunit. Kawasan tumpuan utama penduduk Malaysia iaitu Kuala Lumpur, purata harga rumah telah mencecah harga RM660 ribu seunit, diikuti oleh negeri Selangor RM430 ribu, Sabah RM420 ribu dan Pulau Pinang RM320 ribu. Manakala negeri seperti Perlis, Kedah dan Melaka pula purata harga rumah adalah sekitar RM150 ribu. Berdasarkan trend, harga rumah akan terus meningkat dari tahun ke tahun khususnya di kawasan yang menjadi tumpuan seperti Lembah Kelang. Kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati purata harga rumah ketika ini di Malaysia adalah 4.4 kali lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan sebenar rakyat Malaysia.

Trend peningkatan harga rumah ternyata telah memberikan kesan secara langsung terhadap ketidakmampuan rakyat Malaysia khususnya golongan muda untuk memiliki rumah sendiri. Bagi yang telah berjaya mendapatkan pinjaman perumahan, mereka perlu memperuntukkan hampir separuh yakni kira-kira 47% daripada pendapatan mereka hanya untuk membayar pinjaman perumahan selama lebih kurang 30 tahun. Jika ditambah dengan pinjaman kereta, maka lebih daripada separuh pendapatan terpaksa diperuntukkan hanya untuk membayar hutang rumah dan kereta. Memperuntukkan setiap bulan lebih dari separuh pendapatan bulanan hanya untuk menyelesaikan  hutang rumah dan kereta sudah menjadi fenomena biasa bagi rakyat Malaysia.

Sudah tentu perkara sebegini akan memberi tekanan fizikal dan mental kerana terpaksa berkerja keras untuk menyelesaikan komitmen hutang yang banyak dalam tempoh yang sangat panjang. Kehilangan pekerjaan ketika hutang rumah mahupun kereta masih lagi belum terlangsai, tentunya merupakan satu perkara yang sangat membimbangkan. Situasi sebegini menyebabkan tumpuan atau halatuju hidup akhirnya terjerat kepada kehidupan yang berkisar kepada duniawi semata-mata, siang dan malam berfikir tentang bagaimana untuk mencari duit. Bagi yang kurang bernasib baik, kehilangan pekerjaan ketika hutang rumah masih berbaki separuh jalan, sudah pasti bukan sahaja rumah ataupun kereta yang berkemungkinan akan dilelong tetapi juga turut dihimpit dengan baki hutang yang perlu dijelaskan.

Keadaan sebegini sering kali menyebabkan umat Islam seperti tiada masa untuk memikirkan soal kewajipan yang wajib dilakukan sebagai seorang muslim. Kehidupan dunia yang begitu indah serta desakan hidup yang dihimpit dengan hutang-piutang akhirnya menjadikan ramai manusia bukan sahaja lalai dan lupa dengan kewajipan tetapi sering kali juga turut terjebak dengan pelbagai macam kemungkaran seperti pecah amanah, rasuah, penipuan dan lain-lain lagi.

Dalam sistem ekonomi Islam, rumah merupakan salah satu daripada keperluan asas ummat yang wajib dijamin oleh Khalifah. Sebagai ketua negara, Khalifah bertanggungjawab untuk memastikan setiap rakyatnya mempunyai tempat tinggal yakni rumah. Jika terdapat warganegara Daulah yang hidup merempat yakni tidak mempunyai tempat tinggal walaupun seorang, maka ianya merupakan kelalaian Khalifah sebagai ketua negara yang akan diminta pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Jaminan pemenuhan tempat tinggal oleh Khilafah ke atas setiap warganegara dapat dilakukan dengan melaksanakan dasar-dasar politik ekonomi Islam.

Dasar yang pertama ialah, Khalifah mewajibkan setiap orang lelaki yang mampu  bekerja supaya keluar bekerja mencari nafkah agar keperluan asas dirinya serta orang lain yang berada dibawah tanggungjawabnya dapat dipenuhi. Allah SWT berfirman:

“Tempatkanlah mereka (para istri) di mana kamu bertempat tinggal, sesuai dengan kemampuanmu” [TMQ At-Talaq (65): 6].

Jika tidak mempunyai pekerjaan, maka menjadi tanggungjawab kepada Khalifah untuk merangka rancangan ekonomi agar dapat menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi. Bagi yang tiada keupayaan untuk bekerja pula, maka kewajipan untuk memenuhi keperluan asas termasuklah tempat tinggal terletak di bahu anggota keluarga yang terdekat. Akhir sekali, sekiranya ahli keluarga tidak mampu untuk membantu atau tidak mempunyai ahli keluarga, maka Khalifah akan menggunakan perbendaharaan negara iaitu Baitul Mal untuk memenuhi keperluan tempat tinggal. Dengan kata lain, jaminan memiliki tempat tinggal keatas setiap warganegara adalah tanggungjawab ke atas Khalifah. Oleh itu, Khalifah perlu memberikan komitmen terhadap setiap perkara yang dapat merealisasikan terpenuhnya keperluan asas keatas setiap warganegaranya.

“Imam itu adalah penjaga, dan dia bertanggungjawab tehadap Rakyatnya."
[Hadis Mutafaqun Alaih].

Kedua, membanteras segala unsur-unsur yang boleh mengganggu interaksi secara semula jadi antara penawaran dan permintaan rumah. Harga rumah mesti dilepaskan kepada interaksi penawaran dan permintaan untuk menentukan harganya. Jika permintaan rumah adalah tinggi berbanding dengan penawaran, maka sudah tentu harganya akan meningkat. Begitulah juga dengan sebaliknya, di mana jika penawaran terhadap rumah adalah lebih tinggi berbanding dengan permintaan, maka secara automatik harga rumah akan menurun. Demikianlah keadaan yang akan berlaku keatas harga rumah, jika permintaan dan penawaran dibiarkan berinteraksi secara semula jadi. Namun, unsur-unsur seperti spekulasi dapat merosakkan interaksi semula jadi tersebut, di mana akhirnya harga rumah tidak lagi ditentukan berdasarkan interaksi antara permintaan dan penawaran, tetapi ditentukan oleh spekulasi yang dilakukan oleh para spekulator.




Unsur spekulasi merupakan antara faktor utama harga rumah di Malaysia ketika ini melambung tinggi ke tahap yang tidak munasabah, di mana pemaju secara puratanya mengaut keuntungan separuh daripada setiap harga jualan rumah. Namun begitu, unsur spekulasi tersebut tidak dapat dihalang kerana ianya merupakan salah satu elemen yang menggerakkan sistem ekonomi kapitalis. Berbeza halnya dalam sistem ekonomi Islam, sebarang unsur yang boleh merosakkan interaksi secara semula jadi antara permintaan dan penawaran seperti spekulasi dicegah dengan undang-undang negara oleh Khalifah kerana Haram hukumnya.

Ketiga, melarang sebarang aktiviti perniagaan yang berasaskan riba. Umat Islam ditegah daripada terlibat dengan sebarang urusniaga atau aktiviti jual beli yang terdapat unsur riba. Kerana itu, dalam politik ekonomi Islam, tidak akan ada institusi kewangan seperti bank yang bebas memberikan pinjaman riba secara besar-besaran seperti sekarang. Bank yang ada ketika ini bukan sahaja menjadi jantung yang mengerakkan ekonomi kapitalis yang berasaskan riba, tetapi juga turut berperanan mencipta ‘kuasa beli palsu’ dengan memberikan hutang kepada pengguna. 

Dalam interaksi permintaan dan penawaran rumah yang berlaku secara semulajadi, apabila pengguna tidak mampu untuk membeli rumah kerana kuasa beli yang rendah, maka para pemaju perumahan terpaksa menurunkan harga rumah.  Namun dengan adanya institusi-institusi kewangan yang memberikan pinjaman, ia telah mencipta ‘kuasa beli palsu’ dalam putaran ekonomi. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan pemaju perumahan tidak ingin menurunkan harga rumah kerana ‘kuasa beli palsu’ yang telah diciptakan oleh bank, tetapi juga penciptaan hutang dan penjanaan keuntungan daripada riba turut mencipta banyak ‘gelembung ekonomi’. Keadaan sedemikian tidak berlaku dalam sistem ekonomi Islam kerana dicegah oleh undang-undang negara.

Demikianlah, antara dasar politik ekonomi Islam dalam memastikan rumah yang menjadi salah satu keperluan asas dapat dipenuhi. Namun begitu, politik ekonomi Islam tidak akan dapat dilaksanakan tanpa adanya Daulah Khilafah. Ini kerana hanya dalam sistem Khilafah sahaja politik ekonomi Islam dan juga sistem-sistem Islam yang lain seperti sistem pendidikan, uqubat, pergaulan dan pemerintahan dapat diterapkan secara sempurna. Oleh itu, umat Islam hari ini diseluruh dunia perlu bersama-sama berusaha untuk menegakkan semula Daulah Khilafah.


No comments:

Post a Comment