Saturday, 10 December 2016

Usul Pindaan Akta 355

Oleh Barakath

Sekilas Mengenai Usul Akta 355

Perkara 3 dalam Perlembagaan sungguhpun meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, namun tidak menjamin undang-undang Islam sebagai undang-undang rasmi Persekutuan, sebaliknya Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama dan tertinggi negara. 

Kegagalan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu (Hudud dan Qisas) 2001 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan bukti akan perkara ini. 

Kedua-dua undang-undang  tersebut tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan kerana kekangan peruntukan undang-undang yang sedia ada di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu hukumannya mestilah tidak melebihi tiga tahun penjara, lima ribu ringgit denda ataupun enam kali sebatan seperti yang telah ditetapkan oleh Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Pindaan) 1984. 

Hal ini menunjukkan bahawa hukuman dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah belum menyamai kadar hukuman hudud yang sebenar, justru membawa kepada timbulnya usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah melalui Akta 355.

Ironi Pembentangan Pindaan Akta 355

Usul pindaan Akta 355 telah dikemukakan oleh ahli parlimen Marang, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga merupakan Presiden PAS sebagai usul persendirian. Ironinya, pembentangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 ke Parlimen bermula apabila dicadangkan oleh ahli parlimen yang pernah mengkritik Lembaga Penapisan Filem (LPF) agar tidak berfikiran sempit mengenai adegan pasangan bercinta berpegangan tangan dan berpelukan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan telah disokong oleh Datuk Rosnah Rashid Shirlin. 

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan bahawa, usul pindaan mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah tersebut telah dibawa ke kabinet dan telah diluluskan sebelum diusulkan di Parlimen. Hakikatnya sebagai sebuah parti Melayu yang telah lama berkuasa memegang kerusi kepimpinan negara selama ini, UMNO bukan sahaja tidak berusaha untuk memartabatkan perundangan Islam malah secara konsisten menolak sebarang usaha kearahnya.

Reaksi Pelbagai Pihak

Setelah usul RUU pindaan Akta 355 diluluskan untuk dibentangkan di Parlimen, timbul bermacam-macam reaksi dari pelbagai pihak. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang menentang, antaranya adalah dari parti komponen BN, MCA dan MIC yang mengugut mahu meletakkan jawatan di dalam Kabinet jika undang-undang berkenaan diluluskan oleh Dewan Rakyat. 

Majlis Perundingan Melayu (MPM) pula beranggapan bahawa RUU persendirian itu adalah tidak sah, tidak berpelembagaan serta membazir masa dan tenaga serta bercanggah dengan beberapa bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan. Manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong langkah kerajaan negeri Kelantan membawa rang undang-undang persendirian Akta 355 bagi memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap pesalah jenayah syariah negara ini. Namun Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata perkara itu terpulang kepada parlimen yang mempunyai peraturan tersendiri bagi meluluskan usul berkenaan.

Cabaran Perlaksanaan

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1964, atau dikenali sebagai Akta 355 merupakan undang-undang atau akta yang diluluskan oleh Parlimen bagi menentukan had bidang kuasa berkaitan hukuman terhadap jenayah syariah oleh Mahkamah Syariah. Akta yang diluluskan pada pertengahan 1960an tersebut mengambil punca kuasa daripada Perlembagaan Persekutuan, iaitu Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan. Antara butiran tersebut ialah mengenai urusan berkaitan Islam adalah urusan negeri, iaitu termasuklah keanggotaan, susunan dan tatacara Mahkamah Syariah. Namun bidang kuasa berkenaan dan jenis-jenis kesalahan adalah setakat yang diberikan bidang kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd Aziz, Felo Utama Pusat Kajian Syariah di IKIM, tidak ada dokumen sejarah yang menjelaskan tentang kenapakah frasa di dalam Perlembagaan  tersebut digarap sebegitu sedangkan hal ehwal islam berada dalam kuasa autonomi negeri. Ini menjadikan frasa itu terbuka kepada pelbagai tafsiran. 

Namun apa yang pasti ialah Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Parlimen untuk menentukan bidang kuasa berkaitan kesalahan yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Selain tiadanya kemahuan di pihak pemerintah untuk menerapkan perundangan Islam (termasuk hudud) yang sempurna, masalah utama di Malaysia ketika ini adalah kerana Syariat Islam perlu tunduk dan melalui proses demokrasi yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kewajipan Menerapkan Hukum Allah SWT

Hudud hanyalah salah satu daripada sistem hukuman (nidzam al-uqubat) dalam Islam selain daripada jinayat, ta’zir dan mukhalafat. Seharusnya sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT, hal perundangan Islam hendaklah dilihat dan dibahas menurut perspektif tuntutan syariat, bukan peruntukan undang-undang hasil pindaan suara majoriti dan sentimen politik. 

Sikap meletakkan kedaulatan Perlembagaan dan suara majoriti melebihi tuntutan syarak bukan sahaja menunjukkan kerosakan berfikir yang dibawa oleh fahaman sekularisme bahkan sebenarnya jelas menyalahi ajaran Islam kerana penerapan Islam dalam perundangan negara merupakan suatu kewajipan dan perintah daripada Allah SWT yang membawa kepada natijah dosa dan pahala seperti mana firmanNya:

“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44].

“…maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].

“…maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47].

“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5):50].

Janganlah sekali-kali kita sebagai umat Islam terjerat dengan polemik yang berlegar di dalam gelanggang sistem Demokrasi yang ada sehingga kita menjadikan hukum Allah sebagai alat permainan politik. Ingatlah akan firman Allah SWT:


“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):49].

No comments:

Post a Comment