Oleh: Ahmad
Mustafa
Kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) berbanding
Dolar Amerika Syarikat (USD) telah menimbulkan keresahan kepada rakyat Malaysia.
Nilai (RM) berada pada nilai yang tertinggi berbanding (USD) adalah pada bulan
Ogos 2014 (RM 3.1463 bersamaan dengan USD1). Sejak itu nilai ringgit telah
mengalami kejatuhan sebanyak 31.11% (Ogos 2014 - Okt 2016). Secara puratanya
setiap bulan nilai RM menyusut sebanyak 1.26% berbanding USD. Penurunan nilai RM
ketika ini hampir serupa seperti kejatuhan nilai RM semasa krisis ekonomi Asia
pada tahun 1997. Kadar tukaran semasa nilai ringgit berbanding Dolar adalah RM 4.13
bersamaan dengan USD1 (10/10/2016).
Persoalan asas yang bermain di fikiran
tentunya, apakah punca sebenar yang membawa kepada penyusutan nilai RM berbanding
USD? Dan apakah kesan yang akan berlaku kepada kehidupan rakyat Malaysia ekoran
kejatuhan nilai RM? Seterusnya bilakah krisis ini akan berakhir?
Faktor utama yang menyebabkan nilai RM menyusut
adalah kerana sistem matawang hari ini dibangunkan atas tiga asas utama;
i.
Wang Fiat (Fiat Money)
ii.
Nisbah Rizab Berkanun (fractional reserve
requirement)
iii.
Kadar Bunga atau Riba (Interest Rate)
Realiti yang berlaku ketika ini ialah jumlah
penawaran matawang yang beredar dalam masyarakat berkembang jauh lebih pesat
daripada pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Ini kerana pengeluaran Wang
Fiat yang digunakan diseluruh dunia ketika ini termasuklah di Malaysia diperakukan
(legal tender) berdasarkan jaminan oleh Kerajaan yang memerintah. Perakuan
berdasarkan jaminan kerajaan yang memberikan keyakinan kepada orang ramai untuk
mengunakan wang tersebut sebagai alat tukar. Dengan kata lain, wang tersebut
tidak lagi diperakukan oleh kerajaan yang memerintah, maka wang tersebut sama
nilainya dengan kertas kosong. Begitu juga, apabila tahap keyakinan orang ramai
terhadap sesuatu matawang berkurang, maka nilai matawang tersebut akan
menyusut.
Ini menyebabkan nilai matawang yang digunakan
ketika ini terlalu mudah untuk dimanipulasi berdasarkan persepsi khususnya yang
berkaitan dengan perkembagan politik dan ekonomi. Masalah ini dikomentari oleh
Tun Dr Mahathir sebagaimana ucapannya ;
“Sebenarnya matawang tidak berharga melainkan
jika Kerajaan memberi nilai kepadanya. Wang
kertas RM1.00 bukan bernilai RM1.00 daripada segi harga
kertasnya. Ia bernilai RM1.00 kerana itulah nilai yang
ditetapkan oleh Kerajaan. Jika Kerajaan mencetak angka lima atau sepuluh maka
nilai kertasnya tidak
naik kepada RM5.00
atau RM10.00. Hanya pengakuan
dan jaminan Kerajaan
yang menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan.” (Tun Dr Mahathir Mohammed, Perutusan Hari
Raya Aidilfitri, 18/01/1999, Siaran langsung oleh RTM).
Oleh itu, sekiranya
berlaku krisis kepercayaan terhadap perkembangan politik atau berlaku krisis ekonomi
disesebuah negara, maka sudah tentu nilai matawang negara tersebut akan jatuh
merudum. Realiti ini boleh dilihat dengan jelas dinegara-negara yang sedang
bergolak dengan peperangan.
Sejarah
Matawang Fiat
Sejarah wang kertas di Malaysia bermula
apabila Imperialis British mengeluarkan wang kertas pertama pada tahun 1899
yang bersandarkan kepada surat jaminan dan logam perak. Seterusnya pada tahun
1906, wang tersebut disandarkan kepada Sterling dengan kadar pertukaran $1 Dolar
selat = 2s4d (2 syiling dan 4 Pence Sterling) atau $60 Dolar Selat bersamaan
dengan 7 wang emas bernilai 20 syiling Sterling setiap satu. Ini bermakna
apabila Dolar Selat diserahkan kembali kepada kerajaan, pemiliknya akan
mendapat sejumlah emas seperti dicatat di muka depanya.
Wang Pokok Pisang yang diperkenalkan dizaman penjajahan Jepun |
Namun apabila Singapura jatuh ke tangan Jepun pada
15 Februari 1942, pihak Jepun telah merekacipta nota bank yang baru bagi
menggantikan Dolar Selat. Kesemua nota ini ditukar dengan nisbah 1:1 dengan matawang
Jepun (Wang Pokok Pisang). Sesiapa sahaja yang tidak mematuhi arahan
menggunakan matawang Jepun sebagai matawang, maka akan dikenakan hukuman yang
berat. Bagi memenuhi keperluan ketenteraannya membeli barang-barang keperluan,
pihak Jepun telah mencetak Wang Pokok Pisang dengan sewenang-wenangnya. Pihak Jepun juga turut memperkenalkan not 100
Dolar dan ianya dicetak dengan sesuka hati bagi menampung perbelanjaan
ketenteraannya.
Ini menyebabkan hyperinflasi berlaku di Tanah
Melayu ketika itu, wang yang beredar sudah sama seperti kertas kosong sahaja. Keadaan
sedemikian di alami oleh penduduk Tanah Melayu sehinggalah Dolar Selat
digunakan semula apabila Tanah Melayu kembali dijajah oleh British selepas
perang dunia ke-2 tamat.
Di peringkat antarabangsa, sejarah wang fiat
telah bermula apabila Perjanjian Bretton Woods ditandatangani pada tahun 1944
di Bretton Woods, New Hampshire Amerika Syarikat. Perjanjian yang melibatkan 44
buah Negara dunia telah bersetuju untuk menyandarkan mata wang kertas
masing-masing dengan nilai tetap (dengan apungan 1%) kepada Dolar Amerika,
dimana nilai USD35 ditetapkan bersamaan
dengan satu auns emas. Sistem Kewangan berdasarkan
mekanisma tersebut merupakan idea seorang
ahli ekonomi yang terkenal pada masa itu, iaitu John Maynard Keynes. Ketika itu
semua mata wang yang dimiliki boleh ditukar dengan stok emas di Fort Knox.
Pemansuhan Sistem Sandaran Emas
Kebangkitan Jepun sebagai kuasa industri pada
tahun pada tahun 1960an telah berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat. Begitu juga dengan negara-negara eropah
yang bangkit sebagai kuasa industri pasca perang dunia ke-2. Ini menyebabkan
banyak barang-barang import telah masuk ke Amerika Syarikat akibat permintaan
yang tinggi daripada rakyatnya. Keadaan ini menyebabkan banyak Dolar Amerika
(USD) yang telah mengalir ke luar negara sehingga menyebabkan imbangan
pembayaran Amerika menjadi negatif.
Apabila beberapa buah negara mula menukar
USD yang mereka dimiliki dengan emas yang tersimpan di Amerika Syarikat
mengikut nisbah yang dipersetujui dalam perjanjian Bretton Woods, simpanan emas
di Fort Knox mula berkurang sedikit demi sedikit. Penukaran emas dengan USD yang dimiliki oleh
negara lain khususnya negara-negara Eropah menjadi semakin tinggi apabila
tersebar khabar angin bahawa Federal
Reserve (Bank Pusat AS) telah mencetak USD melebihi kapasiti simpanan emasnya.
Presiden
Perancis Charles de Gaule sebagai orang yang pertama menentang hegemoni USD
telah menukarkaan sejumlah 150 juta USD yang dimiliki oleh Perancis dengan simpanan
emas Amerika Syarikat. Tindakan Perancis ini kemudian diikuti oleh Sepanyol
yang menarik keluar simpanan emas Amerika Syarikat dengan menukarkannya dengan
nilai 60 juta USD. Tindakan tersebut telah menyebabkan simpanan emas di Fort
Knox berkurang secara drastik. Keadaan simpanan emas Amerika Syarikat menjadi
semakin bertambah parah, apabila terpaksa berbelanja dalam perang Vietnam.
Keadaan tersebut menyebabkan kerajaan Amerika
Syarikat yang diketuai oleh Richard Nixon, telah memikirkan rancangan baru bagi
mengubah sistem matawang antarabangsa. Hasilnya setelah pulang dari Camp David Maryland,
Presiden Richard Nixon pada 15 ogos 1971 telah mengumumkan pemansuhan
perjanjian Bretton Woods. Maka, tiada lagi hubungan antara matawang dengan
sandaran emas. Dengan kata lain, matawang USD yang dimiliki oleh mana-mana
pihak, tidak lagi boleh ditukar dengan emas seperti dalam perjanjian Bretton
Woods.
Kesannya, semua matawang di dunia telah berubah
menjadi matawang fiat iaitu matawang yang bernilai sifar dari segi nilai
intrisiknya tetapi nilainya bergantung kepada kumpulan mata wang asing (basket of currencies) dan kepercayaan
semata-mata. Keadaan ini menyebabkan nilai matawang yang digunakan diseluruh
dunia ketika ini sangat terdedah kepada unsur spekulasi dan manupulasi.
Duit kupang emas di zaman pemerintahan Sultan Ala'udin Riayat Shah II (Johor) pada tahun 1597 - 1613 |
Duit pitis (timah) Kelantan - Terengganu pada abad ke 17-18 masihi |