Friday, 9 December 2016

Mengawal Peningkatan Hutang Isi Rumah dengan Syariah

Oleh Ahmad Mustafa

Statistik pada tahun 2014 menunjukkan nisbah relatif hutang isi rumah (household debt) dengan pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat Malaysia telah mencapai 150%.  Nisbah relatif ini menunjukkan bahawa isi rumah di Malaysia berada dalam fenomena perbelanjaan melebihi pendapatan.  Angka ini merupakan antara yang tertinggi di Asia. 

Hutang isi rumah ini berpunca dari pinjaman daripada institusi kewangan bagi tujuan pembelian rumah, kereta, pinjaman peribadi, kad kredit dan lain-lain. Jumlah hutang isi rumah tersebut  tidak termasuk hutang daripada pihak Along yang dilakukan oleh pengusaha kecil dan juga individu, serta pinjaman daripada anggota keluarga atau sahabat handai yang tidak mempunyai rekod rasmi oleh Negara.

Manakala Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan statistik komposisi hutang isi rumah untuk empat tahun berturut-turut (2010-2013) mengikut pengelasan peratusan menunjukkan bahawa pinjaman perumahan (47%) merupakan kategori pinjaman yang tertinggi diikuti oleh pinjaman kenderaan (20%), peribadi (8.3%) dan kad kredit (5%). Pada tahun 2015 hutang isi rumah Malaysia antara yang tertinggi di rantau Asia, meningkat dari 86.8% kepada 89.1%  daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


Peningkatan pendapatan isi rumah secara purata adalah sebanyak 8% saban tahun yang perlahan dan tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup menyebabkan masyarakat terus dihimpit dengan bebanan hutang yang tinggi. Tidak dapat dinafikan bahawa sikap berbelanja melebihi pendapatan menyebabkan mereka terpaksa berhutang untuk menampung gaya hidup mereka dan akhirnya terjerat dalam pusingan hutang yang berpanjangan. Dalam usia yang muda, ramai rakyat Malaysia yang telah diisytiharkan bangkrap kerana gagal melunaskan hutang kad kredit. Dengan moto "Biar papa asal bergaya", mereka sanggup hidup bermewah-mewah meskipun peningkatan pendapatan mereka tidak seberapa.

Namun ironinya, dalam laporan ekonomi sering kedengaran mantera yang memukau seperti  “ekonomi kita mempunyai asas yang kukuh”, “ekonomi negara masih stabil”, “ekonomi masih belum sampai tahap kritikal”, “ekonomi negara berkembang pesat berbanding negara lain” dan sebagainya. Persoalannya, masih relevankah slogan tersebut berdasarkan realiti sebenar hutang isi rumah rakyat Malaysia?

Dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2015, pinjaman perumahan menyumbang sebanyak 48.6% daripada jumlah hutang isi rumah, ditambah pula dengan harga rumah yang semakin melambung tinggi dan pertumbuhan kredit yang pesat. Apabila krisis kredit berlaku, kuasa beli masyarakat menjadi semakin lemah kerana penciptaan kredit yang melampau akan meningkatkan jumlah wang yang beredar dalam ekonomi tidak selari dengan jumlah pengeluaran yang sebenar, sekaligus merosakkan aliran tunai dan melembapkan ekonomi domestik. Ini juga merupakan salah satu petanda tidak baik, yang akan mendatangkan implikasi buruk kepada psikologi masyarakat. Ketidakmampuan untuk membayar balik pinjaman menyebabkan pembeli akan kehilangan aset, seterusnya boleh menyebabkan tekanan perasaan, kemurungan, masalah mental, sehingga boleh menyebabkan kes bunuh diri dan keruntuhan rumahtangga.

Semakin tinggi permintaan kepada pinjaman kredit, maka semakin tinggi kadar bunga (faedah) terhadap pinjaman. Kadar bunga atau faedah merupakan harga untuk pinjaman, yang mana ianya berkadar langsung dengan permintaan terhadap kemudahan kredit. 

Peningkatan kadar faedah ini akan turut meningkatkan kos hutang (kadar bunga) dan akan mengurangkan pendapatan boleh guna, seterusnya akan mengurangkan kemampuan untuk berbelanja. Perkembangan ini hakikatnya akan memberi kesan negatif terhadap kualiti hidup rakyat dan juga kitaran ekonomi negara.

Justeru, apakah peranan yang boleh dimainkan oleh individu, masyarakat dan negara dalam menangani isu  ini? Di sinilah pentingnya kesedaran dalam masyarakat terhadap aspek syariah dan perancangan kewangan, bagi mengelakkan pinjaman tidak berbayar dan diisytiharkan muflis (bangkrap) secara syarie. 

Dalam Islam, hukum-hakam Islam perlu diterapkan dalam minda masyarakat sebelum membuat sebarang perbelanjaan. Tidak kira sama ada perbelanjaan tersebut melibatkan pembelian barang keperluan, kemudahan mahupun pembelian barang mewah.

Dalam sistem kapitalis sebagaimana anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), jumlah kredit mestilah tidak boleh melebihi 1/3 daripada pendapatan boleh guna.  Ada juga pihak yang meletakkan 40% daripada pendapatan boleh guna sebagai ukuran. Ukuran sedemikian, mungkin boleh sahaja dijadikan garis panduan dalam mengurus kewangan.  

Namun begitu, perkara yang penting ialah masyarakat perlu memahami hukum-hakam berkaitan dengan kewangan dan kemahiran pengurusan kewangan yang dilihat mampu membantu masyarakat untuk mengatasi masalah bebanan hutang dan melahirkan masyarakat yang celik kewangan berteraskan syariah.

Pendidikan kewangan berteraskan syariah seharusnya bermula daripada rumah dan sekolah. Negara harus memupuk tabiat ini dengan membudayakannya di dalam masyarakat dan ianya perlu dilakukan dengan istiqamah.

Setiap Muslim diharamkan oleh Islam untuk melakukan pinjaman kredit yang berteraskan riba, di mana riba merupakan asas kepada sistem kewangan hari ini. Kesedaran mengenai keharaman riba akan mengurangkan permintaan kepada pinjaman kredit, seterusnya dapat menstabilkan kewangan dan juga kadar inflasi. Kesedaran ini perlu ditanam dalam diri masyarakat dengan penghayatan yang benar.  

Apa sahaja pembiayaan yang tidak syar’i mesti dijauhi.  Hukum-hakam berkenaan dengan Qard iaitu hutang dalam bentuk tunai, segala bentuk jenis matawang termasuk emas dan perak (Qard : Konsep Paper, hal 7, Bank Negara Malaysia, 2016) hendaklah diterapkan,  tidak terkecuali hukum-hakam syarak berkenaan Dayn iaitu hutang kerana urusniaga kredit, harus dilaksanakan bagi mengelakkan diri kaum Muslimin terjebak dalam urusniaga yang mendatangkan dosa.

Masyarakat pula perlulah melakukan amar makruf nahi mungkar jika mendapati ada pihak yang melanggar hukum-hakam islam ketika bermuamalah.  Saling menasihati sesama anggota masyarakat dapat mencegah daripada berlakunya transaksi yang tidak patuh syariah. Khalifah sebagai Ketua Negara juga mempunyai tugas yang mulia di sisi syarak, iaitu menjadi pengurus kepada rakyatnya dengan cara menerapkan hukum syarak sebagaimana yang digariskan oleh Hadis Nabi SAW: “Imam itu adalah penjaga, dan dia bertanggungjawab tehadap Rakyatnya." [Hadis Muttafaqun Alaih].

Khalifah perlu memastikan segala urusniaga yang berlaku terhindar daripada sebarang unsur riba dan tidak membenarkan sama sekali  badan kewangan yang membuka perniagaan berteraskan riba. Negara juga perlu mengawasi agar tidak wujud badan kewangan yang melakukan helah riba, iaitu mengekalkan cara kapitalis tetapi dijenamakan dengan istilah-istilah Arab ataupun aktiviti "back-door" riba. 

Selain itu, sebagai Ketua Negara, Khalifah bertanggungjawab untuk memastikan keperluan asas rakyat (makanan, pakaian dan tempat tinggal) dapat dipenuhi. Negara juga berperanan sebagai badan pengawasan urusan muamalah rakyat, yakni jika ada rakyat yang tidak mematuhi syariah dalam perkara muamalah dan melakukan transaksi hutang riba, atau melakukan penciptaan kredit dengan riba, maka mereka akan dikenakan tindakan undang-undang berbentuk takzir.

Justeru itu untuk mengawal hutang isi rumah dengan cara yang benar, individu, masyarakat dan negara mestilah bergerak seiring dengan mematuhi syariah. Ketakwaan kepada Allah SWT adalah kunci untuk membentuk keperibadian Islam. Amar Makruf Nahi Mungkar perlu dilakukan oleh masyarakat, manakala negara pula berperanan menjaga kebajikan rakyat dan menerapkan undang-undang Islam agar dapat memastikan sistem syariah berjalan dalam sebuah Sistem Kewangan Islam secara sempurna.


Thursday, 8 December 2016

Budget Malaysia 2017 vs Budget Sistem Ekonomi Islam

Oleh: M Faizal Abu Suhaib

Pembentangan Bajet 2017 dilakukan seperti lazimnya setiap tahun bagi mengatur perbelanjaan Malaysia sepanjang tahun 2017. Pembentangan bajet 2017 oleh Dato’ Sri Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan Malaysia kali ini mendapat perhatian yang  lebih khusus memandangkan Malaysia sedang berhadapan dengan keadaan kelembapan ekonomi dan juga menghadapi kekurangan pendapatan yang mendadak akibat kejatuhan harga minyak dunia. Tambahan pula, pengisytiharan pembubaran parlimen bagi membuka laluan kepada diadakan PRU14  kini terletak ditangan Dato’ Sri Najib.

Segala justifikasi dan ‘rasionalisasi’ terhadap budget 2017 yang diberikan oleh para menteri dan para cendekiawan tentunya sangat sukar untuk dihadam oleh rakyat kebanyakkan yang secara nyata berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup. Tambahan pula kesan kelembapan ekonomi Malaysia ketika ini dapat dilihat dan dirasakan sendiri. Banyak syarikat besar, satu demi satu terpaksa membuang pekerja bagi mengurangkan kos operasi, peniaga-peniaga kecil banyak yang terpaksa gulung tikar, para graduan sukar untuk mendapat pekerjaan, bahkan semakin ramai rakyat Malaysia yang terpaksa membuat kerja sampingan semata-mata untuk menampung kos kehidupan yang semakin meningkat.

Walaupun harapan indah yang diberikan setiap tahun daripada pembentangan bajet ternyata berbeza dengan realiti kehidupan sebenar yang dihadapi oleh kebanyakkan rakyat, namun ianya masih belum dapat menyedarkan rakyat Malaysia tentang kerosakan sistem ekonomi kapitalis yang digunakan dalam menguruskan ekonomi Malaysia. Secara umumnya, rakyat Malaysia melihat bahawa kepincangan yang berlaku dalam pengurusan ekonomi Malaysia sehingga membawa kepada masalah seperti kenaikkan kos sara hidup, kurang peluang pekerjaan dan sebagainya adalah disebabkan kegagalan urustadbir negara oleh kerajaan yang memerintah.

Walhal, hakikatnya sudah banyak contoh yang berlaku di seluruh dunia menunjukkan perubahan kerajaan tanpa perubahan sistem tidak menghasilkan perubahan seperti yang diharapkan. Oleh itu, umat Islam khususnya di Malaysia harus menyedari bahawa kerosakkan dan  kesengsaraan hidup yang sedang dialami ketika ini adalah disebabkan pengurusan ekonomi negara Malaysia diuruskan berdasarkan sistem ekonomi kapitalis. 

Jalan Keluar daripada Bajet Janji Manis Ekonomi Kapitalis

Pernahkah anda terbayang hidup disebuah Negara yang tiada rakyatnya miskin? Hinggakan pemerintah negara terpaksa mengerahkan pegawainya untuk pergi ke ceruk-ceruk desa untuk mencari rakyat yang miskin agar bantuan negara dapat disalurkan namun pegawai kerajaan tersebut terpaksa balik dengan hampa kerana tidak dijumpai rakyat yang mahu terima bantuan tersebut. Percaya atau tidak, keadaan ini benar-benar pernah berlaku dalam sejarah kewujudan Pemerintahan Khilafah.

Diriwayatkan oleh Yahya bin Said yang juga salah seorang gabenor berkata, "Saya pernah diutus Umar bin Abdul Aziz untuk memungut zakat ke Afrika. Selepas memungutnya, saya berniat untuk memberikannya kepada orang fakir. Namun, saya tidak menjumpai seorang pun. Umar bin Abdul Aziz telah menjadikan semua rakyat pada waktu itu kaya. Akhirnya, zakat itu saya putuskan untuk membeli hamba sahaya lalu memerdekakannya."

Adakah kegemilangan ini dicapai dalam negara yang mengamalkan sistem Kapitalis mahupun Sosialis? Tidak sama sekali! Kegemilangan ini wujud di era pemerintahan Islam, semasa zaman kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz. Kegemilangan ini bukan semata-mata kerana kehebatan Umar bin Abdul Aziz sebagai pemerintah. Tetapi disebalik  kehebatan ini adalah kerana pelaksanaan sistem ekonomi yang adil, yang manusiawi, yang diwahyukan oleh pencipta manusia (Allah SWT) iaitu sistem ekonomi Islam. Sistem ekonomi Islam adalah merupakan sebahagian daripada komponen dalam sistem pemerintahan Negara Islam iaitu Sistem Khilafah. Sebuah bentuk pemerintahan yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW di Madinah.

Inilah jalan keluar kepada permasalahan ekonomi yang dideritai rakyat akibat kerapuhan sistem ekonomi Kapitalis. Buletin Khaira Ummah kali ini ingin berkongsi gambaran tentang bagaimana belanjawannya diatur dalam sistem ekonomi Islam. Bermula daripada aspek penjanaan pendapatan hinggalah bagaimana pendapatan yang diperolehi dibelanjakan. 

Batu Asas Ekonomi Islam

Negara  Khilafah mengatur belanjawan negara melalui institusi yang dinamakan Baitul Mal. Baitul Mal mengendalikan segala urusan kewangan Negara dengan mengurus harta yang diterima oleh negara dan mengurus pengagihannya kepada rakyat yang berhak menerimanya.

Sejarah Baitul Mal ini diasaskan oleh Nabi SAW sendiri. Cumanya di zaman Nabi SAW, Baitul Mal belum ada tempat (bangunan) yang khusus. Ini disebabkan harta yang masuk pada saat itu belum begitu banyak dan kebiasaannya Nabi SAW akan mengagihkan kepada kaum Muslimin dengan kadar yang segera.

Saidina Abu Bakar, pada tahun kedua pemerintahannya, beliau telah mewujudkan lokasi khusus Baitul Mal iaitu di rumahnya sendiri. Pada zaman pemerintahan Umar, negara Islam semakin berkembang dan semakin banyak harta yang mengalir ke kota Madinah. Maka Saidina Umar telah membuat bangunan Baitul Mal yang khusus, membentuk struktur pengurusan harta Baitul Mal yang lebih tersusun dengan melantik para penulis dan pengurus. Sejak itu, institusi Baitul Mal memainkan peranan utama sebagai menjana ekonomi Islam yang adil dan stabil.

Baitul Mal sebagai Institusi Pengurus Belanjawan Negara Islam

Baitul Mal sebagai pengurus belanjawan negara, secara asasnya terdiri daripada dua sektor utama iaitu Sektor Pendapatan Negara (Qism Al-Waradat) dan Sektor Perbelanjaan Negara (Qism Al-Nafaqat). Penjelasan secara umum peranan kedua-dua sektor ini seperti dibawah:

Sektor Pendapatan Negara (Qism Al-Waradat)

Qism Al-Waradat bertanggungjawab mengurus harta yang masuk ke dalam Baitul Mal termasuk seluruh harta yang menjadi sumber pendapatan negara. Sektor ini mempunyai 3 bahagian (Diwan) utama seperti gambarajah dibawah.

Gambarajah Qism Al-Waradat dalam Daulah Khilafah

Bahagian pertama ialah Diwan Al-Fai’ Wa Al-Kharaj. Diwan ini merupakan bahagian yang bertanggungjawab atas penyimpanan dan pengaturan sumber pendapatan negara yang meliputi harta fai’ bagi seluruh kaum Muslimin. Ia juga menguruskan kemasukan dari dharibah (satu bentuk pungutan) yang diwajibkan ke atas kaum Muslimin tatkala sumber pendapatan Baitul Mal tidak mencukupi untuk memenuhi anggaran perbelanjaan yang bersifat wajib, baik dalam keadaan Negara mengalami krisis mahupun tidak. Untuk keperluan ini, dikhususkan suatu bahagian di dalam Baitul Mal di mana harta tersebut diuruskan untuk mengatur kepentingan kaum Muslimin serta kemaslahatan mereka sesuai dengan pendapat dan ijtihad Khalifah.

Bahagian kedua ialah Diwan Al-Milkiyyah Al-Ammah (Pemilikan Umum), bertanggungjawab untuk menguruskan harta milik umum. Islam memandang kekayaan minyak, gas dan sumber galian sebagai harta milik umat secara kolektif. Harta ini tidak boleh dihakmilik, dimonopoli oleh individu, syarikat mahupun negeri atau negara. Ianya adalah harta umat yang mana wajib diuruskan oleh negara dan kekayaannya akan dikembalikan kepada umat. Nagara hanya diamanahkan untuk mengurus, bukan pemilik harta ini. Di dalam negara Kapitalis, umat dinafikan hak mereka keatas kekayaan mereka ini malah dikenakan bayaran mahal. Selain minyak, gas dan bahan galian, harta milik umum yang lain ialah elektrik, laut, sungai, perairan, mata air, hutan, padang ragut, dan tempat khusus yang dirizabkan oleh Negara.

Bahagian yang ketiga ialah Diwan as-Sodaqat, bertanggungjawab menguruskan harta zakat. Keseluruhan harta zakat ditempatkan di dalam Baitul Mal secara khusus, diasingkan daripada harta yang lain kerana ianya wajib diagihkan kepada golongan tertentu sahaja iaitu lapan golongan asnaf zakat. Harta zakat hari ini banyak digunakan untuk perkara-perkara yang sepatutnya menjadi tangggung jawab negara seperti pendidikan dan perubatan. Islam memandang pendidikan dan perubatan rakyat adalah tanggung jawab negara. Negara wajib menggunakan harta daripada sumber pendapatan negara untuk penuhi keperluan asas rakyat ini. Tidak boleh menggunakan dana zakat untuk tujuan menampung kos pendidikan dan perubatan. Bayangkan jika dana zakat yang ada ketika ini disalurkan kepada asnaf seperti golongan fakir dan miskin sudah tentu kadar kemiskinan dapat diatasi dengan berkesan.

Sektor Perbelanjaan Negara (Qism Al-Nafaqat)

Qism Al-Nafaqat adalah sektor pengeluaran yang mencakupi semua jenis harta yang wajib dibelanjakan oleh Negara untuk pelbagai keperluan termasuk pembelanjaan Baitul Mal itu sendiri. Di dalamnya terdapat beberapa 8 bahagian (Diwan) untuk memastikan kecekapan dan keadilan perbelanjaan negara seperti didalam gambarajah dibawah.

Gambarajah Qism Al-Nafaqat dalam Daulah Khilafah

Bahagian yang bertanggungjawab menggubal bajet negara Islam termasuk anggaran pendapatan dan perbelanjaan negara ialah Diwan Al-Muwazanah al-Ammah (Bajet Umum). 

Untuk memastikan perbelanjaan dibelanja dengan adil, maka Diwan Al-Muraqabah (Pengawasan) diwujudkan sebagai pemeriksa (auditor) untuk meneliti secara mendalam keadilan pengagihan harta negara oleh para pegawai yang diamanahkan mengelolakan harta-harta tersebut termasuk mengawasi urusan administrasi seluruh struktur Diwan dan Administrasi Negara seperti digambarajah diatas.

Kesimpulan

Inilah secara umum struktur administrasi sistem kewangan Negara Islam Khilafah dalam mengatur belanjawan Negara. Ianya ternyata jauh berbeza dari sistem ekonomi Kapitalisme yang diamalkan pada hari ini. Kembali menerapkan sistem ekonomi Islam merupakan jalan keluar kepada permasalahan ekonomi yang dihasilkan oleh sistem ekonomi Kapitalis. Semoga tulisan ringkas ini mampu memberi kesedaran bahawa sistem ekonomi Kapitalis ciptaan manusia ini perlu ditolak dan mampu menyedarkan umat Islam untuk berganding bahu berusaha agar segera diganti dengan sistem ekonomi Islam yang akan mendatangkan kesejahteraan untuk seluruh umat manusia.



Tuesday, 6 December 2016

Konferens Sistem Ekonomi Islam 2016

Konferens Sistem Ekonomi Islam 2016 anjuran Hizbut Tahrir Malaysia di Kuala Lumpur pada 11 Disember 2016. Anda semua dijemput hadir. Masuk percuma




Konsep Hutang Piutang Dan Muflis Dalam Perspektif Islam

Oleh : Fendi 

Dalam bahasa arab, hutang disebut dengan al-qard (القرض), dan ada kalanya disebut juga sebagai ad-dayn (الـدَّيـن). Secara bahasa al-qard bermaksud al-qath’u (القطع) yang bererti memotong. Ini kerana orang yang memberikan hutang kepada orang lain telah memotong sebahagian hartanya untuk dipinjamkan. Jadi al-qard adalah harta yang diberikan untuk dibayar kembali di kemudian hari.


Jadi hutang adalah pemberian pinjaman sesuatu manfaat kepada seseorang untuk dikembalikan atau dibayar semula dengan jumlah yang sama. Manfaat tersebut mencakupi harta sama ada wang atau barang.

Hutang piutang adalah transaksi di antara dua pihak, di mana satu pihak sebagai pemiutang  dan satu pihak lagi sebagai penghutang.

Hukum Berhutang

Hukum hutang piutang adalah jaiz (dibolehkan). Namun terdapat dua hukum yang berbeza ke atas pemiutang (pemberi hutang) dan juga penghutang (peminjam).

Memberikan hutang atau pinjaman kepada orang yang memerlukan tergolong di dalam perbuatan mulia dan salah satu bentuk taqqarub kepada Allah SWT. Hukumnya tergolong dalam kategori mandub (sunat). Dalil yang menjadi landasannya ialah firman Allah SWT;

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) [TMQ al-Ma’idah (5):2]

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)[TMQ al-Baqarah (2):282]

Abu Hurairah ra. Meriwayatkan:

Barangsiapa yang meringankan suatu kesulitan dunia bagi seorang Mukmin nescaya Allah meringankan daripadanya kesulitan akhirat. Siapa sahaja yang mempermudah orang yang sedang mengalami kesukaran nescaya Allah memberinya kemudahan di dunia dan akhirat. (HR Muslim)

Daripada ayat al-Quran dan Hadis Nabi tersebut dapatlah difahami bahawa tidak ada larangan dalam melakukan transaksi hutang piutang ini, bahkan memberikan hutang kepada orang lain adalah sesuatu yang dianjurkan (sunat) dan berpahala. Ini kerana, memberikan hutang termasuk salah satu perbuatan tolong menolong dalam kebaikan dan membantu orang yang sedang dalam kesulitan dan kesusahan.


Sedangkan bagi pihak yang meminjam atau berhutang, hukumnya adalah mubah (harus). Dalil ketentuan hukum mubah ini diambil daripada perbuatan Rasulullah SAW sendiri yang pernah berhutang. Namun perbuatan Rasulullah SAW ini tidak menunjukkan adanya perintah mahupun qarinah (petunjuk) yang memberikan pujian bahawa berhutang ini adalah sunat seperti mana orang yang memberikan hutang. Malah ia juga tidak mengandungi suatu bentuk taqarrub yang membawa pengertian bahawa berhutang ini juga termasuk dalam kategori sunat. Jadi kesimpulannya, perbuatan memberikan hutang kepada orang lain tergolong dalam kategori mandub (sunat) manakala orang yang meminta hutang pula hukumnya mubah (harus).

Kewajipan Membayar Hutang

Pembayaran semula pinjaman (hutang) merupakan perkara yang jelas. Orang yang berhutang perlu melunaskan semula harta yang dipinjam tersebut kepada pemiliknya berdasarkan kesepakatan di antara kedua belah pihak yang berakad. Dengan demikian, hukum berhutang itu adalah mubah sedangkan membayarnya semula adalah wajib. Rasulullah SAW bersabda:

Jiwa seorang mukmin itu tergantung kerana hutangnya sehingga hutangnya dilangsaikan (HR Ahmad dan Tirmidzi)

Rasulullah SAW juga pernah menolak untuk mensolatkan jenazah yang diketahui masih tidak membayar hutang semasa hidupnya dan tidak meninggalkan harta untuk membayarnya. Sehinggalah terdapat penjamin yang ingin menanggung (membayar) hutang tersebut. Bahkan beratnya bebanan hutang ini seperti yang digambarkan dalam sebuah hadis:

Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang (HR Muslim)

Hutang Yang Tidak Dapat Dibayar

Namun demikian, terdapat situasi di mana orang yang berhutang tidak mampu untuk melangsaikan hutangnya pada masa yang ditetapkan. Maka di sini terdapat hukum tertentu ke atas pemiutang dan penghutang.

Allah SWT berfirman;

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).[TMQ al-Baqarah (2):280].

Di dalam ayat tersebut terdapat anjuran kepada pemiutang agar memberikan penangguhan atau hutang itu disedekahkan, sekiranya orang yang berhutang tidak dapat membayar semula pinjaman sebagaimana yang ditetapkan berdasarkan perjanjian kerana kesempitan atau kesulitan hidup.
Rasulullah SAW bersabda;

Barangsiapa yang mengharapkan agar diselamatkan oleh Allah daripada kesulitan pada Hari Kiamat maka hendaklah ia memberikan keringanan kepada orang yang sedang dalam kesusahan atau menggugurkan hutangnya (HR Muslim).

Perlu diingatkan bahawa anjuran yang dinyatakan di dalam ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW itu merupakan sunat. Ia tidak membawa makna hukum wajib yang terkena ke atas pemiutang.

Bagi orang yang berhutang, tetaplah wajib membayarnya. Kewajipan tersebut tidak akan terangkat melainkan jika pemiutang telah menjadikan harta hutang itu sebagai sedekah.

Tambahan Atau Manfaat Dalam Pembayaran Hutang

Setiap akad hutang yang memberikan manfaat atau penambahan dalam pembayaran hutang merupakan perkara yang diharamkan oleh syara’. Setiap manfaat dan pertambahan tersebut adalah termasuk dalam hukum riba. Jika pertambahan tersebut disyaratkan di dalam akad maka ia jelas merupakan riba. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW;

Sesungguhnya Nabi SAW telah melarang hutang yang menarik suatu manfaat (HR al-Harits bin Abi Usamah).

Ibnu Mundzir berkata, “Para ulama’ sepakat bahawa jika pemiutang mensyaratkan kepada penghutang sesuatu tambahan atau hadiah, maka tambahan yang diambil itu adalah riba.” (Al-Ijma’, hal. 39).

Namun begitu sekiranya tambahan tersebut tidak disyaratkan maka perkara tersebut perlu diteliti. Menurut Syeikh Taqiyyuddin An-Nabhani, jika peminjam atau penghutang sudah menjadi kebiasaan memberikan hadiah kepada pemiutang (contohnya pemiutang merupakan sahabatnya atau saudaranya), hukumnya adalah mubah (harus). Tetapi sebaliknya jika tidak pernah atau tidak biasa, maka hukumnya adalah haram. (Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah, 2/343).

Sedangkan mafhum hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang menerangkan bahawa sebaik-baik manusia adalah yang baik dalam melunaskan hutangnya itu tidak menunjukkan bolehnya membuat pertambahan terhadap akad hutang.

Jika diteliti hadis tersebut berkisar tentang seseorang yang datang kepada Rasulullah SAW untuk menuntut hutang seekor unta yang pernah diberikannya kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW meminta sahabat memberikan seekor unta untuk dibayar kepada orang tadi. Namun tidak dijumpai unta yang sebaya kecuali unta yang lebih baik, yakni yang lebih tua.

Jadi isu mengenai topik hadis tersebut adalah tentang as-sadad al-hasan (pelunasan hutang yang lebih baik) dan bukannya tentang ziyadah ‘amma ustuqridha iaitu pertambahan jumlah hutang yang dipinjam.

Kesimpulannya, Rasulullah SAW tidak membayar hutang unta itu dengan pertambahan jumlah unta seperti mana yang dipinjam. Sebaliknya beliau SAW tetap membayar seekor unta tetapi dengan lebih baik kualitinya iaitu yang lebih tua. Begitulah ketentuan hukum-hukum tentang permasalahan sekitar hutang-piutang.


Friday, 2 December 2016

Rumah Semakin Susah Dimiliki : Apakah Penyelesaiannya?

Oleh : Mus’ab

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), purata harga rumah di Malaysia pada tahun 2014 ialah sekitar RM280 ribu seunit. Kawasan tumpuan utama penduduk Malaysia iaitu Kuala Lumpur, purata harga rumah telah mencecah harga RM660 ribu seunit, diikuti oleh negeri Selangor RM430 ribu, Sabah RM420 ribu dan Pulau Pinang RM320 ribu. Manakala negeri seperti Perlis, Kedah dan Melaka pula purata harga rumah adalah sekitar RM150 ribu. Berdasarkan trend, harga rumah akan terus meningkat dari tahun ke tahun khususnya di kawasan yang menjadi tumpuan seperti Lembah Kelang. Kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati purata harga rumah ketika ini di Malaysia adalah 4.4 kali lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan sebenar rakyat Malaysia.

Trend peningkatan harga rumah ternyata telah memberikan kesan secara langsung terhadap ketidakmampuan rakyat Malaysia khususnya golongan muda untuk memiliki rumah sendiri. Bagi yang telah berjaya mendapatkan pinjaman perumahan, mereka perlu memperuntukkan hampir separuh yakni kira-kira 47% daripada pendapatan mereka hanya untuk membayar pinjaman perumahan selama lebih kurang 30 tahun. Jika ditambah dengan pinjaman kereta, maka lebih daripada separuh pendapatan terpaksa diperuntukkan hanya untuk membayar hutang rumah dan kereta. Memperuntukkan setiap bulan lebih dari separuh pendapatan bulanan hanya untuk menyelesaikan  hutang rumah dan kereta sudah menjadi fenomena biasa bagi rakyat Malaysia.

Sudah tentu perkara sebegini akan memberi tekanan fizikal dan mental kerana terpaksa berkerja keras untuk menyelesaikan komitmen hutang yang banyak dalam tempoh yang sangat panjang. Kehilangan pekerjaan ketika hutang rumah mahupun kereta masih lagi belum terlangsai, tentunya merupakan satu perkara yang sangat membimbangkan. Situasi sebegini menyebabkan tumpuan atau halatuju hidup akhirnya terjerat kepada kehidupan yang berkisar kepada duniawi semata-mata, siang dan malam berfikir tentang bagaimana untuk mencari duit. Bagi yang kurang bernasib baik, kehilangan pekerjaan ketika hutang rumah masih berbaki separuh jalan, sudah pasti bukan sahaja rumah ataupun kereta yang berkemungkinan akan dilelong tetapi juga turut dihimpit dengan baki hutang yang perlu dijelaskan.

Keadaan sebegini sering kali menyebabkan umat Islam seperti tiada masa untuk memikirkan soal kewajipan yang wajib dilakukan sebagai seorang muslim. Kehidupan dunia yang begitu indah serta desakan hidup yang dihimpit dengan hutang-piutang akhirnya menjadikan ramai manusia bukan sahaja lalai dan lupa dengan kewajipan tetapi sering kali juga turut terjebak dengan pelbagai macam kemungkaran seperti pecah amanah, rasuah, penipuan dan lain-lain lagi.

Dalam sistem ekonomi Islam, rumah merupakan salah satu daripada keperluan asas ummat yang wajib dijamin oleh Khalifah. Sebagai ketua negara, Khalifah bertanggungjawab untuk memastikan setiap rakyatnya mempunyai tempat tinggal yakni rumah. Jika terdapat warganegara Daulah yang hidup merempat yakni tidak mempunyai tempat tinggal walaupun seorang, maka ianya merupakan kelalaian Khalifah sebagai ketua negara yang akan diminta pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Jaminan pemenuhan tempat tinggal oleh Khilafah ke atas setiap warganegara dapat dilakukan dengan melaksanakan dasar-dasar politik ekonomi Islam.

Dasar yang pertama ialah, Khalifah mewajibkan setiap orang lelaki yang mampu  bekerja supaya keluar bekerja mencari nafkah agar keperluan asas dirinya serta orang lain yang berada dibawah tanggungjawabnya dapat dipenuhi. Allah SWT berfirman:

“Tempatkanlah mereka (para istri) di mana kamu bertempat tinggal, sesuai dengan kemampuanmu” [TMQ At-Talaq (65): 6].

Jika tidak mempunyai pekerjaan, maka menjadi tanggungjawab kepada Khalifah untuk merangka rancangan ekonomi agar dapat menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi. Bagi yang tiada keupayaan untuk bekerja pula, maka kewajipan untuk memenuhi keperluan asas termasuklah tempat tinggal terletak di bahu anggota keluarga yang terdekat. Akhir sekali, sekiranya ahli keluarga tidak mampu untuk membantu atau tidak mempunyai ahli keluarga, maka Khalifah akan menggunakan perbendaharaan negara iaitu Baitul Mal untuk memenuhi keperluan tempat tinggal. Dengan kata lain, jaminan memiliki tempat tinggal keatas setiap warganegara adalah tanggungjawab ke atas Khalifah. Oleh itu, Khalifah perlu memberikan komitmen terhadap setiap perkara yang dapat merealisasikan terpenuhnya keperluan asas keatas setiap warganegaranya.

“Imam itu adalah penjaga, dan dia bertanggungjawab tehadap Rakyatnya."
[Hadis Mutafaqun Alaih].

Kedua, membanteras segala unsur-unsur yang boleh mengganggu interaksi secara semula jadi antara penawaran dan permintaan rumah. Harga rumah mesti dilepaskan kepada interaksi penawaran dan permintaan untuk menentukan harganya. Jika permintaan rumah adalah tinggi berbanding dengan penawaran, maka sudah tentu harganya akan meningkat. Begitulah juga dengan sebaliknya, di mana jika penawaran terhadap rumah adalah lebih tinggi berbanding dengan permintaan, maka secara automatik harga rumah akan menurun. Demikianlah keadaan yang akan berlaku keatas harga rumah, jika permintaan dan penawaran dibiarkan berinteraksi secara semula jadi. Namun, unsur-unsur seperti spekulasi dapat merosakkan interaksi semula jadi tersebut, di mana akhirnya harga rumah tidak lagi ditentukan berdasarkan interaksi antara permintaan dan penawaran, tetapi ditentukan oleh spekulasi yang dilakukan oleh para spekulator.




Unsur spekulasi merupakan antara faktor utama harga rumah di Malaysia ketika ini melambung tinggi ke tahap yang tidak munasabah, di mana pemaju secara puratanya mengaut keuntungan separuh daripada setiap harga jualan rumah. Namun begitu, unsur spekulasi tersebut tidak dapat dihalang kerana ianya merupakan salah satu elemen yang menggerakkan sistem ekonomi kapitalis. Berbeza halnya dalam sistem ekonomi Islam, sebarang unsur yang boleh merosakkan interaksi secara semula jadi antara permintaan dan penawaran seperti spekulasi dicegah dengan undang-undang negara oleh Khalifah kerana Haram hukumnya.

Ketiga, melarang sebarang aktiviti perniagaan yang berasaskan riba. Umat Islam ditegah daripada terlibat dengan sebarang urusniaga atau aktiviti jual beli yang terdapat unsur riba. Kerana itu, dalam politik ekonomi Islam, tidak akan ada institusi kewangan seperti bank yang bebas memberikan pinjaman riba secara besar-besaran seperti sekarang. Bank yang ada ketika ini bukan sahaja menjadi jantung yang mengerakkan ekonomi kapitalis yang berasaskan riba, tetapi juga turut berperanan mencipta ‘kuasa beli palsu’ dengan memberikan hutang kepada pengguna. 

Dalam interaksi permintaan dan penawaran rumah yang berlaku secara semulajadi, apabila pengguna tidak mampu untuk membeli rumah kerana kuasa beli yang rendah, maka para pemaju perumahan terpaksa menurunkan harga rumah.  Namun dengan adanya institusi-institusi kewangan yang memberikan pinjaman, ia telah mencipta ‘kuasa beli palsu’ dalam putaran ekonomi. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan pemaju perumahan tidak ingin menurunkan harga rumah kerana ‘kuasa beli palsu’ yang telah diciptakan oleh bank, tetapi juga penciptaan hutang dan penjanaan keuntungan daripada riba turut mencipta banyak ‘gelembung ekonomi’. Keadaan sedemikian tidak berlaku dalam sistem ekonomi Islam kerana dicegah oleh undang-undang negara.

Demikianlah, antara dasar politik ekonomi Islam dalam memastikan rumah yang menjadi salah satu keperluan asas dapat dipenuhi. Namun begitu, politik ekonomi Islam tidak akan dapat dilaksanakan tanpa adanya Daulah Khilafah. Ini kerana hanya dalam sistem Khilafah sahaja politik ekonomi Islam dan juga sistem-sistem Islam yang lain seperti sistem pendidikan, uqubat, pergaulan dan pemerintahan dapat diterapkan secara sempurna. Oleh itu, umat Islam hari ini diseluruh dunia perlu bersama-sama berusaha untuk menegakkan semula Daulah Khilafah.


Saturday, 26 November 2016

Kongsi Gelap Dan Ancaman ISIS

Portal berita Al-Jazeerah melapurkan bahawa terdapat seramai 40,000 penjenayah yang menganggotai sebanyak 49 pertubuhan kongsi gelap yang bertanggungjawab terhadap pelbagai jenayah seperti rompakan bersenjata, penyeludupan dadah, pelacuran, pinjaman tanpa-lesen (Ah Long), ugutan dan juga pembunuhan upahan [1]. 

Jumlah seramai 40,000 ahli pertubuhan kongsi-gelap di negara ini adalah lebih besar dari jumlah keanggotaan pertubuhan kongsi-gelap mafia yang terbesar di dunia, iaitu Solntsevskaya Bratva, sebuah pertubuhan mafia Rusia yang mempunyai seramai 9,000 anggota yang sebahagian besarnya beroperasi dengan penyeludupan dadah dari Afghanistan [2]. Ini bermakna seramai 63 penduduk Rusia adalah merupakan ahli kongsi gelap dan angkanya adalah lebih rendah daripada 1428 penduduk di Malaysia, dari setiap 1 juta orang.


Tetapi yang beredar dan yang menjadi isu panas di media-media tempatan arus perdana dan juga media liberal adalah ancaman oleh gerakan Daulah al-Islamiyyah Iraq wa as-Syam (DAESH) atau Islamic State of Iraq and Syam (ISIS). Belum pun berlaku pembunuhan dan pengeboman yang mengorbankan nyawa manusia, ancaman gerakan ini dikatakan begitu serius dan sangat merbahaya, malah lebih serius daripada ancaman sebanyak 49 pertubuhan kongi-gelap di seluruh negara. 

Beberapa bulan yang lalu telah berlakunya kejadian pembunuhan melalui tembakan dan pembunuhan ala Mafia di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain, tetapi hanya dipandang ringan oleh media tempatan dan liberal. Di seluruh dunia, tiga buah negara yang mempunyai jumlah angka korban yang terbesar daripada penembakan dengan menggunakan senjata (tidak termasuk angka korban daripada gerakan pemisah revolusioner dan peperangan) adalah Afrika Selatan, Slovakia dan  Zimbabwe, dengan angka 700, 438 dan 47 masing-masing, dari setiap 1 juta penduduk (data 2002) [3], di mana kesemua negara tersebut adalah negara sekular dan agama tidak memainkan peranan di dalam kehidupan negara.

Peguam liberal seperti Zaid Ibrahim menyalahkan idea agama yang bercorak extremis boleh membunuh tetapi idea liberal tidak mungkin akan mengakibatkan pembunuhan. Juga setengah-tengah pendapat yang mengatakan bahawa “religiously promoted violence” atau keganasan yang diasaskan oleh agama adalah lebih merbahaya daripada keganasan oleh gerakan-gerakan kriminal ini. 

Tetapi fakta menunjukkan bahawa belum ada kematian di negara ini yang disebabkan oleh “religiously promoted violence” atau keganasan yang disebabkan pelampau (ekstremis agama) agama. Juga dari sejarah yang lalu, memang terdapat peperangan yang diasaskan kepada keagamaan seperti perang Salib selama dua ratus tahun disebabkan oleh Kristian Eropah mahu menguasai Al-Quds, tetapi fakta menunjukkan bahawa perang yang paling berdarah yang mengorbankan paling banyak nyawa manusia seperti Perang Dunia Pertama dan Kedua bukan disebabkan oleh faktor keagamaan. Dan juga angka korban berjuta-juta orang penduduk semasa Cultural Revolution (kematian 30 juta penduduk China) oleh parti Komunis di China dan Great Purge (kematian 20 juta penduduk Soviet Union) oleh Stalin di Rusia bukan disebabkan oleh keagamaan, malah adalah berasal dari ideologi ateis yang menolak adanya Tuhan.