Saturday, 3 January 2015

Realiti Bid'ah

1) Apa itu bid'ah ? Ramai yang masih keliru persoalan tentang bid'ah ini. Ada yang kata setiap perkara yang menyalahi perintah Allah dan Rasul adalah bid'ah. Ada yang berpendapat bid'ah hanya berlaku di dalam ibadah. Jadi di manakah duduk persoalan ini? Di sini akan diterangkan serba sedikit berkenaan dengan realiti bid'ah agar para pembaca sekalian dapat memahami dengan jelas persoalan ini.

2) Kita tahu bahawa ada dua definisi yang berbeza tentang bi'dah. Dari aspek bahasa dan istilah syara'. Penulisan ini tidak mahu memfokuskan kepada sudut bahasa. Kerana yang lebih penting adalah pemahaman dari sudut syara' untuk pedoman kehidupan kita sebagai muslim.

3) Secara ringkasnya dari segi bahasa, bid'ah adalah sesuatu yang baru. Ada yang memasukkan contoh seperti kereta, kapal terbang, komputer dan lain-lain yang tidak pernah ada zaman sebelumnya. Setiap perkara baru yang tidak ada sebelumnya ini dipanggil bid'ah. 


4) Sebelum kita memahami bid'ah menurut istilah syara', ada baiknya kita fahami dulu jenis atau bentuk perintah Asy-Syari' kepada hambanya. Perintah-perintah As-Syari' mempunyai dua jenis

a) Ayat-ayat perintah (sighah al-amr) yang diterangkan bersama dengan kaifiyah (kaedah) perlaksanaannya berdasarkan nas. Maksudnya mekanisme praktikal (ijraat al-'amaliyah) untuk melaksanakan perintah tersebut. Contohnya, Allah telah mewajibkan solat ke atas kaum muslimin. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 43;


 وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ (dan dirikanlah solat).

Ayat tersebut tidak dinyatakan secara mutlak yakni tanpa pembatas sehingga manusia itu boleh melaksanakan solat mengikut kehendaknya sendiri. Tetapi ada nas lain yang menerangkan dan menjelaskan bagaimana solat itu perlu dilaksanakan (praktikal solat). Bagaimana ihram, berdiri, rukuk, sujud dan tahhiyat sudah dijelaskan melalui sabda Rasulullah SAW

صلوا كما رأيتموني أصلي (Solatlah seperti mana kamu melihat aku bersolat) – [HR Bukhari]

Dengan kata lain, kaedah perlaksanaan solat itu mestilah merujuk kepada Rasulullah SAW dalam menunaikan solat.

Sama juga dengan perintah untuk melaksanakan ibadah haji di dalam surah ali-Imran ayat 97. Kemudian nas-nas lain menjelaskan kaedah atau tatacara untuk melaksanakan haji tersebut.

b) Ayat-ayat perintah yang datang dalam bentuk umum atau mutlak. Maksudnya perintah yang tidak dibataskan dengan bagaimana kaedah perlaksanaan hukum tersebut perlu dilaksanakan. Tidak ada mekanisme yang ditunjukkan oleh nas-nas lain seperti penunjukkan mekanisme solat yang sudah diterangkan dibahagian (a)

Contoh kita boleh ambil dari Sabda Nabi SAW;
مَنْ أَسْلَفَ فِي شَيْءٍ فَفِي كَيْلٍ مَعْلُومٍ وَوَزْنٍ مَعْلُومٍ إِلَى أَجَلٍ مَعْلُومٍ
Barangsiapa yang melakukan salaf atas sesuatu, hendaklah dalam takaran dan timbangan tertentu dalam jangka waktu tertentu -[HR Bukhari]

Perintah melakukan jual beli salam atau "salaf" ini datang dengan kalimat ayat bersyarat. Baginda memerintahkan supaya jual beli tersebut dilakukan pada takaran, timbangan dan dalam jangka waktu yang tertentu.

Namun nas tidak menjelaskan mekanisme perlaksanaan (ijraat al-adaaun) untuk melakukan jual beli salam tersebut. Misalnya tidak ditunjukkan adakah perlu bagi dua orang yang berakad tersebut untuk saling menghadap, membaca ayat-ayat Al-Quran, saling menyeru dan sebagainya untuk melakukan akad tersebut.

Di dalam hadis yang lain;
الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ رِبًا إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ
Emas dengan emas adalah riba kecuali secara tunai [HR Bukhari dan Muslim]

الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ مِثْلًا بِمِثْلٍ وَالْوَرِقُ بِالْوَرِقِ مِثْلًا بِمِثْلٍ
Emas dengan emas harus sama jumlahnya, dirham dengan dirham harus sama jumlahnya [HR Bukhari dan Muslim]

Nas ini berbentuk berita dengan makna tuntutan melakukan. Tetapi dalil ini mahupun dalil-dalil yang lain tidak mengandungi kaedah-kaedah praktikal untuk melaksanakan akad tersebut.

5) Dari penerangan tentang jenis perintah-perintah berserta contoh-contoh tadi kita dapat memahami bahawa ada perintah-perintah dari Asy-Syari' yang bersamanya dinyatakan langkah-langkah atau tatacara praktikal menunaikannya, dan ada perintah-perintah yang dinyatakan dalam bentuk umum dan mutlak tanpa dinyatakan kaedah dan tatacara melaksanakannya.

6) Bid'ah menurut istilah syar'i adalah penyimpangan atau perlanggaran terhadap perintah-perintah yang telah dinyatakan mekanisme atau tatacara praktikalnya. Jadi Bid'ah hanya berlaku pada perkara 4(a) sahaja. Sedangkan tidak berlaku atau dipanggil seseorang telah melakukan bid'ah apabila menyalahi perintah di dalam perkara 4(b). Melainkan ia telah melakukan keharaman atau makruh di dalam hukum taklifi; fasad atau batil di dalam hukum wadh'i

7) Jadi untuk kita tahu adakah seseorang melakukan bid'ah atau tidak mestilah melihat dahulu adakah dia menyalahi perintah yang mengandungi tatacara dan kaedah perlaksanaan atau tidak.

8) Maka orang yang melaksanakan solat dengan menambah-nambah rukun solat, sujud tiga kali atau melaksanakan solat maghrib 5 rakaat, melontar jamrah di Mina sebanyak 10 kali maka ini dinamakan bid'ah.

9) Dengan kata lain setiap perlaksanaan perintah yang tidak mengikut kaifiyat atau mekanisme yang ditetapkan oleh Asy-Syari' dinamakan sebagai bid'ah dan setiap bid'ah adalah kesesatan. Seperti sabda Rasulullah SAW ;

وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا ، وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ ، وَكُلَّ ضَلالَةٍ فِي النَّارِ
Seburuk-buruk perkara adalah (perkara agama) yang diada-adakan, setiap yang diada-adakan adalah bid'ah dan setiap bid'ah adalah kesesatan dan setiap kesesatan tempatnya neraka. [HR An-Nasaa'i]

Ini membawa maksud pelaku bid'ah berdosa atas perbuatannya mengada-adakan sesuatu perkara yang tidak ditunjukkan kaifiyat dan mekanisne oleh Asy-Syari'.


 

10) Adapun jika seseorang berdoa untuk keluar rumah, untuk memulakan kerja atau makan ini tidak dinamakan bid'ah seperti mana pendapat sebahagian orang. Kerana di dalam doa (sebagai otak ibadah) tidak terkandung mekanisme atau tatacara secara spesifik. Rasulullah SAW bersabda ;

الدعاء مخ العبادة
"Doa itu adalah otak ibadah" [HR Tirmidzi]

11) Dan tidaklah dinamakan bid'ah jika seseorang itu berkahwin dengan seorang musyrik, tetapi akadnya batil. Atau jika seseorang itu mengamalkan riba ini tidak dimasukan ke dalam kategori bid'ah. Melainkan ia telah melakukan keharaman kerana bermuamalah ribawi. Begitu juga bagi orang yang minum arak, ini termasuk kategori haram (bukan bid'ah) dan berdosa besar.

12) Dalam jihad, jika dulu Rasulullah SAW dan para sahabat berjihad menggunakan pedang, panah dan lain sebagainya tapi sekarang ini senjata sudah semakin canggih, yang tidak ada pada zaman dulu, seperti mortar, kereta kebal, peluru berpandu dan lain lain, adakah ini juga dinamakan bid'ah ? Kerana jihad juga termasuk kategori ibadah. Jawapannya tidak kerana tidak ada nas yang menjelaskan tatacara perlaksanaannya. Bahkan menjadi wajib pula bagi pemerintah untuk menyediakan alatan-alatan jihad tersebut bagi menggerunkan musuh.

13) Jika dalam urusan pemerintahan seperti memilih pemimpin, syara' telah menjelaskan mekanisme mengangkat seorang pemimpin i.e Khalifah. Hanya dengan mekanisme ba'iah sahaja seseorang itu sah menjadi pemimpin. Namun, apabila mereka membuat suatu peraturan baru misalnya seseorang itu boleh diangkat menjadi pemimpin dengan proses pengundian atau mengangkat sumpah ini juga termasuk kategori bid'ah dholalah.
Sebab mereka telah menyalahi mekanisme yang ditetapkan syara' dalam melantik pemimpin.

14) Jadi apabila kita mengkaji tentang nas-nas syara' sebahagian besar perintah yang mengandungi tatacara dan mekanisme perlaksanaan termasuk dalam kategori ibadah. Perkara ibadah paling dominan dalam aspek kaifiyat dan tatacara perlaksanaan. Kerana itu bid'ah secara dominannya terjadi dalam perkara ibadah. Namun bukanlah semua ibadah mempunyai mekanisme dan langkah-langkah praktikal seperti jihad yang telah diterangkan pada point (12).

15) Kesimpulannya, penyimpangan dan pelanggaran terhadap perintah asy-Syari’ di mana asy-Syari’ telah menjelaskan tatacara penunaiannya, maka penyimpangan itu merupakan bid’ah. Sedangkan penyimpangan perintah asy-Syari’ yang bersifat mutlak atau bersifat umum, di mana asy-Syari’ tidak menjelaskan tatacara penunaiannya, maka penyimpangan itu berlaku bergantung pada hukum syara’, “taklif - sama ada haram, makruh, mubah” atau “wadh’iy – sama ada batil, fasad”.

Saturday, 23 August 2014

Kisah Ratu Balqis Dan Syar'u Man Qablana

1) Sebelum pergi kepada perbincangan yang mengatakan boleh mengangkat pemimpin di kalangan wanita berdasarkan kisah di dalam Al-Quran tentang ratu Saba' maka terlebih dahulu kita membahaskan mengenai definisi Syar'un Man Qablana.

2) Apa itu definisi Syar'un Man Qablana (Syariat orang terdahulu) ?

Petikan bahasa arab ;
شرع من قبلنا هو تلك الأحكام الشرعية المقررة في شرائع الأنبياء والرسل السابقين على نبينا محمد صلى الله عليه وسلم، والتي أخبر بها النبي صلى الله عليه وسلم

"Syariat Orang Terdahulu “ adalah Hukum-hakam syariat yang diakui sebagai syariat Nabi2 dan Rasul2 terdahulu, terhadap Nabi Kita Muhamamad SAW, yang dikhabarkan oleh Nabi SAW.

3) Jami’ Mani yang terkandung dalam definisi ini;

a) Ia adalah SYARIAT NABI DAHULU yang DIIKTIRAF – Bukanlah syariat jika tidak diiktiraf. Seperti agama Buddha, Hindu, Singh dan agama turun temurun dari nenek moyang lain-lain yang tidak ada asal usulnya.

b) Sumber syariat tersebut mestilah diberitakan oleh Nabi Muhammad SAW. Maknanya kita tahu bahawa itu adalah syariat orang dahulu daripada teks-teks Nas Al-Quran dan Hadis. – Sumber yang tidak ada di dalam Al-Quran dan Hadis tidak diterima itu adalah syariat orang dahulu.

Adapun pembacaan kita terhadap kisah-kisah Nabi dahulu melalui jalan selain Al-Quran dan Sunnah bukanlah termasuk dalam syariat umat terdahulu.

4) Maka syariat nabi/rasul terdahulu adalah hukum-hakam yang Allah SWT turunkan kepada nabi/rasul dan umat terdahulu sebelum kita. Dan terdapat dalil yang menjelaskan bahawa hukuman tersebut memang dikhususkan pensyariatannya untuk umat terdahulu sahaja

5) Perbincangan Sya'run Man Qablana ini tidak boleh lari daripada konteksnya. Kita perlu betul-betul pastikan bahawa hukum-hukum dan perlakuan umat terdahulu adalah benar apa yang Allah turunkan kepada mereka. Berdasarkan penuturan daripada Nas yang menunjukkan bahawa itu adalah syariat orang terdahulu.

6) Tidak boleh terus mengambil kisah umat terdahulu maka terus berhujah itu adalah syariat mereka kerana belum tentu apa yang diceritakan di dalam Al-Quran dan Hadis berkisar kepada syariat orang dahulu. Kerana ada kisah-kisah umat dahulu adalah sebagai ibrah bukan menunjukkan bahawa itu adalah syariat umat dahulu.

7) Disini diberikan beberapa contoh-contoh syariat umat terdahulu yang disebutkan di dalam Al-Quran dan Hadis;

- jenis-jenis dan bahagian binatang yang diharamkan untuk orang Yahudi (rujuk surah al-An'am: 146).
- hukuman qisas dalam kitab taurat (rujuk surah al-Maaidah ayat 45)
- bertaubat dengan cara membunuh diri (lihat surah al-Baqarah : 54
- hukum harta rampasan perang diharamkan untuk umat dahulu seperti sabda Nabi SAW ;
وأحلت لي الخنائم ولم تحل لأحد قبلي
Dan dihalalkan kepadaku harta rampasan dan tidak dihalalkan kepada seorang pun sebelum aku.

8) Ini sedikit paparan ringkas berkenaan dengan syariat umat terdahulu. Adapun disisi kehujahannya sebagai sumber hukum terdapat 2 pendapat yang masyhur di kalangan para ulama’ termasuklah ulama mazhab yang empat. Dan ada ulama’ yang bersikap tawaquf dalam masalah ini. Di mana DUA pendapat yang disebutkan itu ada yang terima sebagai dalil syara’ dan ada yang menolak.

9) Adapun penulisan ini tidak mahu membahas secara panjang lebar berkenaan dengan sama ada adakah syariat nabi dahulu diterima sebagai dalil atau tidak. Kerana itu bukan tujuan penulisan ini. Bagi yang ingin tahu lebih lanjut bolehlah mengkaji lagi pembahasan ini. Disini hanya akan diberikan pandangan yang terkuat di antara dua pendapat tersebut iaitu Sya’run Man Qablana Laisa Syar’an Lana(شرع من قبلنا ليس شرعا لنا). Syariat Umat Terdahulu Bukanlah Syariat Kita.

10) Mengenai kisah ratu Balqis yang memerintah Saba’, kisahnya dirakamkan di dalam Surah An-Naml. Beberapa ayat dari surah tersebut sebagai paparan kepada kita mengenai status Ratu Balqis tersebut ;

إِنِّي وَجَدْتُ امْرَأَةً تَمْلِكُهُمْ وَأُوتِيَتْ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ وَلَهَا عَرْشٌ عَظِيمٌ (23) وَجَدْتُهَا وَقَوْمَهَا يَسْجُدُونَ لِلشَّمْسِ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ فَصَدَّهُمْ عَنِ السَّبِيلِ فَهُمْ لَا يَهْتَدُونَ (24) أَلَّا يَسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي يُخْرِجُ الْخَبْءَ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَيَعْلَمُ مَا تُخْفُونَ وَمَا تُعْلِنُونَ(25)

Terjemahannya;
"Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar. Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, - (Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan. (An-Naml :23-25)

11) Jika kita meneliti dengan benar ayat tersebut sebenarnya tidak menjelaskan kepada kita bahawa ayat itu merujuk kepada syariat Nabi terdahulu. Memang benar ia adalah kisah diantara Nabi Sulaiman dengan Balqis tetapi ayat itu tidak berhubungan dengan masalah syariat nabi Sulaiman.

12) Bahkan kisah dari Al-Quran tersebut jelas menuturkan bahawa Ratu Balqis dan kaummnya adalah musyrik yang menyembah matahari. Nabi Sulaiman menyeru Balqis supaya masuk ke dalam agama tauhid dan menyembah Allah SWT.

13) Diringkaskan cerita, apa yang ingin dibahaskan di sini adalah Ratu Balqis yang menjadi pemimpin di suatu negeri sebenarnya bukanlah syariat Nabi Dahulu. Kerana berdasarkan definisi syar’un Man Qablana yang diberikan di atas bahawa syariat nabi dahulu mestilah diiktiraf sebagai syariat. Dan umat tersebut adalah umat yang beriman kepada Allah SWT. Adapun orang-orang musyrik, mereka tidak menyembah Allah apa lagi jika mereka mahu beramal dengan syariat yang diturunkan Allah SWT, maka sudah tentu tidak sama sekali.

14) Bagi mereka yang berhujah tentang kepimpinan itu boleh berada di tangan wanita kerana menerima pendapat bahawa syariat umat Dahulu boleh menjadi syariat kita adalah suatu kesalahan yang fatal. Di samping kerana lemahnya hujah mereka mengguna pakai syariat umat dahulu sebagai syariat umat kini, malah kerana di dalam fakta Ratu Balqis itu sendiri adalah seorang musyrik, sedangkan Nabi Sulaiman lah yang membawa wahyu dan syariat dari Allah SWT. Bagaimana mungkin kita kata apa yang dibuat oleh Balqis itu adalah syariat umat dahulu sedangkan pada asalnya dia sendiri itu adalah seorang musyrik ?

15) Adapun mereka yang berhujah untuk melawan balik hujah boleh mengangkat pemimpin dikalangan wanita berdasarkan kisah Ratu Balqis ini dengan menggunakan dalil bahawa syariat umat terdahulu bukan syariat umat sekarang juga tidak tepat. Kerana kisah ini adalah kisah pengajaran dan tidak terkandung apa-apa hukum yang bersangkutan dengan syariat Nabi Sulaiman.

16) Kesimpulan dari perbincangan ini adalah ;

a) Kisah ratu Balqis ini tidak ada kaitan dengan syariat umat terdahulu. Ia adalah satu ibrah kepada kita bahawa siapa pun kita, hebat mana pun kita, sebenarnya manusia itu adalah kerdil di sisi Allah SWT. Kerana Dialah yang Maha Kuasa lagi Maha Agung

b) Mereka yang berhujah wanita tidak ada masalah menjadi pemimpin negeri atau negara berdasarkan kisah ini sebenarnya telah ketandusan hujah. Kerana hujah mereka itu sendiri bukan hujah. Jangan kerana untuk memenuhi kepentingan pihak-pihak tertentu maka sanggup memutar belitkan Nas.

c) Permasalahan wanita sebagai pemimpin ini sepatutnya dikembalikan dan dirujuk kepada ketentuan hukum Islam. Kerana syariat kita adalah syariat Islam dan inilah yang diperintahkan oleh Allah SWT. Bukan merujuk kepada syariat umat-umat sebelum kita dan bukan juga melihat kisah-kisah umat terdahulu yang tidak ada weightage untuk ditarik hukum.

d) Di dalam Syariat kita melantik wanita sebagai pemimpin/pemerintah adalah diharamkan. Ini sudah termaktub di dalam hadis Nabi SAW;

لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ أَسْنَدُوْا أَمْرَهُمْ اِمْرَأَةً
“Tidak akan bahagia / berjaya suatu kaum yang menyandarkan urusan mereka kepada seorang wanita.”

Adanya penafian kejayaan dari Rasulullah SAW terhadap suatu kaum yang diperintah oleh seorang wanita merupakan indikasi yang tegas bahawa perbuatan tersebut adalah HARAM. Inilah hukum syariat yang telah diwahyukan kepada kita untuk kita patuhi.

Wallahu A’lam

Wednesday, 20 August 2014

Hukuman Bunuh Ke Atas Tawanan Perang ?


1. Status hukuman ke atas tawanan perang dijelaskan di dalam Al-Quran surah Muhammad ayat:4

فَإِذَا لَقِيتُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَضَرْبَ الرِّقَابِ حَتَّى إِذَا أَثْخَنْتُمُوهُمْ فَشُدُّوا الْوَثَاقَ فَإِمَّا مَنًّا بَعْدُ وَإِمَّا فِدَاءً حَتَّى تَضَعَ الْحَرْبُ أَوْزَارَهَا ذَلِكَ وَلَوْ يَشَاءُ اللَّهُ لَانْتَصَرَ مِنْهُمْ وَلَكِنْ لِيَبْلُوَ بَعْضَكُمْ بِبَعْضٍ وَالَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَلَنْ يُضِلَّ أَعْمَالَهُمْ

“Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka pancunglah batang leher mereka. Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berhenti. Demikianlah, apabila Allah menghendaki niscaya Allah akan membinasakan mereka tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. Dan orang-orang yang gugur pada jalan Allah, Allah tidak akan menyia-nyiakan amal mereka.

2. Maka dari sini hukuman ke atas tawanan perang yang ditunjukkan Nas adalah Mann (Bebaskan) dan Fida' (Terima Tebusan). Tidak ada hukuman lain selain yang DUA ini.

3. Adapun yang mengatakan boleh membunuh tawanan perang berdasarkan dalil 8:67 sebenarnya pandangan tersebut perlu diteliti. Sebab mereka menggunakan asbab Nuzul ayat itu untuk menarik hukum. Dengan melihat kepada perbezaan pendapat antara Umar RA dan Abu Bakar RA.

4. Asbab Nuzul bukanlah hukum itu sendiri tetapi sebagai keterangan kepada kita untuk memahami peristiwa ayat tersebut diturunkan. Hukum diambil daripada teks Nas bukan asbab Nas. Kaedah Syara’ yang masyhur Al-ibrah biUmumi lafzi la bikhusus sabab, - Pengajaran diambil adalah dari Lafaz umum dan tidak terikat dengan sebab khusus.

5. Lagi pula terdapat kontroversi apabila menggunakan hujah Asbabun Nuzul ayat ini untuk ditarik kesimpulan bahawa tawanan perang boleh dibunuh. Ayat itu dikatakan di dalam kitab-kitab tafsir ulama' menyebelahi Umar RA yang berpendapat membunuh semua tawanan perang. Manakala pendapat Abu Bakar RA yang diambil oleh Rasulullah supaya ditebus tawanan ditolak dan kerana itu Allah menegur Rasulullah.

6. Tetapi Rasulullah SAW tetap tidak membunuh kesemua tawanan perang melainkan hanya dua orang yang dibunuh dan itu akan diterangkan selepas ini. Kontroversinya adalah apabila ayat ini dijadikan sebagai dalil pensyariatan hukuman bunuh tawanan perang tetapi dalam masa yang sama Rasulullah SAW tidak membunuh sedangkan ayat itu telah diturunkan. Mustahil bagi Rasulullah SAW yang maksum untuk mengingkari perintah Allah SWT. Kerana itu kontroversi seperti ini perlu membuatkan kita berfikir juga.


7. Mengatakan dalil 8:67 dan 47:4 terdapat percanggahan hukum dan perlu dikompromi sehingga hukumnya ada 3 (bebas, tebus dan bunuh) juga adanya nasikh mansukh adalah tidak tepat. Surah al-Anfal ayat 67 adalah ‘Itab (teguran) kepada Rasul bukan ayat tentang hukum ke atas tawanan perang.

8. Allah SWT berfirman ;

مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

9. Dua Ayat tersebut menyentuh kata  أَثْخَنْتُمُوهُمْ  / يُثْخِنَ.  Asal kata ini adalah dari wazan اثخن yakni melemahkan, mengalahkan, melumpuhkan.

Perhatikan ayat tersebut ; 

a)       حَتَّى يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ – sehingga ia dapat melumpuhkan musuh sebanyak-banyaknya di muka bumi

b)      حَتَّى إِذَا أَثْخَنْتُمُوهُمْ - Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka

10. Sebahagian ulama’ membahaskan bahawa Surah Muhammad:4 selain merupakan dalil hukum tawanan perang ia juga terdapat bagaimana metode atau teknik perang. Kaum muslimin diperintahkan untuk memukul batang leher kaum kafir (memancung) sehinggalah kekuatan musuh melemah dan lumpuh.

11. Jadi, mafhum daripada ayat tersebut adalah, jika kekuatan musuh telah lumpuh, tidak mampu lagi kaum kafir untuk melawan kaum muslimin maka ketika itulah dilakukan penawanan. 

12. Bukanlah maksud di dalam sesuatu battle(mu’ariqah) itu dibunuh semuanya musuh namun cukuplah dengan pembunuhan terhadap sebahagian besar musuh sehingga tidak ada ruang lagi utk mereka melawan. Dengan kata lain, tidak ada penawanan sebelum musuh dinyatakan kalah. Inilah yang dimaksudkan dengan tawanan perang.

13. Di dalam perang Badar, surah al-Anfal;67, teguran Allah SWT kepada Nabi SAW dan kaum muslimin adalah kerana terlalu cepat, tergesa-gesa untuk mengambil harta rampasan dan tawanan perang sebelum musuh lumpuh sepenuhnya.   

14. Kita tahu bahawa kaum muslimin melawan dalam lingkungan 900-1000 bala tentera kaum kuffar dan membunuh lebih kurang 70 orang daripada mereka. 73 orang ditawan manakala yang lain melarikan diri. Kerugian dan angka korban kafir Quraish ketika itu hanyalah dalam lingkungan 14-15%. Jadi inilah mengapa Allah SWT menegur Rasulullah SAW yang sepatutnya membunuh lebih banyak tentera kuffar supaya menambahkan lagi ketakutan di dalam diri kaum kuffar terhadap kaum muslimin sebelum mengambil tawanan perang.


15. Firman Allah SWT ; 
تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”  Maka ayat ini adalah penyempurna kepada teguran Allah SWT disebabkan mengambil tawanan sebelum masanya.

16. Pengajaran ini juga dapat dilihat daripada kekalahan kaum muslimin di perang Uhud, kerana adanya kelompok pemanah kaum muslimin yang melanggar arahan Rasulullah SAW supaya tetap bertahan di atas bukit. Disebabkan mereka terburu-buru untuk mengambil harta rampasan sebelum perang tamat dan kaum kuffar benar-benar menyerah kalah.

17. Maka dalil 8:67 langsung tidak menyentuh soal hukum tawanan perang, sehingga apabila tawanan telah dilakukan maka dalil yang dirujuk terhadap tawanan perang adalah surah Muhammad:4.

18. Kini timbul pula masalah nasikh mansukh. Surah Muhammad atau digelar juga surah Al-Qitaal turun semasa Rasulullah SAW sampai di Madinah. Surah al-anfaal ayat 67 itu turun selepas perang badar tamat. Kami telah jelaskan sebelum ini (lihat point ke-6 diatas) bahawa Rasulullah SAW tidak menghukum mati sebilangan besar tawanan perang tersebut.

19. Sekiranya benar terdapat nasikh mansukh sudah tentu kesemua tawanan perang yang ditawan dibunuh kerana mengikuti hukum yang baru dan meninggalkan hukum yang lama. Hadis Nabi Saw ini menguatkan lagi bahawa Rasulullah SAW tidak membunuh tawanan perang badar ; 

لو كان المطعم بن عدي حيا ثم كلمني في هؤلاء النتنى لتركتهم له

Jika seandainya Muth’im ibn ‘Adi masih hidup, kemudian dia berbicara kepadaku tentang mereka (tawanan perang), maka aku akan bebaskan mereka kerana dia.(HR Muslim)

Dan hadis ini ; 

كان ناس من الأسرى يوم بدر لم يكن لهم فداء فجعل رسول الله صلى الله عليه وسلم فداءهم أن يعلموا أولاد الأنصار الكتابة

Ada diantara tawanan Perang pada hari Badr tidak memiliki tebusan. Maka Rasulullah SAW menjadikan tebusan mereka adalah mengajarkan anak-anak kaum Anshar menulis. (HR Ahmad)


20. Sedangkan apa yang kita dengar bahawa Rasulullah SAW membunuh Utbah bin Muth’im dan Nadhir bin Harits selepas perang badar bukanlah hujah mengenai hukum tawanan perang. Ada ulama’ menjelaskan itu adalah hukum khusus terhadap orang-orang tertentu di dalam perang.

21. Bahkan hukuman bunuh tersebut tidak dilakukan di dalam semua siri peperangan. Hukuman itu adalah terhadap orang-orang WANTED di dalam Islam. Dan ketua negara melihat akan ada ancaman yang lebih besar jika tidak dibunuh orang seperti ini.

22. Utbah bin Muth’im, Nadhir bin Harits, abu Izzah, yang dibunuh mempunyai sebab tersendiri. Jika kita mengkaji Sirah ada beberapa diantara mereka yang murtad kemudian menjadi musuh kepada Islam seperti Ibn Khathal. Dan Rasulullah SAW sebagai ketua negara semasa itu telah menetapkan mereka sebagai orang-orang yang dikehendaki dan halal darahnya. Ikrimah Bin Abu Jahal sebelum masuk Islam turut berada dalam senarai WANTED namun Rasulullah memberi jaminan keamanan kepadanya.

23. Hukum khusus terhadap “Wanted” tidak boleh digunakan sebagai hujah telah adanya alternatif lain untuk menghukum bunuh tawanan perang. Membebaskan tawanan atau mengambil tebusan adalah hukum yang muktamad berdasarkan dalil yang sarih. Sedangkan membunuh orang-orang tertentu itu terserah kepada Ketua Negara kerana dialah yang layak untuk menjatuhkan hukuman dengan pertimbangannya yang sesuai dengan syara’.


24. Kesimpulan dari pembahasan ini adalah, dalil 8:67 dan 47:4 sebenarnya tidak bercanggah. Dan tidak adanya nasikh mansukh terhadap 2 ayat tersebut. Dan tidak boleh menjadikan hukuman TERTENTU terhadap tawanan perang adalah hukum tawanan perang itu sendiri.

25. Seandainya kaum muslimin berjaya mengalahkan Amerika kelak, dan Obama, John Kerry serta yang lain-lain konconya yang merupakan perletak dasar Amerika dalam memusuhi Islam dengan kejahatan dan kekejaman mereka ini ditawan, maka mereka inilah yang layak untuk dibunuh. Tetapi kalau setakat namanya Robert, David, Mutu atau Ah-Cong yang hanya berpangkat prebet, mereka ini dihukum berdasarkan hukum tawanan perang yang telah dinyatakan (Faimma Mannan Ba’du waimma Fida’).

Wallahu A’lam